Ulul Albab: Seru manusia kembali kepada Islam

November 29, 2009

Ibadat haji masa sesuai untuk meyakinkan setiap insan adalah umat Muslim

JIKA kewajipan rukun Islam seperti solat, zakat dan puasa Ramadan diserukan dalam ayat al-Quran kepada orang beriman, maka bukan begitu halnya dengan kewajipan menunaikan ibadat haji. Dalam kewajipan melaksanakan ibadat haji, al-Quran menggunakan lafaz ‘al-nas’ (manusia) dalam seruannya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Ali ‘Imran: 97)

Jika kewajipan rukun Islam seperti solat, zakat dan puasa Ramadan tidak disenaraikan namanya dalam urutan nama al-Quran, maka bukan begitu halnya dengan ibadat haji. Al-Quran mengkhususkan satu nama surahnya dengan nama Surah al-Hajj, Surah ke-22 pada Juzuk ke-17 dengan ayatnya berjumlah 78 ayat dan diturunkan di Madinah. Di dalam surah ini seruan kewajipan ibadat haji juga menggunakan lafaz ‘al-nas’ (manusia). Firman Allah bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27)

Demi menyambut seruan global ini, Baginda Rasulullah SAW pun menggunakan lafaz al-nas’ (manusia) dalam ucapan perpisahannya ketika melaksanakan ibadat Haji Widak pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah di Lembah Urainah, Padang Arafah. Rasulullah tidak menggunakan wahai umat Islam atau wahai orang beriman, yang ada baginda menggunakan seruan ‘wahai manusia’. Sabda baginda bermaksud: “Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, seperti kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang membabitkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara besar, malah berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.

Wahai manusia, seperti kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia daripada yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal saleh.

Ingatlah, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang sudah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-sekali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang terus mendengar daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya sudah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba- hambamu.”

Subhanallah! Betapa indahnya ucapan perpisahan daripada seorang pemimpin yang dikasihi makhluk seluruh alam. Ucapan yang berisi ajaran nilai kebaikan global yang disampaikan oleh utusan terakhir Allah kepada umat manusia. Ucapan universal yang disampaikan oleh pemimpin agung manusia sepanjang sejarah.

Islam adalah satu-satunya agama di sisi Allah seperti ditegaskan al-Quran dalam Surah Ali Imran ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” Hakikat ini juga dapat dimengerti daripada ayat al-Quran yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah: 3) Bukankah Rasulullah diutus untuk semua makhluk? Allah berfirman bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat itu.” (Surah Saba’: 28)

Amat benar firman Allah di atas, ‘akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat itu’ kerana daripada penduduk dunia yang berjumlah hampir 7.5 bilion hanya 1.5 bilion saja yang mengetahui hakikat bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW.

Inilah tugas penting dan tanggungjawab berat yang dipikul umat Islam untuk menjelaskan kepada seluruh manusia mengenai hakikat di atas. Hakikat bahawa semua manusia adalah Muslim kerana semua Nabi dan Rasul adalah seorang Muslim seperti diberitakan al-Quran. Kita akan membincangkan dalam kesempatan lain mengenai penemuan seorang bekas ahli Kongres Amerika Syarikat, Mark D Siljendar dalam buku yang baru diterbitkannya pada Oktober tahun lalu bertajuk A Deadly Misunderstanding. Dalam buku ini dibuktikan secara ilmiah Nabi Musa as dan Nabi Isa as adalah Muslim.

Mereka tidak pernah menyebut diri mereka beragama Yahudi atau Kristian. Perbincangan mengenai perkara ini disiarkan Aljazeera dalam slot From Washington 19 Oktober lalu. Acara yang sangat menarik.

Haji dengan puncak acaranya wukuf di Arafah dan Aidiladha adalah masa sesuai untuk menyeru umat manusia bahawa mereka sebenarnya adalah umat Muslim seperti yang diinginkan Allah SWT. Kita seru mereka untuk kembali ke pangkuan agama sebenar mereka iaitu agama Islam kerana ibadat haji adalah ibadat Nabi Ibrahim as, dan Nabi Ibrahim adalah bapa nabi, Abu al-Anbiya’, yang membawa satu agama dan diwariskan kepada Nabi yang datang sesudah baginda. Wallahu alam.

