Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality
18 Dec
Hari ini sebanyak 20 200 rubles telah diserahkan. Jazakumullah khairan kathira.
BERSATU MEMBANTU UMMAH!
Sumbangan boleh diwakilkan kepada:
Badan Penggerak Khas Tabung Kirovsky
Afham Naqiuddin Bin Osman
Account No: 153010170580 MAYBANK
Email : musliminvolgograd@gmail.com
Alamat di Malaysia : LOT 1203 LORONG PAKATAN KG GUCHIL BAYAM 15200 KOTA BHARU KELANTAN
No telefon : 097646155 (MALAYSIA), +79275479976 (RUSSIA)
*Pelajar Volgograd boleh menyampaikan sumbangan anda kepada ketua kumpulan, naqib dan naqibah masing-masing.
18 Dec
Islam adalah agama wahyu dan bukan agama ciptaan manusia. Perbuatan menokok tambah (bid‘ah) dalam agama boleh menghilangkan ketule-nannya, sehingga menyebabkan orang ramai tidak akan dapat membezakan antara ajaran asal yang bersumber daripada Allah dengan yang ditokok tambah oleh manusia. Terdapat banyak hujah daripada al-Quran, al-Sunnah dan para ulama yang memberi amaran agar tidak menokok tambah dalam agama. Berikut ini dikemukakan sebahagian daripada hujah-hujah tersebut:
Amaran daripada al-Qur’an tentang bid‘ah:
Pertama:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? [al-Syura 42:21]
Kedua:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]
Ketiga:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” [al-A’raaf 7:33]
Amaran daripada al-Sunnah tentang bid‘ah:
Hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi amaran kepada pembuat dan pengamal bid‘ah sangat banyak jumlahnya. Kebanyakan para penyusun kitab hadith tidak ketinggalan memasukkan satu bab khas mengenainya di dalam kitab-kitab mereka. Di sini disebutkan beberapa riwayat, antaranya:
Pertama:
Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat.(Hadis Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)
Maksud “…gigitlah ianya dengan geraham…” ialah peganglah ianya dengan bersungguh-sungguh serta bersabarlah dengannya.
Kedua:
Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ketiga:
Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
“……Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Apakah puak itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Keempat:
Abu Musa al-Asy‘ari radhiallahu ‘anh berkata:
“Kami telah menunaikan solat Maghrib bersama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian kami berkata: “Kalaulah kita tunggu sehingga kita dapat bersolat Isyak bersama baginda.” Maka kami tunggu sehingga baginda keluar kepada kami lalu bersabda, “Kamu semua masih di sini?” Jawab kami: “Wahai Rasulullah! Kami telah menunaikan solat Maghrib bersama engkau kemudian kami berkata, mari kita duduk sehingga kita dapat bersolat Isyak bersamamu.” Sabda baginda: “Kamu semua telah melakukan sesuatu yang baik lagi betul.”
Kemudian baginda mengangkat kepalanya (melihat) ke langit dan ramailah yang mengangkat kepala (melihat) ke langit lalu baginda bersabda: “Bintang-bintang tersebut adalah penyelamat langit. Apabila perginya bintang-bintang tersebut maka akan didatangilah langit apa yang telah dijanjikan untuknya. Aku adalah penyelamat sahabat-sahabatku. Apabila aku telah pergi maka akan didatangilah sahabat-sahabatku apa yang telah dijanjikan untuk mereka. Sahabat-sahabatku pula adalah penyelamat umatku. Apabila perginya sahabat-sahabatku maka akan didatangilah umatku apa yang dijanjikan untuk mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Berkata al-Imam al-Nawawi rahimahullah (Syarh Sahih Muslim):
Maksud ungkapan “sahabat-sahabatku adalah penyelamat umatku” ialah mereka menyelamatkan umat dari zahirnya bid‘ah, mengada-adakan perkara baru dalam agama, fitnah terhadap agama, zahirnya syaitan, Rum dan selainnya ke atas mereka.
