Memberi perhatian terhadap fiqh waqi’ (kefahaman terhadap realiti) yang ia berada di dalamnya.
October 28, 2009
Ijtihad kontemporari yang diharapkan ini tidak akan mampu menunaikan tugasnya dan mencapai
matlamatnya serta memberi buahnya kecuali jika kefahaman terhadap realiti bergabung dalam
fiqh nusus dan dalil (kefahaman terhadap nas dan dalil).
Seorang faqih adalah seperti seorang doktor. Ia tidak boleh membuat preskripsi ubat bagi
pesakit kecuali jika ia melihat, memeriksa, bertanya dan mengetahui sejarah penyakitnya, tindak
balas dan kadarnya. Dengan itu ia mampu untuk mendiagnos penyakit itu dan memberi
preskripsi ubat yang sesuai.
Dalam hal berkenaan, Imam Ibn Qayyim telaah berkata dalam bukunya ‘I`ilam Al-Muwaqqi`in’;
“Seorang mufti dan hakim tidak akan mampu untuk memberi fatwa atau hukum dengan benar
kecuali dengan dua bentuk kefahaman. Salah satunya ialah memahami realiti dan hukum fiqh
bagi realiti itu. Lalu menghasilkan pengetahuan mengenai hakikat yang sejajar dengan tandatanda
dan petunjuk-petunjuk yang ada, sehingga pengetahuan itu meliputi perkara berkenaan.
Bentuk yang kedua ialah memahami kewajiban dalam berhadapan dengan realiti iaitu memahami
hukum Allah yang ditetapkan dalam kitabNya atau melalui lidah RasulNya dalam realiti
berkenaan, kemudian menerapkan salah satu (Al-Quran / Sunnah) pada yang lain. Sesiapa yang
mengerahkan usaha dan upayanya yang sedemikian itu, tidak akan hilang darinya dua pahala
atau satu pahala.”
Seorang alim ialah seorang yang dapat mengetahui hukum Allah dan RasulNya dengan
mengetahui dan faham realiti sebagaimana saksi Yusuf a.s mengetahui kesucian dan kebenaran
Yusuf melalui pakaian yang koyak di belakang, sebagaimana juga Sulaiman a.s mengetahui ibu
sebenar bagi seorang anak dengan kata-katanya
“Berikan aku sebilah pisau agar aku belah dua anak ini untuk kamu berdua. 3”
Di tempat lain, Ibn Qayyim mengatakan bahawa seorang faqih yang sebenar ialah yang
mengahwinkan antara kewajiban dan realiti. Dia tidak hidup dengan apa yang wajib semata-mata
tetapi juga hidup dengan realitinya. Dengan itu, ia mengetahui apa yang realiti semasa
menentukan hukum-hukum. Sering kali dia menurunkan dirinya dari sesuatu yang ideal kepada
realiti.
Inilah yang menjadikan Ibn Qayyim menetapkan kewajiban perubahan fatwa dengan perubahan
masa, tempat, adat dan keadaan.
Sebelum itu, Imam Syihabuddin Al-Qarafi yang bermazhab Maliki telah pun menetapkan
sedemikian.
Sesudah mereka berdua, Ibn `Abidin penulis buku yang masyhur ‘Rad Al-Muhtar `Ala Ad-Dur Al-
Mukhtar’, salah seorang ulama terkemudian dari mazhab Hanafi.
Sesungguhnya kewajiban seorang faqih ialah untuk mempelajari realiti secara ilmiyah dan
objektif. Realiti yang meliputi segala aspek, unsur-unsur, pengaruh-pengaruh, apa yang positif,
apa yang negatif, hak bagi realiti itu dan kewajiban ke atasnya.