Oleh Abdurrahman Haqqi ( Berita Harian Online )

Hadis daif dan palsu dalam Kitab Ihya ‘Ulumiddin

November 29, 2009

KITAB Ihya ‘Ulumiddin karangan al-Imam al-Ghazali adalah kitab yang sangat masyhur dalam masyarakat kita. Bahkan kitab ini juga memang masyhur di seluruh dunia Islam. Ramai yang gemar membaca dan mengambil manfaat daripada kitab ini. Namun ramai yang kurang memberi perhatian terhadap peringatan para ulama hadis sejak zaman dahulu bahawa dalam kitab ini terdapat banyak hadis lemah, tersangat lemah dan palsu. Di samping banyak juga terdapat di dalamnya hadis-hadis sahih yang diguna pakai oleh imam berkenaan ketika mengemukakan hujah-hujahnya.


Al-Imam al-Ghazali adalah seorang tokoh umat Islam yang dihormati. Jasa dan sumbangannya dalam sebahagian bidang agama tidak dapat dilupakan. Beliau adalah ahli fikir yang besar. Namun bidang hadis bukanlah pengkhususan beliau. Ini diakui oleh mereka yang alim dalam bidang hadis.



Mengkritik hadis-hadis lemah dan palsu dalam kitab Ihya ‘Ulumiddin tidaklah bermaksud menghina atau melupakan jasa dan sumbangan al-Ghazali. Namun, kita harus berkata benar dan jujur dalam segala perkara. Menghargai seseorang tidak boleh membawa kita mengatakan kesilapannya sebagai kebenaran. Jasanya dikenang. Namun kesilapan dinilai agar mereka yang membaca kitab tersebut tidak membuat kesalahan dengan menganggap riwayat yang tidak layak dinilai sebagai hadis dikatakan hadis.


Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. (al-Nisa’: 135)


Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapan dalam kitab Ihya berkata: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan.’’ (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar Alam al-Nubala 19/339, Beirut: Muassasah al-Risalah.)


Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadis tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadis, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadis. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H), seorang tokoh mazhab al-Syafie terkenal yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali, dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadis.’’ (Rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi’yyah al-Kubra, 3/449, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)


Kita lihat apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh hadis mengenai kitab Ihya‘ Ulumiddin, antaranya:


1. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia 774H) dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Baitulmaqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya ‘Ulumiddin. Ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun dalamnya banyak hadis yang gharib, mungkar dan palsu.’’ (Rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)


2. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya Ulumiddin berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis batil yang dia tidak tahu kebatilannya.’’ (Rujukan: Ibn Jauzi, Talbis Iblis, hlm 190, Beirut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah).


3. Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil daripada ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan perbuatan.” (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/339, Beirut: Dar al-Risalah.)


4. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadis-hadis Nabi dan riwayat-riwayat salaf seperti mana yang dimiliki oleh ahli-ahli yang mengetahui perkara itu.


“Mereka dapat membezakan antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu, al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadis dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya.” (Rujukan: Ibn Taimiyyah, Dar’u Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad: Dar al-Kunuz al-Adabiyyah.)


Sebagai langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah hadis-hadis palsu dan daif yang terlalu banyak dalam Ihya maka kitab tersebut hendaklah dibaca bersama dengan takhrij (penilaian dan semakan) yang dibuat oleh Al-Hafizd al-‘Iraqi (wafat 806H). Al-Hafizd Abd. al-Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi telah menyemak hadis-hadis Ihya dengan menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan hadis-hadis tersebut. Banyak hadis Ihya telah dihukum tidak ada asal-usul dalam kitab-kitab hadis.


Takhrij al-Hafizd al-‘Iraqi telah dicetak bersama dengan kitab Ihya. Maka hendaklah kita berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab tersebut dengan cara merujuk kepada takhrij berkenaan. Kata seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini, al-Syeikh Syu’ib al-Arnaud: Al-Hafizd Abu Fadl Abd al-Rahim al-‘Iraqi (wafat 806H) telah menyemak hadis-hadis Ihya ‘Ulumiddin kesemuanya dalam semua kitab yang dinamakan Al-Mughni ‘an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar. Ia dicetak bersama dengan Ihya. Beliau telah menunjukkan setiap hadis kepada sumbernya serta menyatakan kedudukannya.


Kebanyakan hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai daif (lemah) atau palsu, atau ia tidak ada asal daripada ucapan Rasulullah s.a.w.. Maka hendaklah para penulis, khatib, guru dan penceramah berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadis-hadis Ihya selama mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-Hafizd al-‘Iraqi.