Amaran daripada para ulama’ tentang bid‘ah:
Para ulama’, terdiri daripada para sahabat dan para tokoh dulu dan kini, turut memberi amaran tentang bid ‘ah. Di sini disebutkan tiga contoh, satu daripada seorang sahabat, satu daripada seorang tokoh terdahulu dan satu daripada seorang tokoh terkini:
Pertama: Amaran ‘Abd Allah bin Mas‘ud.
‘Abd Allah bin Mas‘ud radhiallahu ‘anh adalah sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang begitu terkenal dengan keilmuan dan kefahamannya dalam agama. al-Imam al-Darimi rahimahullah (255H) meriwayatkan amaran serta bantahan beliau terhadap bid‘ah berzikir secara kumpulan yang muncul pada zamannya:
Daripada ‘Amr bin Salamah katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.
Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.
Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya , apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”
Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka. Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.
Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” (Riwayat al-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Shahihah)
Lihatlah bagaimana ‘Abd Allah bin Mas‘ud radhiallahu ‘anh membantah perbuatan ibadah kumpulan ini walaupun mereka pada asalnya memiliki niat dan pandangan yang baik. Pada zahirnya tiada yang buruk pada perbuatan mereka. Namun oleh kerana ia merupakan ibadah yang tidak ada contoh daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam maka ia ditolak. Bahkan ‘Abd Allah bin Mas‘ud memberi amaran betapa perbuatan bid‘ah yang kecil akan mengheret seseorang kepada bid‘ah yang lebih besar. ‘Abd Allah bin Mas‘ud menggambarkan mereka akan menyertai Khawarij yang sesat. Justeru itu ‘Abd Allah bin Mas‘ud juga pernah menyebut (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah):
Sederhana dalam sesuatu sunnah lebih baik daripada bersungguh sungguh dalam sesuatu bid‘ah .
Sesungguhnya bid‘ah yang kecil adalah pembawa kepada bid‘ah yang besar.
Kedua: Amaran al-Imam Malik Bin Anas
Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik rahimahullah (179H) dan berkata (al-Syatibi, al-I’tishom):
“Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) daripada mana aku patut berihram?” Jawab al-Imam Malik: “Daripada Zu Hulaifah di mana tempat yang Rasulullah berihram.” Kata lelaki itu: “Aku ingin berihram daripada Masjid Nabi.” Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat (demikian).” Kata lelaki itu lagi: “Aku ingin berihram daripada kubur Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.” Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat (demikian), aku bimbang menimpa ke atas dirimu fitnah.” Tanya lelaki itu: “Apa fitnahnya? Ia hanya jarak yang aku tambah.”
Jawab al-Imam Malik:
Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]
Perhatikan bahawa sekalipun lelaki tersebut ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu Masjid Nabi atau kubur baginda shallallahu ‘alaihi wasallam, al-Imam Malik rahimahullah membantahnya disebabkan ia adalah ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan-akan lelaki itu menganggap dia dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ketiga: Amaran al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi:
Ditanya kepada al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, semoga Allah memeliharanya, mengenai amalan Nisfu Sya’ban. Beliau menjawab (Fatawa Mu’asarah):
Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca do‘a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka‘at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do‘a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ianya satu do‘a yang panjang yang menyanggahi nusus (nas-nas al-Quran dan al-Sunnah), juga bercanggahan dan bertentang maknanya…
Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid‘ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid‘ah golongan selepas mereka dan setiap yang diadakan-adakan itu bid‘ah dan setiap yang bid‘ah itu sesat dan setiap yang sesat itu berada dalam neraka.
Demikian tegasnya tokoh yang masyhur ini terhadap amalan bid‘ah yang menjadi pegangan atau amalan dalam kebanyakan negeri umat Islam.
