Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality
12 Jan
Wajib bagi umat Islam memberi keadilan kepada manusia tanpa mengira fahaman
ISU serangan ke atas gereja baru-baru ini amat dikesalkan kerana ia mencalar imej Islam yang damai dan membawa rahmat. Walaupun belum ada jalan terang mengenai pihak yang bertanggungjawab, suara-suara kutukan turut digemakan daripada pihak umat Islam sendiri yang menolak tindakan anarkis sebegini.
Pelbagai khabar angin kedengaran kononnya ada pihak berusaha menangguk di air keruh mempergunakan isu Islam untuk tujuan peribadi, fahaman politik dan jawatan masing-masing. Bahkan ada yang menyuarakan mungkin saja keganasan itu didalangi musuh Islam yang mahu memburukkan lagi wajah agama kita.
Terlepas daripada segala khabar angin yang berdengung di telinga kita, eloklah jika kita mengkaji dan bertanya khabar maksum daripada Rasulullah SAW melalui wahyu yang diturunkan kepadanya dan sunnah baginda SAW di atas segala kerumitan yang membelenggu keharmonian umat beragama ini. Bukankah dulu Rasulullah SAW pernah melakukan diplomasi terhadap puak kafir musyrikin, sama ada yang memerangi Islam atau yang tidak memerangi. Bagaimanakah hubungan di antara umat ketika itu?
Al-Quran menjelaskan haramnya berdiplomasi dalam hal-hal akidah seperti dicatat dalam surah al-Kafirun. Sejarah mencatatkan terjadi perjumpaan di antara pembesar Quraisy melalui perantaraan bapa saudara Rasulullah SAW untuk memujuk baginda supaya mahu menyembah berhala mereka dan sebagai balasannya mereka pun akan menyembah Allah secara berganti-gantian.
Diplomasi sebegini diharamkan secara qatie tanpa melihat apa maslahat sekalipun kerana ia berkaitan dengan isu penyembahan selain Allah yang membatalkan akidah kerana ia adalah perlakuan syirik yang diharamkan.
Akan tetapi Rasulullah SAW tidak menutup jalan perbincangan untuk tujuan damai demi kemaslahatan bersama seperti ketika baginda SAW berada di Madinah dan meletakkan asas negara Islam yang dikongsi bersama dengan orang Yahudi dan Nasrani. Bahkan baginda meletakkan asas dan hak sama rata bagi mereka. Baginda turut memberi komitmen akan memerangi orang yang memerangi kafir zimmi (yang tunduk kepada negara Islam).
Yang menjadi perselisihan di antara umat Islam dalam isu menggunakan nama Allah ini ialah adakah ia secara langsung membabitkan akidah? Apakah akidah umat Islam akan terancam jika orang kafir menggunakan nama Allah dalam ibadat dan terbitan mereka? Atau ia hanya membabitkan ketakutan bayangan akan strategi dakyah orang kafir di tengah umat Islam?
Belum lagi tuntas perbincangan ini di kalangan ulama, majlis fatwa dan sarjana Islam yang bertauliah, tiba-tiba suara daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin seakan tidak sabar mencari jawapan atas permasalahan berkenaan. Beberapa demonstrasi diadakan di jalanan dan tanpa diduga berlaku kebakaran beberapa gereja tanpa diketahui puncanya.
Setiap permasalahan yang menimpa umat, sudah pasti ada cara pandangan yang berbeza dilontarkan oleh ulama. Hal ini adalah perkara biasa dalam medan ilmu dan kajian.
Jangan disebabkan ulama berbeza pendapat dalam isu ini, orang awam bahkan yang jahil pun berani mengkritik kredibiliti ilmu golongan ulama dan berani membuat hukum sendiri menurut emosi dan akal yang pendek.
Bahkan muncul suara yang mengancam sesiapa membenarkan keputusan mahkamah mengenai isu nama Allah ini diancam dengan hukuman kafir. Padahal dia tidak menyembah salib dan tidak mengakui Allah itu tiga dalam satu, dia hanya menghormati sikap orang bukan Islam untuk menggunakan nama Allah yang diambil dari bahasa al-Quran juga.