Sesungguhnya seorang ulama hadis Syam, Badr al-Din al-Hasani telah berkata: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz (yang amat pakar dalam hadis) yang dikenali. Sesiapa yang berkata: “Rasulullah telah bersabda” sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis “Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Rujukan: Syu’ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/340.)


Kata al-Syeikh Abu Syahbah pula: “Aku nasihatkan kepada sesiapa yang membaca Ihya agar tidak berpegang dengan hadis-hadis yang disebutkan kecuali setelah melihat takhrij al-‘Iraqi. Jika tidak dia akan terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak sedar.” (Rujukan: Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 254, Kaherah: Dar al-Fikr.)


Antara hadis yang al-Ghazali dikritik hebat kerana menyebutnya dalam Ihya ialah hadis Solat Raghaib iaitu solat yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab. Hadis cara dan fadilat solat ini disebut dan digalakkan dalam Ihya sedangkan ia dinilai sebagai palsu oleh para ulama hadis. Al-Hafiz al-‘Iraqi yang menilai hadis ini adalah pakar besar dalam bidang hadis. Beliau menyatakan beliau mendapati tiada asal usul bagi hadis ini.


Al-Imam al-Nawawi (meninggal dunia 676H) ketika mensyarah hadis Muslim daripada Abi Hurairah memetik Baginda bersabda: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa).


Al-Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada malam-malam lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama dalam kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadis ini mengenai kesalahan solat bidaah yang dinamakan solat al-Raghaib.


Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bidaah yang mungkar daripada jenis bidaah yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya.


Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya. (Rujukan: Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211, Beirut: Dar al-Khair.)


Beliau pernah berkata: “Bidaah yang buruk lagi sangat mungkar, jangan terpengaruh dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulumiddin.” (Rujukan: petikan daripada Ali Hasan Ali, Kitab al-Ihya fi Mizan al-‘Ulama, hlm. 21.)


Al-Imam al-Sayuti (meninggal dunia 911H) menyatakan: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib.”


Katanya juga, ketahuilah sesungguhnya solat yang bidaah ini menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk. (Rujukan: Al-Sayuti: Abd al-Rahman bin Abi Bakr, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ hlm. 52-54, Beirut: Dar al-Fikr al-Lubnan.)


Demikian juga kitab-kitab kerohanian kesufian lain yang kebanyakan penulisnya tidak mengambil berat soal kesahihan hadis-hadis. Ini seperti kitab Tanbih al-Ghafilin yang banyak dibaca di masjid dan surau. Demikian juga Bustan al-‘Arifin dan lain-lain.


Kata al-Syeikh Abu Syahbah: “Kitab Tanbih al-Ghafilin karangan al-Samarqandi; wajib pembaca berhati-hati terhadap hadis-hadis palsu dan Israiliyyat di dalamnya. Juga kitab Bustan al-‘Arifin yang juga karangannya patut pembaca berjaga-jaga.” (Rujukan: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 354, Kaherah: Dar al-Fikr.)


Justeru para pembaca kitab-kitab ini hendaklah berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab-kitab ini.

Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ( Utusan Online )

Imam Al-Syafi’i adalah Wahhabi?

November 23, 2009

Melihatkan kepada tajuk artikel ini pasti ramai yang terpinga-pinga bahkan mungkin ada yang mengurut-urut dada kerana sesak nafas seolah-olah satu malapetaka besar bakal menimpa umat Islam di Malaysia yang terkenal dengan kepatuhan mereka kepada mazhab Syafi’i. Namun janganlah runsing atau gundah-gulana kerana tajuk yang kelihatan seperti boleh menimbulkan kontroversi ini hanyalah bertujuan untuk membuka minda mereka yang keliru dengan isu Wahhabi yang dimainkan oleh beberapa tokoh di akhbar-akhbar tempatan beberapa minggu kebelakangan ini.

