Muslims In Volgograd

Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality

Archive for November, 2009

Ustaz Fadhil Dan Perubahan Umat

Y.B Dato’ Fadhil Noor terkenal sebagai tokoh yang terbuka dalam menilai keadaan dan suasana. Wataknya ini telah banyak mencetus rentak perubahan berfikir sebahagian mereka yang jumud. Saya menyanggap beliau sebagai tokoh politik pro-Islam yang moderat.

 

Baru-baru ini saya agak tertarik dengan kenyataan Y.B Dato’ Fadhil Noor, dalam suatu temuramah dengan beliau oleh wakil malaysiakini mengenai penubuhan negara Islam. Kata beliau: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi. Kita perlu mencari strategi bertemu dengan rakyat supaya ia dapat diterima oleh semua pihak”

Mungkin ada sebahagian di kalangan yang kurang faham menganggap Ustaz Fadhil dengan kenyataan ini seolah-olah mula longgar dengan perjuangannya. Namun bagi yang mengkaji nas-nas Islam secara meluas dan mendalam akan menilai kenyataan ini, sebagai suatu kenyataan.yang pengucapnya memahami tabiat Islam. Golongan yang gopoh, yang berkempen negara Islam tanpa ilmu yang masak, seperti yang menghafal sepatah dua ayat dan berceramah tidak mungkin dapat mengucapkan satu unggapan yang begini. Ucapan ini lahir daripada memahami hakikat dan tabiat din yang sebenar.

Kita perlu faham bahawa di dalam agama ada perkara yang sebut sebagai adillah qat`iyyah iaitu dalil-dalil yang putus yang hanya memberi suatu makna jelas yang tidak difahami selain makna tersebut yang ianya juga qat`iyyah al-thubut iaitu yang sampai kepada kita secara mutawatir. Dan ada pula yang disebut sebagai adillah zanniyyah ianya boleh ditafsir lebih dari satu makna dan kepastian tentang ketulenannya juga zan (tidak putus) atau kita katakan tidak sampai ke darjat mutawatir. Bahagian inilah yang mencetuskan khilaf pendapat di kalangan ulamak mujtahidin.
Dalam hukum-hakam dan dalil-dalil syarak kebanyakan adalah zaniyyah dalam ertikata ianya boleh menyebabkan khilaf dalam memahaminya. Inilah yang disebut para penulis Usul al-Fiqh yang klasik mahu yang baru. Kebanyakan hadith-hadith yang termaktub dalam kitab-kitab sahih mengandungi dalil-dalil zaniyyah, samada disebabkan ianya hadith-hadith aahad yang tidak sampai ke darjat mutawatir atau disebabkan ianya boleh difahami dengan berbeza-beza maksud”

Malangnya, ada yang dipanggil ustaz tetapi tidak dapat membezakan dua perkara di atas. Umpamanya, dalam suatu forum kebetulan saya salah seorang panelnya, seorang tokoh, beliau menyatakan Rasulullah dalam baiah tidak bersalam denga perempuan, itu adalah dalil qat`i haram bersalam dengan perempuan” Inilah tanda jahilnya dia terhadap maksud dalil qat`i. Saya bukan menyokong bersalam dengan perempuan ajnabi atau bukan mahram, tetapi ianya adalah masalah khilaf. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam dalam buku al-Fatwa al-Mu`asarah mengharuskannya. Itu adalah tarjih beliau disebabkan dalilnya tidak qat`i. Al-Syeikh `Abd al-Hamid Qafa mentarjihkan sebaliknya.

Semua kita yakin, perlunya ditegakkan kerana pemerintahan yang menjunjung titah perintah Allah dan RasulNya s.a.w. Namun strategi untuk sampai kepadanya memerlukan kebijaksanaan yang cukup. Apatah lagi Islam tidak menentukan suatu cara khusus dalam menegakkan daulah Islamiyyah. Kita juga tidak dapat menerima kenyataan sebahagian orang yang menyatakan bahawa seperti mana Islam mengajar solat demikianlah juga Islam mengajar tentang pembentukan negara Islam. Ini tidak benar, solat diajar oleh Islam dari awal hingga akhir dengan tidak boleh kita membuat sebarang penambahan melebihi apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. kerana itu adalah bid`ah, adapun negara Islam, kita hanya diajar beberapa asas-asas utama sahaja dan baki adalah masalah ijtihadiyyah (ijtihad)

Kita juga perlu tahu bahawa zaman dan tempat tidak menentukan rupa bentu Islam, tetapi Islam meraikan perubahan manusia, tempat dan zaman. Inilah yang disebut oleh ulamak usuliyyin: Taghair al-Fatwa bi taghair al-Amkinah wa al-Azminah iaitu berubahnya fatwa disebabkan berubahnya tempat dan zaman. Umpamanya di dalam hadith-hadith yang sahih termasuk yang diriwayatkan oleh al-Bukhari Rasulullah s.a.w. melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari. Pada tahun berikut para sahabat bertanya Nabi s.a.w.apakah mereka perlu buat seperti tahun lalu? Kata Nabi s.a.w.: Makan dan simpanlah kerana pada tahun lepas orang ramai dalam keadaan susah dan aku mahu kamu menolong mereka”. Dalam riwayat yang lain disebutkan disebabkan daffah iaitu orang ramai yang datang dari luar Madinah. Jelas sekali bahawa adanya larangan Nabi s.a.w. disebabkan oleh keadaan tertentu atau punca tertentu yang sebut dalam usul al-Fiqh sebagai illah al-Hukum. Apabila hilang punca dikeluarkan sesuatu hukum maka hukum pun dipadamkan. Dengan itu, al-Imam as-Syaf`i sebagai tokoh terawal menulis dalam Usul al-Fiqh memasuk bab al-`Ilal fi al-Ahadith (`ilah-ilah di dalam hadith-hadith) dalam kitabnya al-Risalah.

Banyak lagi contoh-contoh yang lain di dalam hadith kalau nak disebutkan, yang menunjukkan perubahan zaman mengubah fatwa. Inilah juga amalan para sahabah yang menghukum beberapa perkara tidak sama seperti hukuman pada zaman Nabi s.a.w. disebabkan perubahan yang berlaku, umpamanya Saidina Umar tidak memberi zakat kepada golongan al-muallaf qulubhum (yang cuba didekatkan kepada Islam) pada zamannya sekalipun hak mereka disebut di dalam al-Quran dan mereka diberikan zakat oleh Rasulullah s.a.w.. Ini disebabkan perubahan keadaan dan suasana dengan kata Umar : Allah telah memuliakan Islam dan tidak memerlukan mereka!” Sesiapa yang ingin pendetilan dia boleh menyemak tuisan para ulama termasuk tulisan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah.