PENUTUP
Dalam ibadah tidak memadai hanya dengan niat yang baik tanpa mengikut syariat atau sunnah. Niat yang baik mestilah diiringi dengan cara yang betul. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun. [al-Mulk 67:02]
Makna “lebih baik amalnya” ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul . Ini kerana sesuatu amalan jika ikhlas tetapi tidak betul maka ianya tidak diterima. Begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas, maka ianya tidak diterima. Betul merujuk kepada apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.
Insan tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat dalam menentukan cara ibadah kepada tuhan. Inilah yang berlaku di dalam agama agama palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Ini kerana ibadah adalah agama dan agama tidak boleh diambil melainkan dari tuhan itu sendiri. Untuk itu Islam mengharamkan bid‘ah atau mengada-adakan ibadah tanpa bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah sama seperti amalan percipta agama palsu yang ikhlas tanpa bimbingan wahyu.
Insan tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat dalam menentukan cara ibadah kepada tuhan. Inilah
|
Ini kerana sesuatu amalan jika ikhlas tetapi tidak betul maka ianya tidak diterima. Begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas, maka ianya tidak diterima. |
yang berlaku di dalam agama-agama palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Ini kerana ibadah adalah agama dan agama tidak boleh diambil melainkan dari tuhan itu sendiri. Untuk itu Islam mengharamkan bid‘ah atau mengada-adakan ibadah tanpa bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah sama seperti amalan percipta agama palsu yang ikhlas tanpa bimbingan wahyu.
Justeru itu ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berdalilkan apa yang disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Ali Imran 3:31]
|
Islam mengharamkan bid‘ah atau mengada-adakan ibadah tanpa bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah sama seperti amalan percipta agama palsu yang ikhlas tanpa bimbingan wahyu. |
Ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [Ali Imran 3:85]
Berkata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah (774H) ketika menafsirkan ayat di atas (Tafsir Ibn Kathir):
“Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyari‘atkan oleh Allah maka sama sekali ianya tidak diterima.”
Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi mengingatkan (al-`Ibadah fi al-Islam):
Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.
Lebih jauh, beliau berkata:
Tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar, untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama Allah atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasululah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana pembuat syari‘at hanyalah Allah manakala al-Rasul (Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam) adalah penyampainya sedangkan kita hanyalah pengikutnya. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan Rasul-Nya).
Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan, semoga Allah memeliharanya, turut menekankan perbezaan antara niat yang ikhlas dan ibadah yang betul (Usul al-Da’wah):
Amalan salih ialah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu ialah yang menepati syarak. Maka membuat bid‘ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah…Bid‘ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid‘ah mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, (sama ada dalam bentuk) pengurangan dan mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi amaran mengenai bid‘ah, sabdanya:
Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). Maka segala kebaikan ialah apa yang dibawa oleh syarak dan berpada dengannya.
Perlu ditekankan di sini, manhaj kita Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ialah tidak menghukum seseorang kerana kejahilan yang tidak disengajakannya. Oleh itu jika seseorang itu melakukan ibadah dengan sangkaan ia adalah benar sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya, dia tetap memperolehi pahala. Seseorang itu tidak dihukum disebabkan kejahilannya yang tidak disengajakan sedangkan dia telah berusaha untuk mendapatkan ilmu. Contohnya ialah orang awam yang tidak dapat membezakan antara hadith dengan bukan hadith, sahih dengan tidak sahih dan yang tidak mampu mengambil maklumat agama daripada sumbernya yang tulen. Ini semua dengan syarat dia tetap berusaha dan apabila sampai kepadanya ilmu yang sahih dan tulen, dia tidak bersikap ego terhadapnya tetapi terus merendahkan diri menerimanya. Hendaklah dia bertaubat dengan meninggalkan apa yang sebelum ini disangkakan benar kepada apa yang kini diketahuinya sahih lagi tulen. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Furqan 25:70]