Sesetengah golongan yang menganggap diri mereka sebagai pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan penganut mazhab Syafi’i yang tulen amat menentang budaya talfiq atau mengikuti hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab. Umat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu diwajibkan untuk hanya berpegang kepada mazhab Syafi’i sahaja bagi kekal sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka yang mengamalkan talfiq maka tercemarlah pemikiran mereka dan jadilah mereka ini kelompok Wahhabi. Tetapi apa yang menghairankan adalah, Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menyuruh sesiapapun untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam al-Syafi’i amat menganjurkan anak murid serta pengikutnya untuk menimbang pandangannya dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sebelum menerimanya. Dalam erti kata lain amalan talfiq itu tidak pernah ditentang oleh Imam al-Syafi’i sendiri. Menurut Imam al-Syafi’i: “Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu.” (Riwayat al-Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafie, Ibn Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibn al-Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibn Hibban di dalam sahihnya.) Beliau juga pernah berkata: “Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah s.a.w menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya (meninggalkannya) sama ada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku.” (Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibn al-Qayyim di dalam al-I’lam dan al-Fullani) Namun apabila ada golongan di Malaysia yang mengikuti saranan Imam al-Syafi’i ini maka mereka dianggap telah menderhaka kepada Mazhab Syafi’i versi Malaysia yang dipandang paling tulen.

Melafazkan niat Usholli ketika mengerjakan solat fardu mahupun sunat merupakan ciri-ciri yang penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab Syafi’i. Jika ada yang berpegang kepada pendapat tidak perlu berniat Usholli ketika solat maka tipislah harapannya untuk mendapat tauliah mengajar agama di sesetengah negeri. Anehnya jika kita buka kitab al-Umm maka tidak wujud satu batah barispun yang mengajar kita lafaz niat Usholli mahupun Nawaitu. Bagi Imam al-Syafi’i niat itu adalah perbuatan di dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir. Di dalam al-Umm beliau berkata: “Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”

Jika selepas solat pula tidak diamalkan zikir beramai-ramai dengan suara yang kuat, pengamalnya berkemungkinan tinggi akan terus dicop sebagai pengikut ajaran Wahhabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita buka sekali lagi kitab al-Umm dan lihat apa yag diperkatakan oleh Imam al-Syafi’i tentang zikir lepas solat. Menurut beliau: “Saya (Imam al-Syafi’i) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah Azza wa jalla telah berfirman: “… dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya…” (al-Israa’ (17):110) Iaitu - Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri. “ Imam al-Baihaqi seterusnya memperjelaskan mazhab al-Syafi’i dalam kitabnya Sunan al-Kubra: “Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr semula – pen).” Sekian pandangan sebenar Imam al-Syafi’i tentang zikir selepas solat tetapi malangnya wujud sesetengah tokoh di Malaysia ini beranggapan mereka itu lebih Syafi’i daripada Imam al-Syafi’i itu sendiri.

Mengkritik amalan mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti ritual tahlil ketika kenduri arwah atau membaca al-Qur’an di tepi kubur bukanlah satu tindakan yang bijak di Malaysia. Si pengkritik pasti akan dihambur dengan pelbagai kata-kata berbentuk celaan dan yang paling popular tentulah tuduhan sebagai Wahhabi. Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman Allah: “…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Al-Najm (53) : 39) dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Namun kata-kata Imam al-Nawawi ini bagaikan tiada nilai bagi pembela-pembela mazhab Syafi’i di Malaysia.

Bagi mereka yang tidak mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaja dinggap menderhaka kepada mazhab Syafi’i bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Beginilah sikap mereka yang mengaku sebagai pejuang mazhab Syafi’i di Malaysia, sudahlah keluarga arwah sedang bersedih dengan pemergian insan yang mereka sayangi, dipaksa pula keluarga arwah tersebut untuk menyediakan jamuan makan agar perut mereka dapat diisi. Adakah ini benar-benar pandangan mazhab Syafi’i? Di dalam kitab I’anatu al-Talibin ada disebut tentang isu kenduri arwah menurut mazhab al-Syafi’i: “Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati adalah bidaah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis sahih dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata: “Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Indahnya pandangan mazhab Syafi’i yang asal berbanding dengan pegangan mereka yang mengaku Syafi’i di Malaysia. Masyarakat sekeliling sepatutnya membantu dalam menggembirakan keluarga arwah dengan membawa makanan kepada mereka. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di dalam al-Wajiz Fi Fiqhi al-Imam al-Syafi’i telah berkata: “Disukai membuat makanan untuk keluarga si mati.” Jangan pula selepas ini Imam al-Ghazali juga dikatakan Wahhabi.