Yang kita kehendaki dari kajian terhadap realiti ialah kajian ke atas tabi`atnya bukan kajian atas
kertas sahaja, tanpa sikap menakut-nakutkan dan tanpa sikap meringan-ringankan. Sesuatu
yang amat besar dalam mempengaruhi kesejahteraan dalam penelitian ilmiyah ialah
kecenderungan pada cara yang berlebih-lebihan dan membesar-besarkan sesuatu, sehingga
menjadikan sesuatu sebesar biji menjadi seperti satu kubah, atau yang sekecil kucing menjadi
seperti sebesar unta. Begitu juga cara yang sebaliknya, iaitu kecenderungan untuk
memperkecilkan sesuatu atau meremehkannya, dan usaha untuk mengurangkan kepentingan
sesuatu perkara, walau pun terdapat bahaya mengenainya. Yang sedemikian itu adalah
sebagaimana yang kami tunjukkan dalam pendirian kami terhadap pemerintahan zionis Israel
dan pendirian kami terhadap peradaban Barat.
Kadang kala, kita membina sesuatu hukum fiqh atas pengetahuan kita terhadap realiti. Jika
seorang faqih ingin memberi fatwa dalam masalah merokok, ia hendaklah membina fatwanya
atas pandangan doktor dan analisa penganalisa. Jika seorang doktor berkata bahawa merokok
itu satu mudharat bagi kesihatan dan berbahaya baginya, maka tidak harus bagi seorang faqih
kecuali berkata bahawa ia adalah haram kerana tidak harus bagi seorang muslim untuk
memudharatkan dirinya secara sengaja - tidak boleh melakukan mudharat (atas diri sendiri) dan
menyebabkan mudharat (atas orang lain). Kemudharatan itu didapati melalui pandangan doktor,
maka wajiblah memberi fatwa terhadap pengharaman rokok.
Begitulah juga jika para pakar ilmu kemasyarakatan dan ekonomi berkata bahawa pemilikan
rumah bagi tujuan tempat tinggal bagi keluarga Islam di Barat dianggap sebagai satu hajat yang
penting bagi individu dan masyarakat. Namun tidak ada jalan untuk memiliki rumah-rumah ini
bagi kebanyakan orang-orang Islam kecuali dengan membeli melalui bank. Dalam hal ini, tidak
harus bagi seorang faqih yang muslim kecuali memberi fatwa akan keharusannya kerana hajat
yang telah pun mengambil tempat dharurat. Penentuan hajat di sini bukan bagi para fuqaha’
tetapi bagi para pakar.
Di antara kewajiban fiqh realiti ini atau ijtihad kontemporari, ialah mengetahui hakikat sebenar
minoriti muslim yang untuk mereka dia memberi. Ini adalah kerana, minoriti muslim bertingkattingkat
antara satu dengan yang lain dengan perbezaan tingkatan yang luas.
Kaum minoriti yang kebanyakannya terdiri dari golongan pengungsi yang berhijrah, tidak sama
dengan minoriti yang kebanyakannya terdiri dari pribumi dan penduduk asal.
Kaum minoriti yang tertindas tidak sama dengan kaum minoriti yang berkemampuan, yang
mempunyai harta, kemulian dan kedudukan kuasa.
Kaum minoriti yang jumlahnya terhad tidak sama dengan kaum minoriti yang besar seperti kaum
minoriti muslim di India (lebih dari 150 juta).
Kaum minoriti yang baru wujud tidak sama dengan kaum minoriti yang telah berakar dan
mempunyai sejarah ratusan tahun.
Kaum minoriti di negara-negara yang liberal yang menikmati kebebasan dan hak-hak asasi
manusia, tidak sama dengan kaum minoriti di negara bersistem diktator, yang tidak mengiktiraf
bagi manusia hak dan kebebasan dan tidak memelihara bagi seorang mukmin hubungan kerabat
dan perjanjian.
Kaum minoriti yang bertebaran dan berselerak antara mereka, yang berbeza sesama mereka
dari segi keturunan, keagamaan dan ideologi tidak sama dengan kaum minoriti yang utuh dan
tersusun yang mempunyai kepimpinan dan institusi-institusi keagamaan, sosial, kebudayaan dan
politik.