Perkara kedua yang perlu ditekankan adalah, umat Islam sepatutnya berlumba-lumba membuat bid‘ah dalam urusan dunia, bukan agama. Malangnya mereka tidak membuat bid‘ah ini, iaitu memulakan ciptaan baru seperti senjata, peralatan moden, perubatan dan sebagainya. Padahal mereka diizinkan, malah disuruh memulakan perkara baru dalam urusan dunia yang memberi manfaat. Umat Islam masa kini jarang-jarang, malah hampir tiada, memulakan perkara yang baru dalam urusan dunia, sebaliknya hanya bergantung kepada dunia Barat. Hakikat ini telah disentuh oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi (al-`Ibadah fi al-Islam):
Sesungguhnya ruang melakukan rekaan dan membuat perkara baru bukannya dalam agama. Agama hanya berdasar apa yang diturunkan Allah. Wajib kekal terpelihara lagi bersih dari permainan golongan yang sia-sia, penyelewengan golongan melampau, dakwaan golongan sesat dan tafsiran golongan yang jahil. Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar ialah dalam urusan dunia. Ianya sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka buruk, urusan mereka rosak dan berpecah masyarakat mereka, urusan mereka menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud dari itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan dan menyingkap perkara baru. Slogan mereka: “Golongan awal tidak meninggalkan untuk yang kemudian sedikit pun.” (Slogan ini asalnya digunakan oleh orang-orang yang bertaklid dalam urusan agama bahawa kononnya para ilmuan terdahulu telah melengkapkan perbahasan tentang agama sehingga tidak perlu bagi golongan terkemudian mengkajinya semula melainkan ikut sahaja. Slogan ini kini dipanjangkan kepada urusan duniawi pula, memberi maksud kononnya orang-orang Barat telah melengkapkan urusan duniawi sehingga tidak perlu bagi umat Islam mengkajinya melainkan ikut sahaja. Yang benar kedua-dua urusan agama dan duniawi masih terdapat ruang untuk dilakukan kajian, ciptaan dan pembaharuan. Hanya sahaja dalam agama ia ditujukan kepada urusan muamalah dan bukannya ibadah.) Adapun dalam agama mereka mengadakan rekaan, membuat bid‘ah dalam beragam bentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah.
Akhir kata, marilah kita berusaha agar ibadah kita menepati sunnah dan menjauhi bid‘ah. Marilah kita mendalami ilmu yang sahih lagi tulen agar dengan itu ibadah kita adalah sahih dan tulen juga. Apabila kita telah mencapai tahap ini, marilah kita membuktikan kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan menyampaikan ilmu yang sahih dan tulen kepada umat Islam yang selainnya. Jangan menghukum mereka secara terburu-buru, sebaliknya betulkanlah mereka secara hikmah dan bijaksana. Jangan merasa gembira hanya apabila diri sendiri berada di atas kesahihan dan ketulenan tetapi bergembiralah hanya apabila umat Islam semuanya berada di atas kesahihan dan ketulenan. Berpegang kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bukan sahaja dalam beribadah tetapi juga dalam berdakwah:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]
Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Bid’ah Hasanah: Istilah Yg Disalah Fahami)
16 Dec
ISLAM di Russia bukan lagi dianggap ganjil dan sukar diamalkan secara terang-terangan, malah jumlah yang menganut agama Islam semakin bertambah. |
Kebangkitan kerohanian secara meluas petanda Moscow jadi wilayah jihad tanpa pertumpahan darah
PENGERTIAN Islam Russia ialah sesuatu yang susah dibayangkan atau ungkapan yang tidak mencerminkan keadaan nyata. Setengah abad yang lalu ungkapan ‘Muslimin Russia’ amat ganjil. Islam dianggap agama orang berbangsa Tatar saja.
Penasihat wakil Presiden Russia di kawasan persekutuan Volga, Sergey Gradirovsky dalam beberapa wawancara terus terang menyatakan bahawa bumi Russia mempunyai sektor Islam sendiri dan sektor itu akan bertambah dan meluas.