Sekiranya ketika urusan pengkebumian jenazah tidak dilakukan amalan talqin, pasti ia akan menjadi topik bualan yang hangat di sesebuah kampung kerana ia dianggap telah mencemar tradisi orang Melayu yang berteraskan mazhab Syaf’i. Tapi hakikatnya amalan talqin ini tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam al-Syafi’i itu sendiri. Hanya sahaja ulama bermazhab syafi’i yang kemudian menganggap ianya sunat. Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil di dalam kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i telah berkata: “Mengenai Talqin, yang popular di kalangan masyarakat yang dilakukan setelah penguburan mayat, di mana salah seorang berdiri di sampingnya untuk mengajari mayat dengan lafaz berikut: “Hai Fulan bin Fulan, ingatlah kalimah yang engkau pegang sampai masuk ke kubur, iaitu bersaksi bahawa tidak adal Illah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah…” dan seterusnya, atau lafaz lain yang semakna, maka kami tidak mendapatkan keterangan dari Imam al-Syafi’i tentang masalah ini. Kami hanya mendapatkannya dari ulamak mutaakhkhirin (yang datang kemudian) dari para pengikut mazhab Imam al-Syafi’i.”

Hiasan-hiasan dikuburan seperti binaan kubah terutamanya di kuburan mereka yang di anggap sebagai para wali atau peneraju sesebuah tarekat merupakan satu perkara yang terima sebagai baik bagi pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Suasana yang kondusif ini amat bersesuaian untuk mereka melakukan ibadah-ibadah tertentu di kawasan perkuburan tersebut. Yang menghairankan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menganjurkan ibadah-ibadah seperti tawassul, membaca al-Qur’an, tawaf atau menyembelih haiwan korban di kawasan perkuburan. Menurut Ibnu Taimiyyah r.h di dalam Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah.” Tambahan pula Imam al-Syafi’i sendiri melarang dinaikkan sebarang binaan di atas kubur. Menurut beliau di dalam al-Umm: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.” Imam al-Nawawi r.h pula di dalam kitab Majmu’ menyatakan: “Imam al-Syafi’i dan para sahabatnya mengatakan bahawa termasuk hal yang dibenci adalah menembok kuburan, menuliskan nama si mati atau yang lainnya dan juga membangunkan binaan di atasnya. Ini tiada perbezaan pendapat di kalangan kita. Dengan mazhab (pendapat) ini pula Malik, Ahmad, Daud dan majoriti ulama telah berfatwa.” Tetapi pandangan sebegini tidak boleh diajarkan kepada umat Islam di Malaysia kerana takut ia boleh mengelirukan orang awam walaupun tidak dapat dinafikan ia adalah pandangan Imam al-Syafi’i.

 

Memadailah dengan beberapa contoh di atas yang diketengahkan bukan bertujuan untuk mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan sesiapa. Tapi ia sekadar untuk mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud di kalangan mazhab-mazhab dalam Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana tidak berpegang kepada mazhab Syafi’i. Walaupun seseorang itu pernah belajar dipondok mahupun lulusan dari Institut Pengajian Tinggi di Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa dia telah menguasai semua cabang ilmu. Qatadah pernah berkata: “Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan pendapat), maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya.” Bila kefahaman tentang perbezaan pendapat yang ada dalam Islam ini tidak berada ditahap yang memuaskan, maka pandangan yang sebenarnya berasal daripada Imam al-Syafi’i turut dipolemikkan sebagai Wahhabi. Jangan nanti pandangan Imam al-Syafi’i terpaksa diketepikan demi untuk menjaga kesinambungan Mazhab Syafi’i versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab yang boleh diamalkan di negara ini.

Sebagai nasihat kepada semua hayatilah sebuah riwayat daripada ‘Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata: “Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulama), kerana jika dia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpercaya kebenarannya) dari ilmu yang dia yakini.” Berlapang dadalah dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus ( Minda Akob )

Pemberontakan Kuasa: Antara Emosi Dan Penilaian Seimbang

November 22, 2009

Mungkin terdapat perbezaan pendapat antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Boleh jadi juga terbukti seorang muslim yang lain melakukan kesilapan dan kesalahan yang menyebabkan hati kita sangat marah kepadanya. Namun walau apa pun, kita tidak diizinkan syarak untuk mengambil tindakan yang merugikan umum, atau membawa kemudaratan atau kemerbahayaan yang lebih besar dibandingkan kesalahan yang dilakukan. Apatah lagi dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang mempunyai kuasa yang boleh memberikan kesan besar terhadap keselamatan negara. 