Wajib bagi seorang faqih yang menghadapi realiti di bawah bimbingan syariat, untuk memelihara
realiti yang berubah-ubah / berbeza-beza. Sesungguhnya bagi setiap realiti ada hukumnya.
Sumber: Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (Fiqh Al-Aqalliyat)
Rukhsah Jamak Solat yang Dipinggirkan.
October 27, 2009
Jamak Kerana Hajat
Dalam kehidupan muslim kadang - kadang mereka berhadapan dengan keadaan yang memaksa mereka untuk tidak dapat menunaikan solat pada waktunya. Seorang doktor yang terpaksa melakukan pembedahan selama berjam - jam, yang mana jika beliau meninggalkan walaupun sebentar akan memudaratkan pesakit.
Seseorang yang terperangkap di dalam kesesakan jalanraya yang menyebabkan dia terpaksa berada di dalam keretanya berjam - jam lamanya dan tidak berupaya untuk melarikan diri dari kesesakan tersebut.
Seseorang pelajar di luar negara yang menghadapi peperiksaan, menghadiri kelas yang terpaksa mengambil waktu solat isyak yang singkat, waktu zohor dan seumpamanya.
Seorang saintis yang melakukan obsevasi dan kajian di dalam makmalnya yang memaksa mereka untuk berada di dalam makmalnya seharian suntuk.
Seseorang yang berada di dalam penjara, lokap ataupun tahanan yang membuatkannya tidak dapat mengagak waktu - waktu solat secara terperinci.
Pegawai - pegawai keselamatan yang terpaksa berkawal, menjaga dan mengawasi sesutau tempat, keadaan, jalan dan apa - apa sahaja yang tidak membenarkan mereka meninggalkan kawasan tersebut kerana kritikalnya suasana pada ketika itu.
Bagaimanakah mereka dapat menunaikan solat - solat mereka pada waktunya ?
Dalam pengamalan muslim di Malaysia ada dua alternatif :
Yang pertama, tidak perlu menunaikan solat dan keadaan - keadaan yang berlaku merupakan hujah dan lesen terbesar mereka untuk meninggalkan solat. Persoalannya adakah mereka sanggup untuk berhadapan dengan Allah di padang Mahsyar nanti dengan alasan tersebut ?
Yang kedua, ramai muslim di Malaysia akan memilih untuk meng”qada”kan solat mereka yang ditinggalkan. Alasan mereka , oleh kerana ianya tidak dapat dilakukan pada waktunya, maka ianya perlu digantikan pada waktu yang lain. Doktrin “qada” ini kadang - kadang menjadi alat untuk ramai muslim meninggalkan solat mereka tanpa sebab yang kukuh. Insya Allah dalam keluaran - keluaran akan datang penulis akan cuba mengupas persoalan “penyalah gunaan” doktrin “qada” di kalangan masyarakat muslim di Malaysia.
Sebenarnya ada alternatif yang lebih syar’i dan lebih diperakui oleh ramai ulama dan sunnah sendiri tanpa meninggalkan solat dan tanpa melakukan “qada”. Bagaimana ?, iaitu dengan men”jamak”kan antara dua solat dalam satu waktu kerana hajat yang bersangatan dan tidak dapat dielakkan.
Adakah boleh jamak untuk perkara yang sedemikian ? di sini kita akan menjawab pertanyaan ini.
Segelintir daripada ulama di dalam mazhab al-Syafii seperti Abu Ishaq al-Marozi, al-Qaffal dan al-Khattabi (lihat : al-Hisni, opcit, hal. 141), ulama mutakhirin dari mazhab Ahmad, Asyhab dari mazhab Maliki, Ibn. Munzir pengarang buku al-Ijma, golongan ahli Zahir , mazhab ahli Hadis dan juga Ibn Sirin berpendapat harus melakukan “jamak” kerana hajat yang benar - benar mendesak (Lihat : Ibn Rusyd, opcit., jil. 1, hal. 398; al-Sya’rani, opcit, jil. 1, hal. 236).