Hal itu dinyatakan dalam konteks bahawa Islam adalah kekuatan hidup masyarakat Russia dan jika negara hendak tetap hidup, ia mesti mempertimbangkan kekuatan itu. Kebangkitan kerohanian Russia tidak semestinya dihubungi hanya dengan kebangkitan agama Kristian Ortodok.
Dasar seperti itu boleh memecahbelahkan Russia atas prinsip agama (seperti India pernah terpecah pada 1947) dan akan menggalakkan pengasingan orang Russia dalam skala rantau serta dunia.
Tidak ada perangkaan tepat mengenai jumlah rakyat etnik Russia yang menganut Islam, walaupun biasa disebut cuma sekitar 30,000 orang. Apakah itu banyak atau sedikit? Jika membandingkan jumlah itu dengan data Ensiklopedia Soviet (1977), maka jumlah 30,000 itu tiga kali ganda daripada jumlah suku bangsa kecil di Utara Russia seperti Chukcha atau Evenki.
Perlu dicatatkan di sini juga ialah Muslimin Russia biasanya orang muda dan cergas, manakala komunitinya tersebar luas pada pelbagai bandar raya Russia. Ada antaranya tokoh politik seperti Abdul-Wahed Niyazov (Vadim Medvedev) yang juga Ahli Parlimen dan pemimpin Kesatuan Patriot Russia. Begitu juga seniman seperti penyanyi terkenal Yulian (Jabrail) dan bekas pendeta Kristian seperti Ali (Vyacheslav) Polosin.
Kegiatan Muslimin berbangsa Russia dikelolakan Kesatuan Kebangsaan Muslimin Berbangsa Russia (KKMBR) dan gerakan ‘Jalan Lurus’. Komuniti yang paling aktif dianggap komuniti di kawasan Karelia (bahagian utara Russia) yang wujud berkat kegiatan dakwah Abu Ahmat Mustafa (nama Russia ? Oleg Starodubtsev). Menurut pendapat pemerhati, jumlah Muslim Russia akan meningkat secara pesat dan bagi kesimpulan itu ada beberapa alasannya.
Orang Russia sekarang bebas mengenali teks terjemahan kitab suci al-Quran antaranya terjemahan puitis (1991) yang dilakukan Iman (Valeria) Porokhova, seorang Muslimah berbangsa Russia yang menerima Islam atas pengaruh suaminya, rakyat Syria. Jika dulu, Muslimin bergaul di masjid dalam bahasa suku bangsanya masing-masing (waktu itu hampir tidak ada orang Islam berbangsa Russia), maka sekarang mereka bergaul dalam bahasa Russia. Lahir banyak media massa Islam dalam bahasa Russia, termasuk media elektronik yang sebahagiannya dimiliki Muslimin berbangsa Russia.
Di saluran televisyen kerajaan (Saluran ke-2) diperkenalkan program khusus mengenai kehidupan orang Muslimin di Russia bertajuk ‘Muslimat’. Lambat laun hilang kekeliruan bahawa Islam di Russia ialah kepunyaan suku bangsa kecil saja ciri keperibadiannya. Sekarang untuk orang Russia menjadi Muslimin tidak bererti bahawa ia menjadi orang Chechen atau orang Tatar.
Menurut Sergey Gradirovsky, Islam Russia bukan mazhab atau aliran baru dan tentu bukan menyimpang daripada prinsip iman. Ini satu berita yang menggembirakan melalui pendapat pihak kakitangan pemerintahan Russia.
Jika pendapat mereka dikongsi oleh semua struktur pemerintahan Russia, maka Russia akan menjadi wilayah jihad tanpa pertumpahan darah kerana seperti diketahui tujuan jihad ialah bukan pembunuhan, tetapi penyebaran iman.
Mengapa orang berbangsa Russia menerima Islam? Pemerhati membuat kesimpulan berikut:
Sebenarnya masalah itu sudah diketengahkan pada awal kurun yang lalu oleh Leo Tolstoy (1828-1910), penulis Russia yang genius, pengarang novel War and Peace dan Anna Karenina, tokoh pemikir agung yang memberi sumbangan besar kepada dunia sastera dan sejarah Russia.