Para ulama ketika mengeluarkan pendapat, fatwa dan huraian juga melihat perubahan keadaan dan masa. `Umar bin `Abd al-Aziz ketika mentadbir Madinah hanya menuntut seorang saksi dan sumpah. Namun ketika di Syam beliau menuntut dua orang saksi disebabkan orang Syam tidak seperti orang Madinah. Inilah juga yang menyebabkan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah ketika mengulas hadith “Para pemimmpin itu dari kalangan Quraish” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhih: sanadnya jaiyyid) ialah disebabkan kerana ketika itu Quraish memilik kekuatan kaum dan puak. Maka mana-mana bangsa dan individu yang mempunyai kekuatan seperti itu dia layak sekalipun bukan Quraish. Ini disebabkan beliau menilai punca lahirnya arahan Nabi s.a.w.

Begitu juga dalam hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dengan al-Tirmizi mensahihkannya, baginda Nabi s.a.w enggan menetapkan harga barang untuk para peniaga pada zaman baginda sekalipun diminta berbuat demikian. Jika kita laksanakan hadith ini pada zaman ini dengan tidak ditetapkan harga siling untuk para pedagang pasti orang ramai akan kesusahan dan para peniaga akan bermaharajalela dengan menaikkan harga gula, beras, daging dan sebagainya mengikut kehendak mereka. Dengan itu para ulama menyatakan Rasulullah s.a.w tidak menetapkan harga disebabkan tidak ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian ketika itu. Para fuqaha mengizinkan untuk para pemerintah mentapkan harga jika perlu. Ini dibahaskan oleh mereka termasuk al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Turuq al-Hukmiyyah, bahkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa menyatakan kadang-kala wajib ditetapkan harga jika keadaan menuntut demikian.

Apa yang saya ingin nyatakan ialah kita perlu menilai perubahan kerana ini tuntutan Islam itu sendiri. Islam agama yang hidup setiap masa dan zaman. Barangkali inilah yang menyebabkan Ust. Fadhil menyebut: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi”

Sebenarnya dalam banyak keadaan, melaksanakan Islam pada zaman ini jauh lebih susah daripada zaman lampau. Memegang Islam bagaikan memegang bara yang panas. Umpamnya, riba dengan mudah sahaja diharamkan pada zaman Nabi .s.a.w.. Dengan penegasan baginda s.a.w., para sahabah berhenti berurusan dengan riba dan negara bersih dari riba. Namun pada zaman ini pengharaman riba memerlukan usaha yang jauh lebih besar dan susah. Ianya bukan hanya melibatkan individu, tetapi bank-bank, bukan sahaja bank-bank biasa tetapi juga Bank Negara, bank negara pula berusan dengan bank-bank di peringkat antarabangsa yang mengamalkan riba. Usaha kita perlu jauh lebih besar.

Dalam keadaan sekarang jika kita ingin menguasai syarikat-syarikat besar dan utama yang menentukan kepentingan umat seperti elektrik negara, air negara dan seumpamanya, terpaksa terjerumus ke dalam kancah riba. Jika dibiarkan pula golongan pihak lain akan mengambilnya dan masa depan umat dalam bahaya. Inilah menyebabkan beberapa tokoh ekonomi Islam seperti al-Syeikh Mustafa al-Zarza, mengizinkan penglibatan muslim dalam hal yang sebegini.
Pemikiran dan kefahaman terhadap agama perlu mendalam dan jauh menjangkau agar Islam tidak dipinggirkan dan dianggap tidak mampu. Usaha mengujudkan daulah Islamiyyah yang memayungi umat adalah kewajipan kita. Namun usaha ke arah itu perlu dengan kefahaman yang mantap terhadap ruh syariat.

[artikel ini ditulis oleh DR MAZA hampir sembilan tahun lalu (tahun 2000) dalam Majalah Tamadun semasa beliau masih pelajar di IIUM. Semasa itu al-marhum Dato’ Fadhil Noor masih hidup. Tulisan disiarkan semula sekadar bahan bacaan ‘sejarah’ yang pernah ditulis oleh DR MAZA semasa belum memiliki Ph.D, belum menjadi pensyarah universiti, mufti dan belum dikenali seperti sekarang]

  • 0 Comments
  • Filed under: 5. Blog
  • Tajdid Satu Keperluan Umat.

     Tajdid atau pembaharuan (renewal) adalah satu keperluan. Jika tidak kerana gerakan atau usaha tajdid sepanjang sejarah umat ini tentulah Islam menjadi begitu lemah dan hilang kemampuannya. Nabi s.a.w dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud menyebut: “Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini agamanya”.

    Sepanjang sejarah, tokoh-tokoh atau gerakan tajdid muncul melaksanakan berbagai usaha dan menghadapi berbagai cabaran. Berbagai-bagai bidang tajdid dilakukan demi kebaikan umat. Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz ialah tokoh tajdid (mujaddid) yang disepakati umat. Kemudian muncul berbagai tokoh lain yang dianggap mujaddid; seperti al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H), al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dan lain-lain.

    Perkataan ‘man’ atau sesiapa dalam hadis di atas mencetuskan berbagai tafsiran di kalangan sarjana. Mereka membahaskan apakah ia bermaksud ‘seorang’ setiap kurun, atau ramai tetapi bertebaran di berbagai tempat dan negeri yang berbeza, atau ia bermaksud gerakan dan seumpamanya. Apapun yang penting, hadis ini menceritakan tajdid dalam Islam adalah keperluan.

    Tajdid bukan bererti mendatangkan agama baru. Di sini dua maksud tajdid boleh diberikan; pertama, tajdid bermaksud mengembalikan wajah asal agama seperti kita membaharukan semula sesuatu yang telah menjadi buruk atau akan luput tarikhnya. Pembaharuan atau tajdid bererti yang asal itu wujud, tetapi keadaan dan masa menuntut ia dibaharukan. Contoh yang praktikal adalah kita membaharukan lesen memandu atau selainnya. Lesen asal itu ada, tetapi dipembaharuan dibuat disebabkan ia menjadi lama atau luput.