Mereka berhujah dengan hadis Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh Muslim yang mengatakan Rasulullah S.A.W telah melakukan “jamak” di antara Maghrib dan Isyak dan juga antara Zohor dan Asar bukan kerana hujan ataupun kerana bermusafiran seperti berikut :
Ibnu Abbas r.a. berkata: Bahawasanya Nabi s.a.w. pernah menjamakkan antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana musafir dan tidak kerana hujan. Ibnu Abbas ditanya: Apa yang dikehendaki dengan yang demikian itu (mengapa Rasulullah melakukannya) ? Dia berkata: baginda mahu memberi kelapangan (mudah) kepada umatnya. (Hadis Riwayat Muslim).
Hadis tersebut diperkuatkan pula dengan hadis riwayat Ibn Syaqiq :
Abdullah bin Syaqiq berkata:
Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! . Kemudian berkata : Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak.
Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas. (Hadis Riwayat Muslim)
Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakkan sembahyang dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah men”jamak”kan solatnya ketika berada dalam urusan penting, iaitui pidatonya itu. Dia mengetahui jika pidatonya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya. Menurut perkiraannya meneruskan pidatonya dianggap suatu hajat yang membolehkan jamak. (Lihat : Prof. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Koleksi Hadis Hukum, Bandung : Penerbitan Bulan Bintang, jil. 4, hal. 350)
Walaubagaimanapun keharusan untuk melakukan “jamak” kerana hajat ini tidaklah dibenarkan secara mutlak. Para ulama yang membenarkan perlakuan tersebut telah memberikan syarat - syarat tertentu seperti berikut :
1- Ianya tidak dijadikan kebiasaan atau adat sehingga ianya dilakukan dalam banyak keadaan tanpa ada sebab yang benar - benar mendesak.
2- Hajat tersebut hendaklah benar - benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat yang lebih besar.
3- Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain - mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.
Pendapat ini walaubagaimanapun telah dikritik di dalam buku Subulus Salam karangan al-San’ani di mana beliau telah menyebutkan hujah sebahagian ulama yang menolak perbuatan “jamak” kerana hajat, dengan mengatakan bahawa jamak yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis Ibn. Abbas adalah jamak shuri, iaitu yang pada zahir kelihatan seperti jamak, tetapi pada hakikatnya bukan. (Juga lihat : Ibnu Hajar al-Asqalani , Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut : Darul Fikr, jil. 2, hal. 580)
Contoh: Mengerjakan sembahyang zohor pada akhir waktu, dan apabila selesai masuklah waktu Asar, kemudian bangkit mengerjakan sembahyang Asar pada awal waktu. Ianya kelihatan seolah - olah perbuatan jamak di antara Zohor dan Asar.
Hujah ini dijawab oleh golongan yang mengharuskan “jamak” kerana hajat sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Mahmud Syaltut & Mohd Ali al-Syayis di dalam buku mereka Muqaranatul Mazahib Fil Feqhi dengan mengatakan bahawa andaian tersebut terlalu jauh dan ianya merupakan sesuatu yang sukar dilakukan dan juga suatu kepayahan (untuk menentukan akhir waktu Zohor dan awal waktu Asar).Logiknya, menjamakkan solat adalah suatu kelonggaran, tetapi jika kita berusaha untuk mencari waktu terakhir Zohor dan awal Asar, itu tidak akan menjadi kelonggaran lagi, bahkan ia menjadi sesuatu bebanan.
Rukhsoh perbuatan menjamakkan solat kerana hajat ini semakin dapat diterima oleh kebanyakan ulama dari pelbagai mazhab yang bersifat terbuka dan kritikal semenjak zaman dahulu dan dewasa ini.Berikut adalah komentar daripada sebahagian para ulama muktabar yang mempunyai sikap terbuka terhadap perbuatan “jamak” kerana hajat :
1. Imam al-Nawawi telah berkata :
“Segolongan ulamak besar membenarkan jamak di dalam keadaan tidak musafir, kerana ada keperluan, asalkan tidak dijadikan adat yang tetap. Demikianlah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari ashab malik. Diriwayatkan juga oleh al-Khathabi dari al-Qaffal al-Kabir dari kalangan pengikut al-Syafi’i”. (Lihat : al-Nawawi , al-Majmu’, jil. 4, hal. 264.)
2. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah:
“Dan Mazhab yang paling memberi keluasan dalam masalah jamak ialah mazhab imam Ahmad . Maka sesungguhnya beliau menashkan bahawa dibolehkan melakukan jamak kerana kesempitan/susah dan kesibukan.” (Lihat : Abu Ubaidah Masyhur Bin Hasan Bin Mahmud , al-Qaul al-Mubin Fi Akhta’il Mushollin, Beirut : al-Maktabah al-Islamiyyah, hal.423)
3. Syeikh Abdul Wahab al-Sya’rani menyebutkan:
“Dan Dari Ibnu Sirin, bahawasanya harus menjamakkan sembahyang bukan kerana takut dan bukan kerana sakit, selama ia tidak dijadikan sebagai adat. Dan telah memilih oleh Ibnu al-Munzir dan satu jamaah (sekumpulan ulamak) akan harus menjamak ketika hadar (tidak bermusafir), tidak dalam keadaan takut dan tidak hujan.” (al-Sya’rani, opcit, jil. 1, hal. 199)
4. Syeikh Athiyah Saqr :
“..Maka sekumpulan ulamak dari kalangan para imam telah bertindak mengambil zahir hadis Ibnu Abbas. Maka mereka mengharuskan mengerjakan jamak ketika hadar, iaitu tidak dalam musafir, hanya kerana hajat semata-mata. Tetapi dengan syarat ia tidak dijadikan sebagai adat. Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan: Dan orang-orang yang berpendapat demikian ialah Ibnu Sirin, Rabi’ah, Ibnul Munzir dan al-Qaffal al-Kabir. Dan telah menghikayatkanya oleh al-Khitabi dari satu jamaah dari kalangan ahli Hadis. Hujah mereka(mengharuskan perbuatan jamak kerana hajat itu) ialah untuk menafikan kepayahan selama di sana terdapat suatu hajat/keperluan, antaranya ialah seperti kesibukan Ibnu Abbas terhadap pidato/khutbahnya. ” ( Syeikh Athiyah Saqr, Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam , Kaherah : Dar al-Ghad al-Gharbi, jil. 13, hal. 424-425)
Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang indah dan mudah. Ini selaras dengan misi Islam sebagai rahmat kepada sekelian alam. Segala urusan di dalam agama Islam adalah mudah, fleksibel dan juga tidak membebankan umatnya kecuali bagi mereka yang malas dan enggan menurut perintah Allah sahaja. Sayangnya kemudahan dan juga keringanan yang Allah berikan ini tidak akan dapat dilihat jika kita bersifat jahil dan tidak mahu mengambil tahu.
Ianya juga akan menjadi lebih kabur jika ditutupi dengan mentaliti taksub kepada sesutau pandangan sahaja dan tidak berlapang dada di dalam menerima perbezaan. Contoh yang nyata sekali di sini ialah dalam persoalan “jamak” solat seperti yang telah kita perbincangkan secara panjang lebar di sini. Diharapkan agar pihak pembaca dapat menghayati artikel ini dan juga dapat bersama - sama mengamalkan rukhsah jamak solat yang dipinggirkan dari kehidupan seharian kita di Malaysia ini. Wallahua’lam.
Sumber: Maszlee Malik (Fikah Luar Negara)
Berhati-hati memilih makanan
October 24, 2009
Muslimin dan Muslimat di Volgograd dinasihatkan berwaspada dalam memilih makanan.
Ini bukanlah perkara yang gemar untuk saya katakan iaitu berkenaan dengan khabar angin yang mengatakan halalnya daging di kiosk stesen trolleybus detskii center dan kazan kebab.