Seorang wanita Russia yang berkahwin dengan seorang Muslim bernama Vekilov menulis kepada Leo Tolstoy bahawa anak lelakinya hendak menganut Islam dan meminta nasihatnya. Berikut adalah jawapan Leo Tolstoy kepada wanita terbabit:
“Memang ada kelebihan Islam berbanding Kristian, saya amat bersimpati dengan orang yang menukarkan agama dan menjadi Muslim. Mungkin itu agak aneh, tetapi saya yang menjunjung tinggi nilai ajaran Kristian sejati, tidak mengesyaki lagi bahawa Islam dalam bentuk luarnya adalah lebih tinggi daripada gereja ortodok.”
Dalam Islam, penganut boleh mengadakan pengakuan dosa langsung kepada Tuhan, mereka tidak memerlukan pengantara berupa birokrat gereja. Semangat birokrasi pada amnya asing untuk Islam. Meskipun itu, Ratu Russia Ekaterina II cuba menanamkan struktur birokrasi kepada Islam di Russia.
Pada 1778, beliau menubuhkan Majlis Agama Islam (muftiat) untuk daerah Orenburg yang diketuai mufti yang makan gaji daripada kerajaan. Selepas mengalami beberapa transformasi, majlis itu sampai sekarang menjadi alat pengelolaan terhadap masyarakat Islam daripada pihak Kremlin. Pada amnya hierarki umat Islam berdasarkan kewibawaan tokoh Islam.
Tidak semua mahu menerima keruntuhan akhlak apabila jenayah remaja, kecurangan suami isteri dan maksiat seakan-akan menjadi norma kehidupan. Masa tua, penduduk masyarakat pengguna ialah mengerikan. Di Barat, orang tua yang ditinggalkan anaknya duduk kesepian di rumah orang tua, di Russia nasibnya juga ialah kesepian.
Sering kali mereka menjadi objek petualang. Islam adalah alternatif untuk segala-galanya itu. Selain itu, kitab suci al-Quran memungkinkan kita menyesuaikan aspek positif daripada semua bidang politik ? pasaran tanpa spekulasi dan keadilan sosial tanpa kezaliman.
Alasan tadi dikukuhkan perkataan beberapa orang Russia yang menganut Islam. Timbalan Ketua KKMBR ialah Taras (Abdul Kerim) Chernienko. Beliau berusia 30 tahun, menamatkan pengajian di dua universiti, ketua jabatan antarabangsa di sebuah bank.
Pada awal 1990-an, beliau memberitahu ibu bapanya bahawa namanya menjadi Abdul. Taras dibesarkan dalam keluarga cendekiawan beragama Kristian, tetapi diajar mencari kebenaran sendiri.
“Islam adalah agama ilmu dan akal. Segala-galanya dalam Islam berdasarkan pada maklumat yang boleh dipercayai atau pada hukum logik. Tentu setiap agama menyatakan hal yang tidak boleh dibuktikan ? keberadaan Tuhan.
Shamil Matveev dua tahun lalu mempunyai nama Russia, Vladimir. Sebelumnya selama 12 tahun beliau bergiat dalam gerakan hak asasi manusia. Ketika perang Chechen pertama (1994-1996) bermula, beliau ikut serta dalam tunjuk perasaan dan menaruh minat kepada Islam.
“Saya mengerti, demikian Shamil, bahawa Islam bukan agama autoritarian seperti ramai berpendapat. Ia lebih liberal daripada Kristian. Misalnya imam dipilih dan tidak dilantik daripada atas. Dalam Islam, ada kanun undang-undang yang tegas. Bersamaan dengan itu pemimpin agama berdiri di atas pemerintahan berkuasa bukan di bawah”.