    Kedua, tajdid juga boleh bermaksud benar-benar mendatang sesuatu yang baru disebabkan kerana keperluan dan tuntutan yang baru yang tiada pada zaman sebelumnya seperti manusia mengadakan kenderaan moden, tetapi atas asas yang sama iaitu kehendakan manusia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

    Maka dalam konteks Islam, sesuatu yang baharu itu hendaklah tidak mengubah agama, sebaliknya tafsiran atau pandangan yang baru disebabkan tuntutan keadaan, namun ia tetap tidak lari dari maksud dan kehendak nas al-Quran dan al-Sunnah. Dalam ertikata lain, pembaharuan Islam bermaksud mengembalikan umat kepada wajah asal Islam yang telah tercemar dan dilupai disebabkan keadaan dan zaman, atau mengadakan tafsiran dan pandangan baru atas keperluan semasa tetapi tetap berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

    Dalam hadis yang lain baginda menyebut:

    “Hendaklah membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil.” (Riwayat al-Baihaqi, Ibn ‘Adi dan lain-lain. Dinilai hasan oleh al-Imam Ahmad).

    Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber rujukan Islam yang tidak boleh diubah. Namun di sana ada dua masalah utama mengenai dua sumber agung ini; pertama, pencemaran terhadapnya. Kedua, penafsiran terhadap maksudnya. Al-Quran sekalipun dijamin oleh Allah tidak mungkin mampu diselewengkan teks asalnya, tetapi ia dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan dimasukkan unsur-unsur Israiliyyat dan kisah-kisah dongeng yang cuba dikaitkan dengan al-Quran. Sehingga mereka yang tidak tahu, merasakan cerita-cerita al-Quran bagaikan ‘lucu’ dan tidak praktikal.

    Ini bukan sedikit yang dibuat oleh sesetengah para penceramah agama di media elektronik dalam negara kita. Adapun hadis, terdapat ribuan hadis-hadis palsu yang telah direka sepanjang sejarah untuk berbagai kepentingan, atau atas kejahilan. Di Malaysia ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik dan membaca hadis sehingga kadang-kala cerita-cerita lucu atau tidak munasabah dikaitkan dengan hadis. Kesemua ini memerlukan tajdid.

    Akidah adalah teras Islam. Akidah Islam itu mudah dan jelas. Semudah dan sejelas akidah dalam Surah al-Ikhlas. Sesiapa yang membaca al-Quran seperti Surah al-An’am akan mendapati kejelasan akidah Islam. Ia tidak berbelit-belit seperti sukatan yang mengajar sifat Allah dengan menghafal; Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta. Ramai yang muallaf dan bukan muallaf tidak jelas mengenai akidah dan mudah ‘menukar agama’ walaupun menghafal sukatan ini. Ini kerana sukatan tersebut adalah ajaran falsafah yang tidak sekukuh akidah yang mudah dan jelas yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlukan tajdid dalam hal ini.

    Dalam kefahaman fekah, taksub ‘mazhab’ yang cuba diwariskan kepada kita sesetengah kelompok konservatif agama menjadi masyarakat kita ‘buta dalil’ atau langsung tidak bertanya khabar tentang di manakah sumber sesuatu amalan agama dibuat. Benarkah ia berasal dari al-Quran dan al-Sunnah atau sekadar andaian. Bahkan yang taksub mazhab Syafi’i itu sendiri pun tidak pasti, betulkan al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H) berpendapat demikian? Atau sekadar ‘mulut orang’.

    Lebih bermasalah lagi, kita kefahaman fekah tanpa dalil atau berasaskan dalil yang lemah itu menyebabkan kejumudan dan kesusahan umat. Diletakkan hukum-hakam yang tidak berasaskan nas yang jelas seperti ‘arahan menyamak rumah’ yang diajar oleh sesetengah pihak. Sudahlah tiada asas yang jelas, ia membebankan umat yang bukan-bukan. Keperluan kepada fekah yang berasaskan dalil dan mudah adalah tuntutan zaman ini. Dalam hadis Nabi s.a.w menyebut:

    “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).

    Tazkiah al-Nafs, atau penyucian jiwa yang juga disebut oleh sesetengah pihak sebagai tasawwuf adalah satu keperluan. Namun persoalan yang begitu halus seperti itu yang membabitkan hubungan jiwa insan dengan Allah memerlukan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Jika tidak ia akan terbabas menjadi bahasa-bahasa falsafah, igauan mengenai alam ghaib, sibuk dengan cerita wali dan keramat itu dan ini dan berbagai falsafah pelik yang lain. Tidak membawa mereka menuju kepada Allah sebaliknya ada yang terheret ke dalam kancah tarekat-tarekat yang pelik sehingga mereka tidak lagi mempelajari al-Quran dan hadis sebaliknya menumpukan kepada ‘apa kata tok syeikh’. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

    Politik keperluan manusia untuk hidup bermasyarakat. Islam mempunyai panduan mengenainya. Namun oleh kerana terbiasa dengan cara politik Barat, bahkan kita lebih buruk dari mereka kadang-kala, maka politik bukan membawa kebahagiaan dan ketenteraman kepada umat, sebaliknya mencetuskan kesusahan, kegelisahan dan berbagai lagi kerenah yang lain. Pemikiran Islam dalam politik menjadi begitu tidak jelas sekalipun yang memakai jenama Islam atau yang berkaitan dengannya. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

    Banyak perkara-perkara baru yang wujud di zaman ini yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Berbagai perubahan keadaan umat dan dunia menuntut berbagai pandangan baru dicetuskan demi survival umat. Islam itu diturunkan untuk maslahat manusia. Sesetengah pandangan atau pendapat sarjana Islam yang silam, mungkin bukan salah, tetapi telah luput tarikh disebabkan perubahan zaman dan keadaan. Maka mentajdidkan pendapat atau pandangan baru yang masih teraskan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu keperluan dan tuntutan. Sebahagian nas al-Quran dan al-Sunnah hendaklah dilihat dalam konteks yang lebih luas dari segi maksud dan ‘semangatnya’.

    Jelas, usaha dan gerakan tajdid adalah keperluan umat, termasuk kita di Malaysia. Walaupun kadang-kala usaha tajdid di Malaysia pernah dikritik oleh yang tidak selesa dengannya dengan berbagai tohmahan. Namun baginda pernah menyebut:

    “Islam itu bermula dalam keadaan yang asing, dan akan kembali asing maka beruntung mereka yang asing.” Ditanya baginda: “Siapakah mereka wahai Rasulullah!”. Jawab baginda: “Mereka yang membaiki ketika manusia rosak”. (Riwayat Ahmad, sahih).