Tujuan saya juga bukanlah untuk menghalalkan yang haram ataupun mengharamkan yang halal;
“Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia.” (an-Nahl: 116)
Namun oleh sebab sering ditanya dan sedar akan amanah yang dipikul, saya telah bertanya kepada Hazrat Ilyas, Mufti Volgograd Region berkenaan dengan persoalan berikut.
Hazrat Ilyas menyatakan yang beliau sendiri tidak mengetahui halalnya daging di kedai-kedai berikut, dan berkata akan menyelidik perkara tersebut. Namun begitu beliau memberi alamat kedai makan yang halal iaitu di Ulitsa Kosmanavtov 43-A, Shanel .
Umum mengetahui yang halalnya sembelihan ahli kitab;
“Hari ini dihalalkan yang baik-baik buat kamu dan begitu juga makanan orang-orang yang pernah diberi kitab (ahli kitab) adalah halal buat kamu, dan sebaliknya makananmu halal buat mereka.” (al-Maidah: 5)
Namun begitu, tidak semua mengetahui yang biarpun majoriti penduduk bekas Soviet ini menganut Kristian, hanya segelintir daripada mereka yang mengamalkan agama mereka. Jauh sekali untuk mengamalkan sembelihan ahli kitab.
Oleh itu, nasihat saya supaya semua Muslimin dan Muslimat tidak mudah terpedaya dengan khabar-khabar angin yang menyatakan halalnya daging di suatu-suatu tempat. Mengapa kita menganggap halalnya daging di satu kedai dan haram di satu kedai lain, sedangkan kaedah perlaksanaannya adalah sama?
Yang terbaik adalah untuk bersikap wara’;
“Yang halal sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas, di antara keduanya itu ada beberapa perkara yang belum jelas (syubhat), banyak orang yang tidak tahu: apakah dia itu masuk bagian yang halal ataukah yang haram? Maka barangsiapa yang menjauhinya karena hendak membersihkan agama dan kehormatannya, maka dia akan selamat,. dan barangsiapa mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir ia akan iatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang menggembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir akan jatuh kepadanya. Ingatlah! Bahwa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula, bahwa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi, dan riwayat ini adalah lafaz Tarmizi).
Muhamad Anuar bin W. Hassan.
Sedekah boleh dilaksana tujuan pembangunan
October 21, 2009
MUSLIM yang bersedekah, menderma dan menginfak harta semata-mata kerana Allah SWT akan menerima ganjaran besar di akhirat nanti. Firman Allah SWT, dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.
Usaha menginfak harta bukan hanya difahami dalam konteks yang biasa dilakukan masyarakat kita, iaitu memberi sumbangan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim, pembinaan masjid serta surau dan sebagainya. Kita boleh meluaskan ufuk pemikiran kita mengenai konsep infak ini apabila kita menyumbangkan sedikit harta kurniaan Allah SWT itu untuk pembangunan dan pembinaan minda, intelek, fizikal, sosial dan emosi umat dan masyarakat.
Ini termasuklah pembinaan institusi pendidikan, kesihatan, aktiviti penyelidikan ilmiah dan sebagainya. Melalui ayat 262, surah al-Baqarah, Allah SWT mengingatkan bahawa hasrat untuk menginfak kurniaan Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam ayat sebelumnya itu perlu mematuhi syarat tertentu agar ia mencapai tahap dan piawaian keredaan Allah SWT.
Kegiatan infak harus berlandaskan keikhlasan tanpa ada unsur riak, mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan serta emosi penerima. Pemberian seperti itu tidak memberi makna apa-apa dan tidak bernilai di sisi Allah, seperti yang ditegaskan, “Wahai orang yang beriman, jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir” (al Baqarah: 264).