Penyanyi Yulian (Jebrail) yang masuk Islam pada 2005 berkata: “Selama seluruh kehidupan saya, saya menyiapkan diri untuk menerima Islam. Saya suka Islam dan ibadatnya dan bersedia menunaikannya secara tekun”.
Kesimpulannya ialah bahawa Islam Russia ialah gejala wajar dan positif. Sektor budaya Russia yang bersifat Islam dalam keadaan merosotnya sektor lain mempunyai peluang untuk menjadi satu kekuatan penting dan berpengaruh dalam perkembangan masyarakat Russia pada masa akan datang.
Penulis ialah sarjana Russia yang kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM)
Sumber: Dr. Victor Pogadaev ( Berita Harian Online )
15 Dec
Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservetif agama itu sendiri.
Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah ‘tidak laku’ atau menghadapi ‘tarikh luput’ di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.
Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas.
Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan.
Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama.
Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.
Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi ‘ijmak ulamak’. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama.
Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijma’. Kesan, membawa kepada kekufuran.
Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut ‘kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama’. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya “Pendapat ulama-ulama kita la..”. Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama.
Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma’ atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma’ yang sebenar?
Takrif bagi perkataan al-Ijma’ ini di sisi majoriti ulama ialah
“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).
Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.
Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman.
Maksudnya, para mujtahidin tanpa pengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak.
Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.
Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.
Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya.
Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira.
Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid.
Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut:
“Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma’ yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian.
Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak.
Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir .
Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja.
Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily:
“Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma’ (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: “Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu” (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).
Maka jika anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham.
Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!
Sumber : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ( Mengemudi Bahtera Perubahan Minda )
15 Dec
Pemimpin muslim perlu amanah, waspada dengan golongan bencikan kesatuan negara Islam
TANYA seorang sahabat Muslim kepada saya ketika berceramah di Kuching, Sarawak, tidak lama dulu. “Ustaz, adakah sebagai penjawat awam, saya berdosa kerana meluluskan pelan rumah ibadat bukan Islam?”
“Saya pula dalam dilema kerana diarahkan pihak atasan untuk meluluskan permohonan tanah bagi pembinaan kuil di kawasan tapak tanah yang cukup luas,” soal seorang lagi sahabat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid di kawasan Petra Jaya.
Saya katakan kepada dua sahabat ini. “Buatlah kerja kamu kerana kamu penjawat awam sebuah negara yang menjalankan polisi memberikan hak dan keadilan kepada semua rakyatnya, Muslim dan bukan Muslim. Bahkan kalau kamu menzalimi golongan zimmi (bukan Islam), dosanya adalah umpama zalim kepada sesama Muslim.” Ini dijelas hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang menyakiti golongan zimmi, maka umpama menyakiti Aku (Nabi SAW).”
Inilah realiti kita di negara ini. Di antara punca dilema ini ialah sebahagian umat Islam tidak faham struktur sebuah negara Islam yang sebahagian rakyatnya adalah golongan bukan Islam yang mengikat perjanjian atau kontrak perlembagaan dengan mereka untuk sama-sama setia kepada sebuah negara.
Apabila sudah berlalunya masa, sebahagian golongan bukan Islam pula lupa daratan dan buat tidak faham terhadap konteks kontrak perlembagaan tadi. Lebih parah apabila isu ini dipolitikkan ke arah merugikan semua pihak.
Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil kepada zimmi yang mengikat perjanjian dengan mereka. Namun yang menjadi masalah ialah apabila sebahagian mukmin lebih menyayangi zimmi berbanding saudara Muslimnya yang dituduh zalim. Mereka tidak menyedari bahawa semangat kebencian keagamaan dalam diri sesetengah manusia terhadap agama lain adalah suatu hal yang tidak dapat dihapuskan dengan mudah.