Perbincangan mengenai perkara ini janganlah terlalu gopoh untuk diputuskan tanpa mengambil pandangan ulama akidah. Jangan pula sarjana Islam yang bukan bidangnya bercakap mengenai akidah sambil cuba mempolitikkan masalah ini sehingga menambah kusut lagi benang yang sudah pun serabut, akibat tindakan sebahagian manusia yang jahil mengenai sejarah dan punca masalah ini di Malaysia.
Mengimbas pandangan al-Quran mengenai hubungan antara Islam dan kafir jelas dinyatakan bahawa wajib bagi umat Islam memberi keadilan kepada semua umat manusia tidak kira agama mereka sekalipun. Al-Quran menyatakan yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah ayat: 8 )
Jika kita mengkaji diplomasi yang pernah dilakukan baginda SAW dengan pemimpin kuffar musyrikin Makkah dalam Perjanjian Hudaibiyah, terlalu jelas sikap toleransi Rasulullah SAW untuk dijadikan sempadan.
Daripada Anas RA katanya: Orang Quraisy membuat perjanjian damai dengan Nabi SAW. Wakil mereka ialah Suhail bin Amru. Rasulullah mengarahkan Ali menulis: Tulislah Bismillahirrahmanirrahim. Lalu Suhail membantah: Kami tidak mengerti apakah itu Bismillahirrahmanirrahim. Tuliskanlah apa yang kami tahu iaitu BismikALLAHumma (Dengan namamu ya Allah).” (Hadis daripada sahih Muslim)
Hadis sahih ini menunjukkan sikap diplomasi Rasulullah SAW demi kemaslahatan dakwah Islam. Walaupun nama Allah dan nama Rasulullah SAW begitu tinggi di jiwa umat Islam dan membabitkan akidah yang suci, tidaklah ia akan membuat kufur sesiapa yang menyokong perjanjian ini. Bahkan Rasulullah SAW sendiri yang membenarkan tulisan ALLAHumma dikongsi bersama.
Kecantikan gaya diplomasi Nabi SAW adalah tuntutan daripada cara dakwah baginda. Kelembutan dan kasih sayang adalah semangat dakwah Nabi SAW sehingga akhirnya Suhail sendiri memeluk Islam. Alangkah malangnya jika umat Islam menunjukkan kekerasan dan permusuhan, kononnya mahu membela Islam padahal Rasulullah SAW menyuruh kita menjadi rahmatan lilalamin (rahmat untuk semua makhluk).
Jika umat Nasrani bangga mengakui Jesus penyelamat dunia dan dakyah mereka banyak menyentuh mengenai kasih Jesus, pengampunan dosa umat nasrani dengan darah Jesus, maka bagaimanakah cara dakwah kita sebagai umat Muhammad SAW? Adakah boleh kasih sayang kita menandingi mereka? Jika kita sayang kepada Islam, tariklah sebanyak mungkin minat orang kafir mengenai Islam, jangan menebar kebencian dan ketakutan di hati mereka. Inilah dakwah Islam, dakwah dengan semangat kasih sayang.
Penulis ialah Mufti Perlis, kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom
Oleh Dr Juanda Jaya
Sumber: Berita Harian Online
9 Jan
Pelbagai rintangan dihadapi konvoi bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin diatasi
SELEPAS bertempur dengan polis pencegah rusuhan Mesir sehingga ada yang ditangkap, Konvoi Bantuan Kemanusiaan yang berpayung di bawah nama Viva Palestina akhirnya dibenar memasuki Semenanjung Gaza untuk menyerahkan bantuan yang dikumpul dari lebih 42 negara, kelmarin.
Turut menyertai konvoi ini ialah tiga rakyat Malaysia, Shamsul Akmar, Juana Jaafar Manap dan Ram Karthigesu yang mewakili Yayasan Perdana Global, manakala Mohd Ibrahim Azmi, pelajar perubatan di Universiti Bristol, England, yang turut menyertai konvoi ini ditahan pihak berkuasa Mesir, tapi dibebaskan selepas 15 jam dalam tahanan.