Tokoh agung umat ini Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menyebut: “Sesungguhnya al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar (Suruhan Melakukan Kebaikan, Cegahan Kemunkaran) sekalipun mengandungi tujuan menghasilkan kemaslahatan dan menolak kerosakan, namun mestilah dilihat jua kepada apa yang akan bertembung dengannya. Jika ia menyebabkan hilangnya kemaslahatan atau membawa kerosakan yang lebih besar, maka ia tidak lagi diperintahkan (oleh syarak untuk kita lakukan). Bahkan ianya menjadi haram sekiranya kerosakannya melebihi kemaslahatannya. Namun ukuran kemaslahatan dan kerosakan hendaklah dengan timbangan syariat” (Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, 14/341, Riyadh: Al-Abikan).
Saya dahulunya apabila membaca kata-kata hikmah: “Pemerintah yang adil lebih baik dari hujan yang membawa kebaikan, sementara pemerintah yang zalim lebih baik daripada fitnah yang berterusan” (lihat: Al-Munawi, Faid al-Qadir 1/566), maka saya kurang puas hati dengan bahagian akhir falsafah tersebut. Saya rasa itu tidak meredakan jiwa muda saya. Tentu kata-kata seperti itu tentu lebih tidak dapat diterima oleh para pemberontak politik. Namun apabila saya mempelajari hadis-hadis Nabi s.a.w mengenai adab rakyat terhadap pemerintah, kata-kata seperti itu mungkin ada benarnya.

Apabila saya melihat apa yang berlaku di Algeria yang membawa tumpahan darah umat Islam yang berterusan disebabkan keinginan kepada perubahan politik. Sehingga pembunuhan sesama muslim, bahkan sesama kumpulan yang mendakwa inginkan Islam menjadi begitu berleluasa. Sehingga semangat Islam rakyat luntur dan imej umat hancur. Demikian apa yang sedang berlaku di Iraq. Maka jelas bahawa kehidupan mereka di bawah seorang pemerintah yang zalim seperti Saddam Hussain yang memangsakan perebut kuasanya lebih baik daripada kehidupan baru yang mereka cetuskan yang mana kezaliman dan kekejaman tidak pernah memilih bulu. Akhirnya, saya menulis buku “Membela Islam: Tanggungjawab dan Disiplin” dan juga satu tulisan lain dalam bahasa arab menyentuh isu yang sama hampir dua tahun yang lepas telah dibentang dalam sebuah seminar antarabangsa. Masa itu, saya belum menjadi mufti pun.

Saya ingin menyentuh tajuk ini secara umumnya. Untuk Dunia Islam keseluruhannya. Memang tajuk ini agak sensitif. Namun saya bukan insan kebuluran untuk berbicara bagi kepentingan sesiapa supaya ada habuannya. Jika anda pejuang hak asasi, ini adalah hak saya memberikan pandangan. Dalam hadis Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat Muslim). Dalam riwayat lain, baginda menyebut:: “Akan ada para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar tersebut) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak selagi mana mereka bersolat” (Riwayat Muslim).

Hadis-hadis ini barangkali amat tidak menyelerakan sesetengah pihak. Sehingga ada yang menganggap sesiapa yang membacanya sebagai bacul. Tidaklah saya pasti sama ada mereka menganggap Nabi s.a.w. itu bacul atupun tidak. Bagi mereka, memerangi pemerintah dan sesiapa yang bersama pemerintah yang tidak adil –menurut penilaian mereka- itu adalah jihad yang jika ditumpahkan darah kerananya adalah syahid. Golongan yang bersemangat ini menyebut mereka yang takut untuk keluar menentang pemerintah secara keras sebagai ‘ulama bacul’ atau ‘ceroi’ dalam bahasa utara. Lalu hadis.: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat Al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah- sahih) diulas sebagai memerangi pemerintah, bukan berpada dengan nasihat atau perkataan yang benar di hadapan pemerintah seperti yang disebutkan dalam hadis tersebut.

Mungkin jika mereka membaca kenyataan para ulama dahulu, lebih layak untuk dituduh bacul dan ceroi. Umpamanya al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang menyebut: “Adapun keluar menentang pemerintah itu dan memerangi mereka adalah haram dengan ijmak kaum muslimin sekalipun mereka itu fasik lagi zalim. Telah nyata hadis-hadis yang menyokong apa telah aku sebutkan. Telah sepakat Ahl al-Sunnah bahawa pemerintah tidak dipecat dengan sebab kefasikan…sebab tidak dipecat dan pengharaman keluar menentangnya kerana membawa kepada fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata. Maka dengan itu kerosakan dalam pemecatannya lebih banyak daripada mengekalkannya” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 14/540). Maksudnya, jika usaha menukar pemerintahan itu boleh menyebabkan tumpah darah, atau rosaknya negara sehingga diambil kesempatan oleh orang lain umpamanya, maka tindakan itu adalah haram dengan sepakat para ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah.