     

     

    Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ( Mengemudi Bahtera Perubahan Minda )

     

    Bolehkah Berwudhuk Tanpa Menanggalkan Khuf (kasut kulit), al-Jaurab (Stokin), Muq, Kasut, Dan Seumpamanya (Penutup Kaki)

    Berkenaan Khuf (Kasut Yang Diperbuat Daripada Kulit)

    1 – Memakai khuf dalam keadaan suci (berwudhuk)

    “aku bermusafir bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan. Lalu aku ingin membuka menanggalkan khuf Baginda. Kemudian baginda bersabda: Biarkan kedua-duanya. Ini kerana, aku memakainya dalam keadaan kedua-duanya suci. Lalu baginda menyapu di atas kedua-dua khufnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, an-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

    Kata imam an-Nawwi rahimahullah:

    “…bahawa tidak boleh menyapu khuf kecuali memakainya selepas menyempurnakan wudhuk.” (Rujuk syarh sahih Muslim, jil. 3. 170)

    2 – Khuf mestilah dalam keadaan suci (dari najis)

    Abu Said al-Khudri r.a. berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w. mengimami solat para sahabatnya maka baginda telah menanggalkan kedua-dua belah seliparnya lalu meletakkan kedua-duanya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat perbuatan itu, mereka juga menanggalkan selipar mereka.

    Setelah selesai solat, baginda bertanya: Mengapa kamu semua menanggalkan selipar kamu? Jawab mereka: Kami telah melihat engkau menanggalkannya lalu kami pun menanggalkan selipar kami.

    Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku memberitahu bahawa terdapat kotoran (najis). Oleh itu, apabila sesorang datang ke masjid, lihatlah selipar mereka. Jika dia melihat ada kotoran atau najis pada seliparnya, sapukanlah ke tanah dan solatlah menggunakan selipar itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ahmad, ad-Darimi, Ibn Khuzaimah, dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zhahabi dan al-Baohaqi. Juga al-Albani di dalam al-Irwa, m/s. 284)

    3 – Sapuan hanya boleh dibuat jika berhadas kecil. Jika hadas besar, wajiblah menanggalkannya dan mandi wajib

    Sofwan bin ‘Assal r.a. berkata: “Apabila kami bermusafir, Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami agar tidak menanggalkan khuf selama tiga hari tiga malam dan tidak menanggalkannya jika buang air besar, air kecil, dan tidur kecuali kerana junub.” (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, an-Nasai’e, Ibn Khuzaimah, Abdul Razzaq, Ibn abi Syaibah, dan al-Baihaqi. Disahasankan oleh al-Albani di dalam al-Irwa, m.s. 104)

    Kata al-Imam as-Syaukani r.h.: “Hadis ini merupakan dalil bahawa tidak perlu menanggalkan khuf dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan berhadas kecil selagi mana tidak berjunub.” (Nail al-Authar, jil. 1, m.s. 231)

    4 – Waktu (sela masa) dibolehkan bagi menyapu khuf

    Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. menetapkan (tempoh menyapu khuf) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim.” (Hadis Riwayat Muslim)

    Sheikh Ibn Uthaimin r.h. menjelaskan hal ini sebagai katanya: “Berdasarkan kaedah ini, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendapat paling rajih (tepat) adalah permulaan tempoh (hari) sapuan dikira ketika mula menyapu khuf dan bukannya ketika (mula) berhadas.” (Rujuk Syarh al-Mumti’, jil. 1. m.s. 208)

    Imam an-Nawawi juga menjelaskan sebagai katanya: “Hadis ini merupakan hujah yang terang dan dalil yang jelas bahawa syarat menyapu khuf telah ditetapkan waktunya, iaitu selama tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad, dan jumhur ulama terdiri daripada para sahabat serta generasi selepas mereka.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, m.s. 176 dan al-Muhalla, jil. 2, m.s. 87-89)

    5 – Kaedah sapuan ke atas khuf

    Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Kalaulah hukum-hukum agama ini terbina atas dasar akal, tentulah menyapu di bahagian bawah khuf itu lebih afdhal berbanding atasnya. Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Daruqutni, al-Baihaqi. Ibnu Hajar mengklasifikasikan sanadnya sebagai sahih. Dan al-Albani turut mensahihkannya di dalam al-Irwa, m/s. 103)

    Al-Sha’nani r.h. menjelaskan: “Bahawa hadis ini menunjukkan sapuan hanya di atas khuf dan tidak ada cara selain itu. Jangan sesekali menyapu di bawah khuf.” (Rujuk Subul al-Salam, jil. 1, m/s. 22)

    Ibn Qayyim juga menjelaskan: “Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya. Tidak sahih riwayat mengenai sapuan di bawah khuf kecuali terdapat hadis yang munqati’ (terputus sanadnya). Sedangkan, hadis yang sahih menyatakan sebaliknya.” (Rujuk Zaad al-Ma’ad, jil. 1, m/s. 199)

    Al-Auza’i r.a. berkata: “Nabi s.a.w. menyapu dengan kedua-dua belah tapak tangannya di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan menarik ke atas hingga ke betis.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 454)

    - Sapu dengan sekali sapuan sahaja:

    Al-Fadhl bin Bisyrin berkata: “Aku telah melihat Jabir bin Abdullah berwudhuk lalu menyapu di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan, iaitu daripada hujung khuf ke atas. Kemudian, dia telah menunaikan solat lima waktu. Katanya: Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. melakukan begitu. Oleh itu, aku pun turut melakukan seperti apa yang aku lihat Rasulullah s.a.w. lakukan.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 453)

    Nafi’ berkata: “Aku telah melihat Ibn Umar r.a. menyapu atas kedua-dua belah khufnya, iaitu sekali sapuan menggunakan kedua-dua belah tangannya. (Rujuk Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 220 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 445)

    Berkenaan Selain Khuf (Kasut, stokin, dan seumpamanya…)

    6 – Bolehkah Menyapu Kepada Sarung Kaki (al-Jaurab) Menggantikan Khuf?

    Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah khuf dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi – sebagai hasan sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa dan Tamam al-Minnah)

    Al-Syaukani r.h. berkata: “Hadis telah menunjukkan bahawa boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab.” (Rujuk Nail al-Authar, jil. 1, m/s. 228)

    Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah – Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sunan Ibn Majah)

    ‘Amru bin Huraith r.a. berkata: “aku telah melihat ali bin abu Talib kencing. Kemudian, beliau berwudhuk sambil menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Ibn abi syaibah, jil. 1, m/s. 189 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)

    Hammam bin al-Harith r.a. berkata: “Abu Mas’ud telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis Riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi syaibah, jil. 1, m/s. 188 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)

    Menurut Qatadah r.a., bahawa Anas bin Malik r.a. telah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi Syaibah, jil. 1, m/s. 190 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462-463)

    Yahya al-Buka’ r.a. pernah mendengar Ibn Umar r.a. berkata: “Menyapu di bahagian atas al-Jaurab sama seperti menyapu di bahagian atas kedua-dua belah khuf.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn abi Syaibah, jil. 1, m/s. 189, Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 463 dan al-Baihaqi, jil. 1, m/s. 285)

    Ibn Taimiyyah r.h. menjelaskan: “Boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab apabila ia digunakan semasa berjalan sama ada diperbuat daripada kulit atau tidak mengikut pendapat ulama adalah yang paling sahih (tepat).” (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, jil. 21, m/s. 214-215)

    Ibn Qayyim r.h. berkata: “Mengenai keharusan menyapu di bahagian atas al-Jaurab adalah pendapat kebanyakan para ilmuan. Antara mereka yang kami maksudkan adalah terdiri daripada para sahabat, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan al-Tsauri, ‘Atho’ bin abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Said bin al-Musayyab, dan Abu Yusuf. Kami tidak mengetahui bahawa terdapat sebahagian sahabat mengingkari perbuatan nama-nama yang kami sebutkan.” (Rujuk Tahzib al-Sunan, jil. 1, m/s. 188-189, dan al-syarh al-Mumti’, jil. 1. m/s. 193)

    Sheikh ‘Uthaimin r.h. menjelaskan: “Apa sahaja yang dipakai pada kaki sama ada dinamakan khuf, jaurab (stokin), muq, dan seumpamanya, hukum menyapu di bahagian atasnya adalah boleh. Ini kerana, ‘illah (sebab dan tujuan) semua itu adalah sama.” (Rujuk al-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 193)

    7 – Bolehkah Menyapu Di Atas Khuf dan al-Jaurab Yang koyak?

    Sufyan at-Tsauri r.a. berkata:

    “Sapulah di bahagian atas apa sahaja yang dipakai di kaki. Bukankah engkau dapati khuf golongan muhajirin dan ansar berkenaan koyak, uzur, dan lusuh.” (Hadis riwayat abdul Razzaq dan al-Baihaqi)

    Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Pendapat paling rajih (tepat) ialah boleh menyapu bahagian atas al-Jaurab yang koyak atau nipis sehingga menampakkan kulitnya.” (Rujuk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 167 dan Risalah al-Mashu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 84-86)

    8 – Adakah Terbatal Wudhuk Sekiranya Berhadas, Dan Kemudiannya Berwudhuk Semula Berserta Khufnya (dengan memakai khuf) Lalu Membuka Khuf (Selepas Wudhuk)

    Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa: “Tidak terbatal wudhuk orang yang menyapu khuf dan serban disebabkan dia menanggalkannya (membuka kasut setelah berwudhuk dengannya; juga bagi serban yang menggantikan sapuan ke atas kepada). Begitu juga tidak terbatal tempohnya disebabkan perbuatan itu. Dia juga tidak wajib menyapu kepala atau membasuh kedua-dua kakinya (selagi masih berada di dalam tempoh sapuan).” (Rujuk al-Ikhtiyarat, m/s. 15, Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 86-88 dan majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179)

    9 – Terbatalkah Wudhuk Serta-Merta Disebabkan Tempoh Sapuan Telah Tamat?

    Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Wudhuk tidak terbatal disebabkan tempoh sapuan telah tamat. Ini kerana, apa yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. hanyalah tempoh (yang membolehkan) sapuan yang berakhir bukannya tempoh wudhuk berakhir. Baginda langsung tidak menetapkan tempoh suci berakhir (terbatal wudhuk) sehingga kita sanggup mengatakan bahawa apabila tempoh sapuan telah tamat maka wudhuk pun terbatal. Bahkan, apa yang ditetapkan ialah mengenai sapuan. Sepatutnya kita katakan: Apabila tempoh telah tamat, tidak boleh menyapu khuf.

    Tetapi, jika kamu menyapu khuf dalam tempoh belum berakhir, engkau berada dalam keadaan suci (berwudhuk). Kamu berada dalam keadaan wudhuk yang sempurna berdasarkan dalil syarak. Setiap perkara yang dilakukan dengan sempurna berdasarkan dalil syarak, sudah tentu tidak membatalkan wudhuk kecuali ada dalil syarak yang lain membuktikan ia terbatal. Sedangkan, tidak ada dalil mengenai perkara itu.” (juk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin dan Rasa-il al-Sheikh al-‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179 dan Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 92-93)

    Kesimpulan:

    Sheikh al-Muhaddith Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkata: “Setelah mengetahui perkara itu, seseorang tidak boleh lagi berbelah bahagi untuk menerima rukhsah (keringanan) ini selepas tsabit hadis mengenainya. Lebih-lebih lagi setelah para sahabat melakukannya.” (Rujuk Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 54)

    i – Apabila seseorang itu berwudhu’ dengan sempurna lalu kemudian terus memakai kasut dalam keadaan wudhuk (memakai kasut dalam keadaan berwudhuk – suci dari hadas) maka apabila dia hendak mengulangi wudhuknya di kemudian masa dia tidak perlu membasuh kaki dengan air (tidak perlu buka penutup kakinya) tetapi mencukupi dengan menyapu di bahagian atas kasut tersebut.

    ii – Syarat kasut yang dipakai adalah sesuatu yang menutupi dari jari-jari kaki sehingga ke buku lali (angkle). Jikalau kasut tersebut tidak mencapai hingga ke buku lali maka memadai dengan memakai sarung kaki yang menutupi buku lalinya itu.

    iii – Kebolehan menyapu di atas kasut terhad kepada satu hari penuh bagi orang yang berada di kampung halaman atau tiga hari penuh bagi orang yang berada dalam perjalanan.

    Antara Faedah Dan Hikmah Keringanan Daripada Hal Ini:

    i – Merupakan contoh keringanan (rukhsah) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. yang wajar diikuti.

    ii – Memberi keringanan dan kemudahan ketika dalam perjalanan di tempat-tempat yang menyukarkan kita untuk membuka kasut, seperti di dalam hutan, padang pasir yang panas, dan tempat bersalji yang sejuk.