Tarikh 7 Januari akan diingati warga dunia, kerana buat kali pertama bantuan kemanusiaan dari 42 negara membabitkan 210 trak yang penuh dengan makanan asas dan bekalan perubatan, dibenar memasuki Semenanjung Gaza ? selepas sebulan melalui perjalanan getir yang penuh cabaran.
Konvoi kemanusiaan yang bermula dari London pada 5 Disember lalu, melalui pelbagai cabaran dan halangan. Lebih mengaibkan apabila negara Arab seperti Jordan dan Mesir turut mencetus masalah yang amat memilukan.
Dengan sokongan serta penyertaan Ahli Parlimen Britain, George Galloway, Viva Palestina memulakan pengembaraan dari London ke Thessaloniki, Alexandropolis, Istanbul, Damsyik, Amman, Aqaba, Lattakia dan al-Arrish dengan menempuh pelbagai kisah suka duka.
Konvoi ini berharap dapat memasuki Semenanjung Gaza pada 27 Disember lalu bagi memperingati ulang tahun pertama serangan besar-besaran Israel ke atas rakyat Palestin melalui udara, darat dan laut, yang membunuh 1,400 rakyat Palestin, di samping memusnahkan ladang dan pelbagai infrastruktur utama lain.
Namun, konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan bernilai lebih AS$2 juta itu menerima halangan daripada pihak berkuasa Mesir. Halangan pertama apabila ia diminta mengubah haluan dan memasuki negara itu melalui Laut Mediterranean, tetapi laluan itu bukan saja akan mengorbankan perbelanjaan lebih besar malah menjejaskan jadual ketibaan.
Hasrat itu terpaksa dibatalkan, kerana terpaksa mengubah haluan menyebabkan mereka tersadai di dua pelabuhan beberapa hari.
Turut menghadapi cabaran ialah kumpulan sukarelawan yang tiba di Lapangan Terbang al-Arish, pada 4 Januari, kerana kumpulan pertama sukarelawan yang tiba hanya 157 orang dibenarkan memasuki Mesir, manakala 400 lain tidak diberi kebenaran.
“Pihak berkuasa Mesir berkata 400 sukarelawan lain tidak akan dibenarkan masuk. Semua ahli konvoi mula duduk sebagai bantahan dan enggan bergerak atau dipindahkan, tanpa penyertaan sukarelawan lain,” tegas seorang daripada mereka.
Kemuncak halangan ialah pada 6 Januari, apabila pihak berkuasa Mesir sekali lagi menghalang kemaraan Viva Palestina ? 1,300 sukarelawan dikepung dan diserang polis pencegah rusuhan.
Ramai antara mereka bukan saja ditangkap, bahkan mengalami kecederaan sehingga ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital. Namun, semangat kental, mereka kembali bersatu dengan ahli konvoi lain di Pelabuhan al-Arish, kecuali mereka yang berada dalam tahanan.
Turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Kerajaan Mesir yang menghalang misi kemanusiaan itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Yayasan Perdana Global, membuat rayuan kerana yayasan ini turut menyumbang empat trak dan sebuah ambulans serta menghantar dua wakilnya.
“Setahun selepas kepungan, pembunuhan beramai-ramai dan pemusnahan Gaza, Israel terus menyekat bantuan kemanusiaan ke atas rakyat Palestin di Gaza. Saya amat sedih kerana konvoi sukarelawan ini menghadapi halangan yang dikenakan Mesir,” katanya.
Ekspedisi bantuan kemanusiaan ini mendapat liputan media dunia dan bagi yang tidak mengetahui, tindakan kekerasan pihak berkuasa Mesir terhadap kumpulan itu tiga hari lalu sudah cukup memberi publisiti yang diperlukan.
Sokongan dunia kembali bergema dan Mesir dikritik teruk kerana menghalang bantuan dunia ke atas rakyat Palestin.