Perebutan politik dalam Dunia Islam hari ini, jika tidak terkawal boleh membawa kepada campurtangan asing atau membuka kesempatan untuk musuh-musuh Islam menguasai umat. Akhirnya, yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.

Sesungguhnya Islam yang kita pegang hendaklah terikat dengan nas-nas al-Quran dan Sunah. Kita tidak perlu mengampu sesiapa atau meredakan sesiapa. Dunia Islam hari ini memang ada kecacatannya. Bukan sahaja para pemerintah dunia Islam hari ini sahaja, dahulu pun demikian. Melainkan pada zaman-zaman beberapa khalifah yang kegemilangan. Sejarah penumpahan darah kerana keinginan kuasa juga bukan sedikit. Kalau hendak dicari pemerintah yang maksum memang kita tidak berjumpa. Jika setiap kecacatan pemerintah maka balasannya dia ditumbangkan sekalipun dengan mengorbankan keselamatan masa depan umat, maka tidak ada kerajaan yang aman dalam Dunia Islam. Kemunduran dan pergolakan akan terus menguasai keadaan. Kita mungkin ingin mencuba sesuatu yang belum kita tahu, tapi pastikan jangan sampai kita menjemput padah yang tidak sudah dan luka yang lebih parah. Melainkan apabila kita benar-benar yakin bahawa kewujudan kuasa pemerintah itu jauh lebih merbahaya daripada ancaman masa depan yang akan dipertaruhkan.

Sebab itu dalam hadis daripada ‘Ubadah bin Samit, katanya: Nabi s.a.w. telah memanggil kami, maka berbai‘ah (berjanji setia) dengannya. Baginda perintah kami berjanji setia untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) pada perkara yang kami suka dan kami benci, dalam keadaan kami senang dan susah, juga ketika pemimpin lebih mementingkan diri mereka melebihi kami. (Kami juga berjanji setia) tidak akan merebut kuasa dari pemerintah melainkan jika melihat kufr bawah (kufur yang nyata), yang ada bukti dari Allah (kekufuran yang jelas dengan dalil syarak) (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini bukan menyuruh membiarkan pemerintah bermaharaja lela, tetapi menyuruh kita menilai kesan terhadap sesuatu pemberontakan kuasa. Maka dalam usaha membaiki keadaan, umat Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang membawa kerugian yang lebih besar.

Ketamakan politik jika telah memenuhi nafsu diri seseorang boleh menyebabkan dia melupai segala. Ia boleh membutakan mata terhadap kepentingan umat dan masa depan negara. Maka tidak hairanlah jika ada orang muslim yang berpakat dengan bukan muslim untuk menjatuhkan pemerintah muslim. Sedangkan dia sendiri pun tidak dapat memberi jaminan apakah yang akan terjadi seterusnya setelah mereka yang bukan muslim menumpaskan negara muslimnya. Demi sesungguhnya saya tidak pernah takut dengan kuasa pemerintah. Saya tidak berkeinginan mengampu mereka. Telah pun saya selar secara umum perbuatan yang merugikan rakyat. Namun saya sedang bercakap tentang nas-nas Nabi s.a.w dan kemaslahatan masa depan umat ini yang menjadi pertimbangan utama.

Saya teringat dengan seorang insan yang bersemangat bercerita tentang kewajipan menumbangkan pemerintah walau apapun risiko kita akan tanggung kemudian, katanya. Jika hendak difikirkan risiko, apa kerja pun tak jadi. Masa depan bukan di tangan kita, itu urusan Allah, tambahnya. Saya yang mengetahui rekod anaknya yang bermasalah berkata: “kenapa tidak dihalau sahaja anak haji itu keluar dari rumah”. Dia jawab: “Tidak bolehlah macam, nanti lebih teruk lagi jadinya. Sebagai bapa saya kenalah berfikir panjang”. Saya kata kepadanya: “Apakah boleh saya anggap haji ini ayah yang penakut? Masa depan bukan urusan kita”. Dia terdiam. Demikianlah kebanyakan manusia selalu memikirkan kepentingan diri, tetapi tidak kepentingan umum.