     

    Sumber: Abu Huzaifah Nawawi b. Subandi ( Fiqh & Sunnah)

    apa ertinya saya menjadi doktor

    A&EMalam kian pekat. Saya meneruskan langkah yang semakin longlai. Perut juga menyanyi kelaparan, berperang dengan mata yang minta ditutup (nak makan vs nak tidur). Otak memang letih, setelah berjam-jam diperah dan stressmemikirkan rawatan dan tindakan pantas yang sesuai untuk pesakit yang datang bertubi-tubi ke pintu Accident & Emergency. Emosi? Susah kot nak senyum selepas habis oncall. Itu mungkin satu jihad.Oncall di bahagian Accident & Emergency sungguh memenatkan, kerana  kita perlu sentiasa bersedia. Anything can walk in that door, walaupun mungkin keadaannya tidaklah se-dramatik seperti yang digambarkan dalam drama bersiri ER (Emergency Room).

    .

    Apabila kepenatan, bisa saja hilang motivasi dan lemah semangat. Hati tidaklah terlalu senang gembira melayan kerenah jururawat, selain dari ragam pesakit yang pelbagai. Tidak sedikit bilangan doktor yang sekali-sekala menyesali dan TERsebut ‘kenapalah dulu aku amik medic..’. Blaja susah, keje pun susah. Di celah-celah kesibukan dan stress doktor bekerja, atau bagi medical students yang sedang bergelumang dan hampir lemas dalam timbunan kitab-kitab medic, untuk mencari semula semangat yang hilang tidak mudah.

    .

    Namun, saya merasakan untuk merenung diri, mengingatkan, meluruskan dan memperbetulkan semula nawaitu dalam setiap amal adalah sangat penting.
    “Setiap amal itu bergantung kepada niat.” (Hadith riwayat Bukhari&Muslim)
    Kerana di situlah letaknya nilaian Allah, keredhaan Allah. Kalau kita cuma siapkan semua perkara itu seperti robot dan mesin, alangkah rugi. Dengan nawaitu yang benar, hendaknya kita akan lebih mengerti kenapa kita di sini, dan menaikkan kembali motivasi kita untuk meredah jalan yang masih panjang.

    .

    Ingatkah kita kepada malam-malam yang hening, ketika kita bersujud panjang dan airmata kita membasahi sejadah…

    Kita sangat berdoa Allah mengurniakan kita result SPM yang cemerlang, agar kita boleh meneruskan cita-cita.

    Kemudian kita menyambung berharap tanpa putus kepada Allah, penuh terharu, supaya Allah izinkan kita untuk dapat pergi oversea, untuk dapat biasiswa, untuk dapat fly, dan nak sangat dapat masuk Medical School, nak sangat-sangat… dan kita solat hajat penuh syahdu memohon setiap hari.

    Pada satu ketika yang lain pula, kita menangis dalam doa-doa kita, kita panjatkan tawakal kepada Allah setinggi angkasa, penuh cemas dan takut, agar Allah meluluskan kita dalam peperiksaan tahun akhir pengajian perubatan kita, agar akhirnya dapat bergelar Dr!

    .

    Maha Suci Allah yang telah mengabulkan kesemuanya! Janganlah kita lupa saat-saat itu, dan bersyukurlah sepanjang masa kepadaNya. Kita belajar/kerja ini untuk Allah. Lillahi Taala. Kita buat semua ini untuk Islam. Maka kita mestilah bersemangat selalu, motivated selalu, energetic selalu, dedicated selalu, dalam melaksanakan amanah Allah yang kini tersandang di bahu kita. Kerja itu ibadah. Study itu ibadah. Dan kita mahu menjadi hamba Allah yang senantiasa dalam ibadah, mahu menjadi ‘Ibadurrahman. Kan?

    .

    accountantSungguh seruan keimanan terbuka seluas-luasnya dalam kerjaya ini. Bukankah nilai sihat hanya dapat difahami oleh orang yang sakit? Maka belajarlah dari mereka yang sakit, mudah-mudahan itu akan membuka pintu hati kita untuk merendah diri bermuhasabah atas nikmat-nikmat Allah, supaya hati yang angkuh ini tunduk kepada Tuhannya dalam syukur.

    .

    doctorDoktor tidak bekerja dengan mesin seperti engineer, bukan juga dengan dokumen-dokumen seperti setiausaha atau bekerja dengan duit seperti akauntan. Tetapi doktor bekerja dengan manusia, perhatiannya kepada manusia, ilmunya tentang manusia, menghadapi sakit peningnya, keluhannya, keluarganya,hidup matinya. Ia fardhu kifayah, dan harusnya semua itu meninggalkan kesan kepada jiwa, membawa kita lebih hampir kepada Allah. Seandainya tidak, seandainya hati ini sudah mengeras seperti batu, seandainya kita sudah menjadi lali, sudah terlalu biasa tengok orang sakit dan orang mati hingga sukar mendetikkan keinsafan, maka doalah supaya hati itu digantikan saja dengan hati yang lain!

    ..

    ECGDalam kesibukan kita bekerja, ambil darah, mentafsir ECG, memasukkan tiub, ‘berperang’ dengan radiologist, menulis ubat, inject orang, janganlah sampai jiwa kita ini kering dari makna. Ingin saya ingatkan para doktor/medical students tentang keistimewaan sunnah Rasulullah yang  sebenarnya selalu kita laksanakan, iaitu sunnah menziarahi orang sakit.
    Sesungguhnya seorang Muslim yang menziarahi saudaranya yang sakit akan berada di dalam kebun buah-buahan syurga sehinggalah ia pulang.”(Hadith Riwayat Imam Muslim)

    Diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a.:
    “Apabila seorang muslim itu menziarahi saudaranya yang sakit pada waktu pagi, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke petang. Dan apabila dia menziarahinya pada waktu petang, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke pagi, dan akan dikurniakan kepadanya sebuah taman di syurga.” (Hadith Riwayat Abu Dawud & Tirmidzhi)

    ..

    hatiSelain dari merawat jasad yang tidak sihat, kita juga punya tanggungjawab merawat jiwa dan ruh yang sakit. Sering terjadi, orang yang dalam kesusahan mudah untuk disentuh hatinya, untuk disuntikkan dengan mesej-mesej keimanan pada saat-saat yang sesuai . Namun ‘kerja extra’ yang tidak bergaji ini hanya akan dilaksanakan oleh doktor yang berjiwa da’ie, yang niat asalnya menjadi doktor memang untuk membawa risalah Islam. Kerjaya doktor dipilih supaya diri ini dapat menjadi agent yang menjayakan misi Islam dalam masyarakat. Ini bukan hidden agenda. Kita memang berniat menyeru manusia kepada Allah, dengan sengaja, dengan usaha. Bukan kebetulan, bukan sambilan. Saya menulis dengan terang dan jelas - kerjaya doktor ini hendaklah dijadikan alat untuk dakwah.