Galloway, antara tokoh politik Britain yang membabitkan diri secara serius dalam kempen Viva Palestina, berkata: “Jutaan manusia seluruh dunia mengikuti pengembaraan kami melalui saluran al-Jazeera dan PressTV, atau laman web, twitter serta e-mel.
“Mereka sudah pasti ‘mengamuk’ melihat usaha kami cuba dihalang daripada mencapai matlamatnya. Kami amat terharu menerima ribuan mesej dan reaksi tidak kunjung padam daripada masyarakat Islam dunia yang mengikuti perkembangan konvoi ini dan berdoa akan kejayaannya.”
Viva Palestina yang bermula dari United Kingdom kini menjadi sebuah pertubuhan sukarelawan di seluruh dunia. Matlamat utama untuk membantu rakyat Palestin mendapatkan makanan, ubat-ubatan, barang keperluan serta perkhidmatan penting, di samping menjulang usaha ke arah sebuah dunia yang aman.
Selepas pengembaraan selama sebulan, melalui perjalanan ribuan batu, 10 negara, satu kapal dan empat penerbangan, kelmarin sukarelawan Viva Palestina mula memasuki Semenanjung Gaza.
“Kami begitu terharu melihat hampir seluruh rakyat Palestin di Gaza keluar menyambut kami. Konvoi Viva Palestina ini adalah simbolik. Ia membuktikan kepada rakyat Palestin betapa rakyat di Barat turut mengambil berat terhadap mereka.
“Kami hadir secara aman untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan kami berharap konvoi ini dapat membantu meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk menamatkan kepungan ini,” kata Kevin Ovenden, yang mengetuai konvoi memasuki Semenanjung Gaza.
Malaysia tidak terkecuali daripada berasa terharu kerana Shamsul, Juana, Ram dan Ibrahim adalah sukarelawan yang berjaya memasuki dan menghantar bantuan yang diamanahkan kepada mereka.
Rakyat Malaysia dan dunia memberi tabik hormat kepada semua sukarelawan yang sanggup menghadapi apa saja bagi memastikan bantuan yang diamanahkan kepada mereka dapat diserahkan kepada rakyat Palestin.
Pengembaraan panjang, berliku dan penuh cabaran semua 1,360 sukarelawan ini diharap akan terus diingati seluruh warga dunia, terutama mereka yang cintakan keamanan.
Bantuan kemanusiaan kali ini memecahkan sempadan warga dunia dan yang pasti ia bukan yang terakhir, kerana matlamat akhir Viva Palestina ialah membebaskan 1.5 juta rakyat Palestin daripada cengkaman kekejaman rejim Yahudi satu hari nanti.
Oleh Jamhariah Jaafar
Sumber: Berita Harian Online
8 Jan
Hari ini sebanyak 17 100 rubles telah diserahkan. Jumlah ini merupakan kutipan derma ketika berlangsungnya Program Symposium PPIM 2010. Jazakumullah khairan kathira.
Sumbangan boleh diwakilkan kepada:
Badan Penggerak Khas Tabung Kirovsky
Afham Naqiuddin Bin Osman
Account No: 153010170580 MAYBANK
Email : musliminvolgograd@gmail.com
Alamat di Malaysia : LOT 1203 LORONG PAKATAN KG GUCHIL BAYAM 15200 KOTA BHARU KELANTAN
No telefon : 097646155 (MALAYSIA), +79275479976 (RUSSIA)
*Pelajar Volgograd boleh menyampaikan sumbangan anda kepada ketua kumpulan, naqib dan naqibah masing-masing.
8 Jan
AGAMA Islam sejak permulaan dakwahnya sehingga kini sering menghadapi cabaran dan rintangan. Umat Islam yang mempunyai kekuatan iman memahami bahawa setiap Rasul yang diutuskan ke dunia sering menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran sehingga terdapat di antara mereka dibunuh oleh masyarakat bukan Islam seperti mana terjadi kepada Nabi Zakaria dan Nabi Yahya.
Bagi memperkukuhkan akidah, umat Islam perlu merenung kelemahan diri sendiri dalam menghayati ajaran Islam. Sejauh manakah umat Islam melaksanakan ajaran agama telah banyak dibahaskan.