Ini menunjukkan bahawa walaupun pada zahirnya pemberi menyumbang sesuatu kepada penerima tetapi pada hakikatnya pemberian itu tidak bernilai. Malah Allah menyatakan bahawa pihak penerima lebih baik kedudukannya jika dia menolak dengan baik dan memaafkan kesalahan yang dilakukan pemberi seperti itu. Firman Allah SWT, “Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima), Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun”. (Al-Baqarah:263).
Dalam keadaan lain pula, Allah SWT menyatakan bahawa orang yang menginfak hartanya dengan penuh keikhlasan akan dikurniakan lagi harta lebih banyak. Firman Allah SWT, “Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebidang kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha melihat apa yang kamu lakukan”. (Al-Baqarah: 265).
Keghairahan seseorang menginfak hartanya sebenarnya tidak menghalangnya mendermakan atau memberi sumbangan sesuatu yang terbaik dan bukannya barangan terpakai yang tidak mahu digunakan atau disimpan lagi.
Fenomena memberi sumbangan barangan terpakai seperti pakaian dapat kita saksikan apabila ada kempen sumbangan untuk golongan tertentu. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT, “Wahai orang yang beriman, nafkahkanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. (Al-Baqarah:267).
Sumber: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM )
Ciri-ciri Muslim Ideal
October 12, 2009
Di antara ciri-ciri individu dan aliran muslim ideal yang dicemburui oleh musuh-musuh Islam yang menjadi sasaran dalam peperangan pemikiran:
1. Memahami agama dengan cara menyeluruh, seimbang, dan mendalam
2. Memahami realiti kehidupan dengan lengkap. Semuanya diambil kira, sama ada realiti kaum Muslimin ataupun realiti semua musuh-musuh Islam
3. Memahami benar sunnah Allah Taala yang berlaku di dalam kehidupan ini yang tidak pernah berubah dan berganti, khususnya sunnah Allah yang bersangkutan dengan kehidupan alam manusia
4. Memahami maqasid syariah (maksud-maksud syariah) secara syumul dan tidak bersikap statik (jumud) yang terhad kepada makna-makna zahir sahaja
5. Memahami ‘keutamaan’ dan ‘priority’ di dalam mengatur langkah perjuangan
6. Bersikap terbuka dan sedia bertolak ansur dalam urusan ‘khilafiah’ dengan aliran-aliran Islam yang lainnya. Sikap mereka, “Bekerjasama dalam perkara-perkara yang disepakati dan saling memaafkan (bertolak ansur) dalam perkara-perkara yang masih diperselisihkan
7. Menggabungkan di antara aliran salafiah dan pembaharuan, atau dengan kata lain, menggabungkan di antara ciri-ciri keaslian dengan tuntutan kemodenan
8. Mengadunkan di antara keaslian hukum syara’ dengan perubahan zaman
9. Yakin bahawa pembaharuan pemikiran, jiwa, dan sikap adalah sebagai asas utama kepada pembaharuan peradaban
10. Menampilkan Islam sebagai satu-satunya alternatif dalam pembangunan peradaban manusia yang bersepadu dan menyeluruh demi untuk menyelamatkan mereka dari kongkongan dunia materialisme
11. Memperlonggar (al-Taysir) dalam perkara fatwa dan memberikan khabar gembira (al-Tabshir) dalam urusan dakwah
12. Menampilkan nilai-nilai murni Islam dalam bidang sosial dan politik, seperti; kebebasan (al-Hurriyyah), kemuliaan (al-Karamah), mesyuarat (al-Shura), keadilan sosial (al-Adalah al-Ijtimaiyyah) dan pemeliharaan hak-hak asasi manusia (huqud al-Insan)
13. Membuka pintu untuk berdialog dengan pihak-pihak lain, iaitu dengan golongan bukan Islam, atau dengan kelompok Muslimin yang telah terjajah pemikiran dan mentalitinya disebabkan serangan dari budaya barat
14. Menjadikan jihad sebagai cara untuk melindungi kemuliaan umat Islam dan negaranya.
Sumber: Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi ( Fiqh Awlawiyyat )






Recent Comments