    .

    Kesimpulannya, bestkan kerja doktor ni? Bersemangatlah! Kerjaya ini banyak sahamnya di akhirat…huhu… kalau ikhlas.

    Saya selalu membuat perumpamaan, jikalau ada barangan tertentu yang satu dikeluarkan di Barat tanpa disenaraikan keistimewaannya, dan satu lagi dikeluarkan di dunia Islam dengan disenaraikan keistimewaannya, perasaan masyarakat umumnya merasai, barangan Barat tentu lebih hebat.

     

    DALAM suasana merdeka ini, kita patut kembali melihat pendirian yang betul terhadap dunia yang pernah menjajah kita. Sikap yang adil amat sukar dibuat oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan beberapa faktor. Kekuatan dan kemegahan Barat yang berjaya mempengaruhi minda manusia. Juga kemunduran atau kelemahan dunia Islam yang menjadikan seakan segala falsafah Islam yang hebat bagaikan dongengan yang tidak berpijak di alam nyata.
    Saya selalu membuat perumpamaan, jikalau ada barangan tertentu yang satu dikeluarkan di Barat tanpa disenaraikan keistimewaannya, dan satu lagi dikeluarkan di dunia Islam dengan disenaraikan keistimewaannya, perasaan masyarakat umumnya merasai, barangan Barat tentu lebih hebat.

    Ini kerana Barat secara umumnya telah berjaya membina jenama yang baik untuk blok mereka. Sementara dunia Islam sentiasa dipandang sinis dalam berbagai-bagai perkara.

    Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan telah mundur dan hilang peranan. Hasil dari hilangnya identiti diri iaitu akidah yang murni yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun kita yang pernah dibina. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal. Lihat sahaja apa yang wujud di Indonesia, Mesir dan Morocco dan seumpama mereka. Mereka bukan sahaja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen. Kepercayaan kepada tangkal-mangkal, bomoh, tahyul, khurafat wali-wali dan seumpamanya menguasai sebahagian masyarakat umat ini.

    Walaupun mereka mendakwa diri mereka Muslim, namun benteng akidah telah pun mereka hancurkan.

    Bahkan ada istiadat dan pegangan bangsa yang menyanggahi syarak menggantikan tempat agama. Wanita Islam di sesetengah masyarakat umpamanya, begitu ditindas di sudut hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa diizinkan sebarang bantahan dari empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba abdi suaminya yang seakan diberi kuasa oleh budaya setempat untuk benar-benar diperhambakan.

    Wajah-wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini telah benar-benar menconteng keindahan Islam di mata dunia. Setelah menggambarkan keagungan generasi Islam yang lampau, ‘Ali Tantawi berkata: “Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan- kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam menghina Islam.” Sehingga Jamal al-Din al-Afghani, atau Muhammad Abduh menyebut perkataan yang hebat: “Islam itu terlindung oleh penganutnya.” (Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat, m.s. 45, Jeddah: Dar al-Manarah).

    Maka perkembangan kemajuan dan perubahan norma-norma tertentu yang berlaku di dunia Barat telah mempengaruhi dunia Islam. Barat yang sebelumnya ketinggalan jauh dibandingkan kemajuan yang pernah dicapai oleh umat Islam. Barat telah berjaya menguasai tamadun kebendaan dan cuba memunculkan diri mereka sebagai simbol kejayaan tamadun manusia moden.

    Ini sebenarnya hasil kecuaian umat Islam terutama golongan agama dan pemerintah. Golongan agama yang tidak faham telah menjadikan agama begitu jumud menolak kemodenan dan hanya tertumpu kepada persoalan fardu ain. Sementara banyak pemerintah di dunia Islam hanya mementing diri dan meninggalkan tanggungjawab membangunkan umat.

    Justeru itu semua pandangan kebanyakan bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam. Barat telah dianggap kononnya simbol kepada gaya hidup zaman moden, juga kononnya mereka adalah pejuang hak dan kebebasan manusia dalam era ini.

    Dalam menghadapi cabaran ini, maka empat sikap utama telah muncul di tengah umat Islam yang telah ketinggalan ke belakang:

    Pertama: Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti tokoh sasterawan Mesir, Taha Hussain. Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan. Katanya dalam bukunya Mustaqbal al- Thaqafat fi Misr (Masa Depan Ilmu Dan Kebudayaaan Di Mesir): “Kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai.”

    Bahkan lebih dari itu beliau menyebut: “Ini semua menunjukkan kita pada zaman moden ini ingin berhubung dengan Barat dengan satu perhubungan yang bertambah kuat dari hari ke hari. Sehingga kita menjadi sebahagian daripada mereka secara lafaz dan makna, hakikat dan rupa.”

    Katanya juga: “Hendaklah kita menjadikan Barat merasai bahawa kita melihat setiap perkara sama seperti yang Barat mahu, kita menilai setiap perkara sama seperti yang Barat nilai dan kita menghukum setiap perkara sama seperti Barat menghukumnya.” (Dinukil dari Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, Al-Sira’ Bain al-Fikrah al-Islamiyyah wa al-Fikrah al-Gharbiyyah fi al-Aqtar al-Islamiyyah, m.s. 111, India: al-Majma’ al-Islami al-‘Alami)

    Golongan yang kedua: Mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa yang mereka lakukan adalah cuba mentafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau al-sunah yang menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan cara hidup di Barat.

    Bagi mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam prinsip Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut oleh al-Qaradawi: “Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan.” (Al-Qaradawi, al-Marji’iyyat al-‘Ulya fi al-Islam: li Al-Quran wa al-Sunnah, Beirut: Muassasat al-Risalah).

    Umpamanya mereka menyerang kesopanan pakaian wanita Islam. Ini kerana ia bercanggah gaya hidup wanita Barat. Namun percayalah sekiranya wanita Barat memakai purdah, pasti mereka sungguh- sungguh mencari dalil menyokong amalan itu. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka kumpulkan dalil wajib bertudung kepala.

    Oleh kerana mereka melihat wanita dunia Barat mendedahkan diri tidak seperti wanita Islam maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai dengan keadaan tersebut. Ini seperti kelompok liberalis yang subur di sesetengah negara Arab dan Indonesia. Mereka ini tidak menyatakan yang mereka ingin tinggalkan agama, tetapi mereka tafsirkan agama agar seiras dengan pandangan-pandangan umum yang diterima oleh masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam pengkajian nas (teks) hendaklah nas-nas yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan tafsiran nas.