Ramai umat Islam terlalu ghairah dengan perkara-perkara keduniaan sehingga terlupa bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah sebelum kembali menemui Allah. Umat Islam kurang muhasabah diri dalam memperkukuhkan akidah, syariah dan akhlak Islam.
Keasyikan terhadap kegiatan-kegiatan yang boleh melalaikan diri seperti terlalu mengejar keduniaan sehingga terlupa untuk mengisi keperluan kerohanian telah mengheret umat Islam ke kancah kemusnahan.
Remaja-remaja Islam semakin hari ramai melibatkan diri dalam pengambilan dadah, keruntuhan akhlak dan kurang mampu untuk mengharungi cabaran dan rintangan dalam kehidupan.
Sikap terlalu bergantung kepada kerajaan dalam setiap aspek kehidupan menjadikan umat Islam kurang aktif dan pasif untuk memperbaiki taraf kehidupan dan pendapatan.
Ini disebabkan mereka kurang diberi kesedaran bahawa keringat atau membanting tulang untuk mendapatkan sesuap nasi lebih diberkati Allah daripada mengharapkan bantuan daripada orang lain.
Di sini timbul persoalan adakah suasana dan gejala begini mempunyai hubung kait dengan kelemahan akidah dan keimanan? Ramai umat Islam kurang memahami konsep akidah dan keimanan Islam dalam perspektif yang luas.
Pemahaman terhadap akidah dan keimanan jika hanya didasarkan kepada kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman tanpa memahami huraiannya secara mendalam boleh mengakibatkan umat Islam menjadi fanatik dan tidak terdaya untuk menghadapi cabaran dunia yang sering berubah mengikut arus zaman dan keadaan.
Dalam pendakwahan Islam, tumpuan utama yang perlu disemat dalam sanubari umat ialah kepercayaan kepada tauhid iaitu hanyalah Allah Tuhan Yang Esa, Pencipta alam dan Tuan kepada semua makhluk.
Pemahaman terhadap Allah Yang Maha Esa bukan sahaja boleh memberi satu keyakinan yang mantap dan sukar untuk digugat tetapi ia juga boleh mendorong umat Islam mempertahankan maruah dan harga diri secara rasional dan dihormati.
Kepercayaan Allah sebagai Tuan kepada makhluk dan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di dunia ini boleh membuka minda dan hati nurani umat Islam tentang hakikat maruah dan harga diri mereka.
Keyakinan bahawa tidak ada konsep hamba dan tuan sesama manusia boleh mendorong umat Islam menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap masyarakat, negara dan agama tanpa terlalu mengharapkan kedudukan, pangkat dan ganjaran kerana mereka memahami tugas dan pekerjaan seharian mereka adalah amanah daripada Allah.
Hasil daripada kefahaman dan keyakinan ini boleh mendorong umat Islam tekun dan berhemah dalam pekerjaan tanpa melibatkan diri dalam kancah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan rakus terhadap kebendaan dan keduniaan.
Kejayaan umat Islam pada masa silam dalam membina tamadun yang gemilang dalam jangka masa yang pendek (lima ratus tahun) jika dibandingkan dengan Greek (lebih kurang satu ribu tahun) dan Rom (lebih kurang tujuh ratus tahun) adalah hasil daripada kefahaman konsep tauhid dalam perspektif yang luas.
Setiap individu Islam yang mempunyai keyakinan terhadap konsep tauhid yang mendalam meletakkan dirinya sebagai hamba Allah yang paling tawaduk. Jika seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam hal ehwal keagamaan dan dunia, dia sentiasa menonjolkan diri sebagai orang yang jahil dalam ilmu, sentiasa menghormati orang lain walaupun orang itu yang jahil dan berdosa.
Umat Islam yang mempunyai kefahaman akidah Islam dalam perspektif yang luas tidak akan menganggur dan ganas kerana perkataaan ‘Islam’ itu bermakna ‘taslim’ (menyerahkan diri kepada Allah) dan ‘salam’ (aman). Menyerahkan diri kepada Allah bukan bererti mengharapkan Allah menurunkan hujan emas dari langit tanpa berusaha dan berikhtiar.