Sehingga ada yang menganggap apabila kita benci kepada pemerintah yang muslim, kita tidak boleh menolong mereka atau taat dalam setiap arahan mereka. Padahal para ulama Islam menyatakan jika pemerintah muslim meminta rakyat berjihad bersamanya menghadapi kuffar maka wajib mereka mentaatinya tanpa perlu melihat kepada peribadi pemerintah samada dia seorang yang adil atau zalim. Ini kerana, persoalan menentang musuh-musuh Allah demi mempertahankan agama atau tanahair kaum muslimin adalah kewajipan yang tidak terhenti atau terbatal hanya disebabkan tidak puas hati rakyat kepada pemerintah. Demikian juga apabila pemerintah mengajak kepada sesuatu kebaikan maka tidak perlu dipertikaikan keperibadiannya dalam mentaati perkara yang baik. Inilah yang diingatkan oleh para ulama sejak dahulu lagi iaitu; umat wajib mentaati pemerintah yang muslim dalam persoalan kebaikan dan kebajikan.

Kata al-Khattabi (meninggal 388H): “Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357). Inilah yang diputuskan oleh para ulama Islam. Sebabnya, mempertahankan umat adalah kepentingan umum yang mana kejatuhannya atau kekacauan berterusan dalam negara adalah lebih buruk dari kesalahan seorang pemerintah yang masih muslim.

Mungkin ada yang akan berkata: habis apa peranan kita jika ada kesalahan pemerintah? Diamkan diri sahaja? Biarkan? Demi sesungguhnya tidak pernah saya berkata demikian. Tidaklah pernah ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah ini mengajar demikian. Bahkan kita disuruh bercakap benar dan jujur dalam menasihati pemerintah serta bekerjasama dengan mereka dalam urusan kebaikan dan mencegah mereka dari kemunkaran. Malangnya, ramai orang menyalahtafsirkan bercakap benar atau menasihati itu dengan memaki hamun mereka secara peribadi di khalayak ramai. Mencegah dari kemunkaran pula ditafsirkan dengan memberontak menjatuhkan mereka dan mendapat kerusi untuk diri atau kelompok sendiri.

Jika Fir‘aun yang melampaui batas itu, tetap Allah perintahkan Musa dan Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik, seperti firmanNya (maksudnya) “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut”.( Taha: 43-44). Maka apakah wajar kita memaki pemerintah muslim secara terbuka? Tentu mereka tidak lebih jahat daripada Firaun yang Allah perintahkan kedua nabiNya berjumpa secara hadapan dan menasihati dengan lunak.

Hari ini, kebanyakan cercaan ke atas individu penguasa itu bukan sahaja tidak lunak, bahkan tidak secara berhadapan. Bahkan kadang kala makian itu sehingga membabitkan persoalan yang amat diharamkan Allah dan RasulNya. Sehingga ada yang sanggup membokar rahsia peribadi, kaum keluarga dan menghina rupa paras yang Allah ciptakan, padahal tiada kaitan dengan negara sama sekali. Demi Allah, itu semua diharamkan syarak dengan sebenar-benar pengharaman. Apakah itu dinamakan dakwah?. Saya tidak membantah nasihat dalam bentuk yang umum. Namun mencerca maki peribadi dengan harapan mendapatkan kerusi, hendaklah dinilai semula dengan pertimbangan syarak.

Pernah saya katakan: “Wahai anda yang menggunakan nama agama, jika diandaikan ketika anda berceramah sedemikian rupa, baginda s.a.w hadir mendengarnya, apakah baginda akan redha dan mengakui inilah rupa dakwah Islam yang baginda bawa?!. Jika anda menjawab ya! Maka Rasulullah yang anda dakwa itu amat jauh sifatnya dari apa yang tercatat dalam al-Quran dan Sunah.” 

Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ( Mengemudi Bahtera Perubahan Minda )

Serahan 13/11/2009

November 22, 2009

Hari ini sebanyak 22 000 rubles telah diserahkan. Jazakumullah khairan kathira.

BERSATU MEMBANTU UMMAH!

Sumbangan boleh diwakilkan kepada:

Badan Penggerak Khas Tabung Kirovsky
Afham Naqiuddin Bin Osman
Account No: 153010170580 MAYBANK
Email : musliminvolgograd@gmail.com
Alamat di Malaysia : LOT 1203 LORONG PAKATAN KG GUCHIL BAYAM 15200 KOTA BHARU KELANTAN
No telefon : 097646155 (MALAYSIA), +79275479976 (RUSSIA)
*Pelajar Volgograd boleh menyampaikan sumbangan anda kepada ketua kumpulan, naqib dan naqibah masing-masing.

Next Page »