    Kata Dr. Salah al-Khalidi: “Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran yang luas dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang membawa bersamanya (dalam memasuki alam al-Quran) himpunan ilmu pengetahuan, kebudayaan, akhlak, adat istiadat dan sikap yang bertentangan dengan arahan al-Quran, maka cahaya al- Quran terhalang darinya. Ada pula yang memasuki alam al-Quran dengan suatu pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia melihat al-Quran maka terhalanglah pandangannya, lantas dia terjatuh dalam kekaburan dan kekeliruan. Ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latar belakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehnya maka dia menyelewengkan jalannya, memutarbelitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya.” (Salah Abd. al- Fattah al- Khalidi, Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar).

    Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi dengan kehendak yang diputuskan. Mereka bukan ingin mengikut al-Quran, sebaliknya mereka mengambil tindakan terlebih dahulu dan kemudian mencari dalil dari al-Quran dan al-sunah lalu ditafsir agar selaras dengan tindakan yang telah mereka ambil.

    Maka, al-Quran dan al-sunah tidak lagi mempunyai fungsi membimbing, sebaliknya hanya sebagai ‘cop’ untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Sementara kayu pengukur sebenar tindakan mereka, adalah pegangan umum di Barat yang mereka lihat diterima di Barat.

    Golongan ketiga: Adalah golongan yang menolak apa sahaja daripada Barat. Bagi mereka semua yang berasal dari Barat adalah kufur atau sesat, atau sekurang-kurangnya bercanggah dengan Islam. Mereka tidak membezakan antara sikap, kebudayaan, nilai-nilai yang tidak menyanggahi Islam, dengan perkara-perkara yang menyanggahinya. Sehingga pernah golongan yang seperti ini menentang pakaian ‘neck- tie’, makan bersudu-garpu, bercakap ‘orang putih’ dan seumpamanya.

    Alasannya semua itu berasal dari Barat. Bahkan di sesetengah pusat pengajian agama sehingga ke hari ini ada yang menganggap mata pelajaran Sains, Matematik, Geografi, dan seumpamanya sebagai pelajaran sekular dan keduniaan. Lalu mereka tidak mementingkannya, bahkan ada yang memandang jelik terhadapnya.

    Sikap terlalu memusuhi Barat telah menyebabkan mereka lupa bahawa mata pelajaran tersebut berkhidmat untuk umat Islam, bahkan kebanyakan asasnya diletakkan oleh umat Islam pada zaman kegemilangan tamadun mereka. Islam adalah agama dunia dan akhirat. Bahkan sikap mereka mengasingkan perkara-perkara tersebut dari agama itulah yang berbau sekular. Mereka juga lupa bahawa dada Islam itu luas untuk mengambil manfaat dari mana-mana sudut yang membawa kebaikan kepada manusia. Dengan syarat ia tidak boleh bertentangan dengan al-Quran dan al-sunah.

    Golongan keempat: Menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan diakui. Bahkan kemajuan yang dinikmati di Barat adalah cedokan dari kemajuan yang pernah wujud di dunia Islam dahulu. Islam tidak pernah menyatakan ia memusuhi Barat atau Timur, Utara atau Selatan. Bukan semua yang ada di Barat mesti ditolak. Seperti bukan semua yang ada di Timur diterima. Entah berapa banyak sikap atau budaya Barat itu mendekati kehendak Islam seperti tekun, menepati waktu, kebersihan dan seumpamanya.

    Demikian entah berapa banyak budaya setempat; seperti suka mengumpat, dengki-mendengki, malas berusaha dan sebagainya amat menyanggahi Islam. Timbangannya ialah tafsiran yang betul terhadap nas-nas al-Quran dan al-sunah.

    Islam adalah agama yang hidup dan sesuai untuk segala masa dan zaman. Kemajuan yang dicapai oleh Barat patut diberi penghormatan juga penapisan secara adil. Hendaklah dibezakan bahawa dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap tidak boleh diubah. Di samping ada juga perkara-perkara tertentu yang terdedah kepada perubahan tempat dan zaman. Hal ini telah saya sentuh dalam tulisan-tulisan yang lepas.

    Kefahaman yang seperti inilah pendirian golongan umat Islam yang lurus dengan agamanya. Pandangan dan pegangan di Barat tidak boleh ditolak mentah-mentah, seperti ia juga tidak boleh ditelan bulat-bulat.

    Dengan penuh kesedaran kita selalu menyebut masih ada perkara-perkara yang berhajat kepada semakan yang membabitkan kefahaman dan amalan umat Islam. Pintu ijtihad itu terus terbuka sehingga hari kiamat. Tiada siapa pun berhak menutupnya.

    Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji agama ini perasaan takutkan Allah dalam menghuraikan hukum syarak. Ijtihad itu berteraskan ilmu, bukan kejahilan dan nafsu. Banyak juga perkara baru yang ditimbulkan oleh kemajuan Barat perlu dinilai dengan perasaan yang adil dan saksama. Bahkan banyak nilai di Barat yang lebih mendekati Islam dibandingkan apa yang berlaku atau diamalkan di dunia Islam.

    Prasangka dan kejumudan terhadap semua unsur Barat hanya memundurkan umat ini dan menjadikan kita beku dari mengambil manfaat daripada orang lain. Namun, sikap terlalu liberal tanpa prinsip hanya akan memusnah ajaran Islam yang hakiki.

    Sumber: Dr. Asri Zainul Abidin ( Mengemudi Bahtera Perubahan Minda)

  • 0 Comments
  • Filed under: 5. Blog
  • Sumbangan boleh diwakilkan kepada:

    Badan Penggerak Khas Tabung Kirovsky

    MOHAMAD AIZZAT B. MAT GHANI Account No (MAYBANK): 162218469566
    Email : musliminvolgograd@gmail.com Alamat di Malaysia : W2/494 JALAN MERANTI 17000 PASIR MAS KELANTAN No telefon : 0199079217 (MALAYSIA), +79377230158 (RUSSIA)


    *Pelajar Volgograd boleh menyampaikan sumbangan anda kepada ketua kumpulan, naqib dan naqibah masing-masing

    2nd Kirovsky Week – Kirovsky A Reality

    Recent Comments

    • , matpih, October 6, 2011 : alhamdulillah
    • , admin, June 2, 2011 : tafadahhal..insyaAllah demi kebaikan bersama
    • , Nur Muhd Ammar, June 2, 2011 : minta izin share post ini, insya’Allah demi kebaikan...
    • , Zubair Ahmed Allapur, April 27, 2011 : Alhamdulillah it was a fine experince going through, by...