Allah tidak akan memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya jika mereka malas dan sentiasa bergantung kepada orang lain kerana fitrah kehidupan makhluk-Nya di dunia ialah bekerja dengan menggunakan tenaga tubuh badan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia ini kerana perkataan ‘dunia’ memberi pengertian ‘dunia bekerja’.
Umat Islam dalam tahun 2010 ini perlu memperbaiki kesilapan dengan menunjukkan sikap yang lebih berhemah dalam setiap aspek kehidupan. Perpecahan dan pergeseran sesama umat Islam sama ada dalam arena politik dan pentadbiran akan mengundang kerugian.
Perselisihan politik sepatutnya dianggap sebagai satu cara untuk memperbaiki suasana kepimpinan dan pentadbiran, bukan berdasarkan kepada permusuhan perbezaan fahaman politik sehingga konsep persaudaraan sesama Islam terjejas dan hancur.
Umat Islam adalah saudara dalam akidah Islam. Persaudaraan dalam akidah merupakan ajaran Islam yang mulia.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
7 Jan
Belanja secara sederhana, berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat
DALAM menghadapi kegawatan ekonomi dunia, kita pula diseksa dengan harga gula yang naik mendadak. Pastinya, rakyat jelata bukan saja menghadapi masalah perbelanjaan, malah masalah lain yang timbul rentetan tekanan kewangan. Antara saranan yang klise supaya menerima hakikat itu ialah supaya berjimat cermat.
Ungkapan berjimat cermat dalam berbelanja bukanlah sesuatu yang baru didengari, malah ia adalah tuntutan dalam Islam, cuma tidak ramai yang mengendahkannya. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuk wang, masa dan peluang.
Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah bermaksud supaya manusia bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.
Hari ini, ramai yang membazir kerana terlupa pesanan Allah SWT, mungkin kerana menganggap sikap boros adalah sifat semula jadi dan tiada siapa boleh menghalang, sedangkan bersederhana dituntut agama.
Allah SWT menyuruh kita berhati-hati dalam segenap perkara dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Yang paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.”
Yang perlu diingat ialah, kalau kita diberikan rezeki melebihi keperluan kita dan tanggungan, sedangkan pada masa sama, ada orang lain yang terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan pula kita menyorok tangan dengan tidak mengambil endah terhadap tanggungjawab sesama manusia.
Kadangkala kita hanyalah perantara yang dilantik oleh Allah SWT untuk membantu sesama makhluk. Tetapi tentunya kita berasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya. Tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, ketika kecemasan, ihsan kepada orang lain sebagai sedekah, untuk mengembangkan syiar agama dan sebagainya kerana terlalu bermewah dengan apa yang ada dan wang habis sekelip mata, sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka.” ? Riwayat Bukhari dan Muslim.
Rasulullah sendiri tidak terlalu khuatir kalau-kalau umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi Baginda takut kalau kita tertipu dengan dunia yang dihiasi dengan isinya yang sementara, yang semuanya hanyalah penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika kita bijak membuat pilihan.
Cermat dalam membelanjakan wang dan masa adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim, supaya mereka dapat menyedari bahawa moral yang sekecil itu boleh memberi untung yang besar kepada agama.
Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah SWT agar menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. Mereka tidak berjimat jika punya wang, mereka tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara ketika orang ingin mendengar kata-katanya, tidak menghargai suami, isteri atau anak yang dianugerahkan Allah sehingga mempersiakan mereka, malah membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka tidak punya segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq r.a. ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata, “Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah”. Abu Bakar menjawab: “Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali salah seorang dari antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja.”
Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat agar menjadi ikutan umat Islam seluruhnya sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama.
Sifat boros berbelanja wang atau masa sememangnya patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Allah berfirman dalam Surah Al-Israa’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya.”
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom
Oleh: Nik Salida Suhaila Nik Salih
Sumber: Berita Harian Online
Recent Comments