Tidak dapat dinafikan akan sentiasa wujud pihak yang mahu menimbulkan huru-hara dan anarki dalam masyarakat dengan mencetuskan pelbagai isu yang boleh membakar sentimen terutama isu bangsa dan agama demi memenangkan politik mereka. Sikap mereka yang pandai bermuka-muka tetapi menyimpan agenda jahat terhadap Islam selalu ditopengkan dengan slogan kebebasan bersuara, persamaan hak dan demokrasi. Sekali lagi umat Islam keliru siapa kawan dan siapa lawan dalam membuat keputusan politik.
Mereka mula menuduh sesama Muslim sebagai gagal memberi hak kepada golongan minoriti. Apakah mereka ini sudah ‘buta’? Mungkin juga benar mereka ‘buta’ akibat kerap menukar kaca mata dan sudut pandang hasil berpolitik yang tiada batasan.
Umar bin Abdul Aziz pernah memansuhkan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran khalifah sebelumnya mengenai kewajipan membayar jizyah bagi orang yang baru masuk Islam. Padahal dalam syariat, jizyah hanya diwajibkan kepada zimmi saja. Disebabkan jumlah mereka yang ramai masuk Islam sehingga menyusutkan pendapatan negara, maka pentadbir bertindak sewenang-wenangnya mengambil jizyah dari mualaf atas anggapan mereka sengaja masuk Islam secara beramai-ramai untuk menghindari jizyah.
Umar memecat pegawai dan petugas yang zalim ini dan menggantikan mereka dengan orang yang adil dan salih (pandai mentadbir). Beliau memerintahkan hakim agar tidak seorang pun Muslim atau bukan Muslim dihukum tanpa keadilan. (Tarikh al-Tabari Jilid 5 halaman 314-315 dan Al-Kamil oleh Ibn al-Athir Jilid 4 halaman 158).
Meneladani pentadbiran Umar bin Abdul Aziz, pemimpin Islam yang mewakili apa saja bendera politik hendaklah bekerja dengan amanah dan adil, tetapi berwaspada dengan gangguan mereka yang bencikan kesatuan negara Islam. Namun hal ini tidak menyebabkan mereka menafikan hak bukan Muslim yang mengikat perjanjian dengan negara Islam untuk sama-sama menjaga keamanan dan kedamaian masyarakat seluruhnya.
Tuntutan yang bersifat provokasi dan prejudis hendaklah dilayan dengan jawapan yang makruf tetapi tegas dan berwibawa supaya tidak timbul sentimen perkauman yang boleh memusnahkan semua golongan. Jika mereka mahukan penjelasan, kemukakan data dan hujah yang tepat. Jelaskan hak dan tanggungjawab semua pihak, jangan hanya buat perbandingan matematik yang kaku dan tiada perasaan.
Hakikatnya, umat Islam di Malaysia amat menghormati agama lain dan tidak wujud sebarang usaha menzalimi mereka seperti yang dialami umat Islam minoriti di negara lain.
Bukankah ini bentuk bantuan yang lebih bermakna? Padahal umat Islam, contohnya di United Kingdom yang melaungkan slogan kebebasan beragama, amat sukar untuk umat Islam keluar sekejap untuk hadir solat Jumaat, solat Hari Raya sampai perlu dilakukan enam kali kerana masjid yang sempit dan tidak dibenarkan solat serentak hingga memenuhi jalan raya atas alasan mengganggu trafik.
Azan hanya dalam masjid, bahkan sesetengah tempat dilarang pakai mikrofon. Terkini, Switzerland, simbol kebebasan dan demokrasi dunia, melarang pembinaan menara masjid. Apa kaitan menara dengan keadilan dan kebebasan? Inilah slogan yang berbeza dengan amalan, tapi ramai manusia yang ‘butakan’ kebenaran.
Apa maknanya bantuan wang jika kebebasan beragama disekat, dihalang dan diharamkan? Apakah sehingga perlu pentadbiran agama selain Islam dikuasai pemerintah dan terganggu oleh ‘politiking’ pentadbir? Pada masa itu nanti, akan timbul tuduhan yang baru pula.
Sumber: Dr. Juanda Jaya ( Tajdid Iman )
Recent Comments