Muslims In Volgograd

Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality

Archive for February, 2010

Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh                   19 Februari 2010

Dr / Tuan / Puan / Saudara / Saudari

Memohon Sumbangan Bagi Mencetak dan Mengedarkan Buku Kompilasi Permasalahan Feqah

Merujuk perkara di atas, saya mewakili Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) Russian Student Chapter (RSC) Volgograd ingin memohon sumbangan daripada pihak tuan / puan / saudara / saudari bagi mencetak dan mengedarkan buku Kompilasi Permasalahan Feqah kepada pelajar-pelajar Malaysia Islam di Volgograd ini.

2. Untuk makluman tuan / puan / saudara / saudari, buku Kompilasi Permasalah Feqah ini merupakan himpunan artikel-artikel yang diambil daripada blog-blog dan forum-forum agama yang terkenal. Buku ini mengandungi beberapa bab yang meliputi permasalahan feqah yang sering dialami oleh seorang muslim sama ada di Tanah Air mahu pun di luar negara.

3. Buku ini telah disiapkan 3 minggu yang lalu. Malangnya, oleh sebab kami kekurangan sumber kewangan untuk mencetak dan mengedarkan buku ini kepada pelajar-pelajar, usaha kami ini terpaksa ditangguhkan. Kos pencetakan bagi sebuah buku ini dianggarkan sebanyak 420 Rubel (RM48). Kami bercadang untuk mencetak sebanyak 100 buah dan mengedarkan buku ini kepada pelajar-pelajar di Volgograd ini. Kos keseluruhan:

            420 Rubel x 100 buah buku = 42000 Rubel (RM4800)

4. Sehubungan dengan itu, kami meminta jasa baik pihak tuan / puan / saudara / saudari agar memberi sedikit sumbangan bagi merealisasikan usaha kami ini. Sumbangan bolehlah disalurkan melalui wakil kami:

Nama                                     :           Mohd Attaful Uzair bin Arshad

Jawatan dalam PPIM        :           Penolong Ketua Biro Perhubungan Luar

No. Kad Pengenalan          :           870107-08-5083

Nombor akaun Maybank :           158015154889

E-Mail                                    :           aful_uzair@yahoo.com

Alamat di Malaysia            :           23, Taman Lerista, Bukit Chandan,

33000, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan

Nombor Telefon                 :           +79178301339 (Russia)

         

5. Bersama dengan ini disertakan lampiran yang berkaitan dengan buku ini. Segala sokongan dan sumbangan pihak tuan / puan / saudara / saudari saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih. 

Sekian. Jazakumullahu Khairan Kathira.

Bersama Membangunkan Ummah

Keberkatan Hidup Keutamaan Kami

Yang benar,

 

(SOFWAN SYAIRAZI BIN ABDUL GHANI)

Ketua Biro

Biro Perhubungan Luar

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM)

Russian Student Chapter (RSC) Volgograd

 

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh”. (al-Munafiqun: 10)

       

 

Untuk maklumat mengenai kandungan dan gambar buku, sila muat turun melalui link di bawah :

http://www.mediafire.com/?jwxt3oydzly

 

 

Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.

 

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Sumber: http://drmaza.com/home/?p=1017

Oleh Dr Juanda Jaya

Masyarakat perlu ada sifat pemaaf, prihatin bendung gejala buang bayi daripada berleluasa

PERSEPSI negatif masyarakat terhadap dosa penzina agaknya melampau sampai ke tahap tiada ampun lagi. Jika setakat mencela perbuatan terkutuk itu tidaklah berat ditanggung penzina yang mahu bertaubat.

Tetapi jika sampai tidak menaruh belas kasihan bahkan dipulaukan, dikeji seumur hidup sampai anak yang dilahirkan turut sama menanggung dosa orang tua dengan panggilan anak haram, diistimewakan dengan sebutan nama berbin dan binti Abdullah supaya berbeza daripada anak-anak lain, apakah ini sikap memaafkan masyarakat kita?

Apabila berlaku fenomena membuang bayi, kita sepakat mengutuk sekeras-kerasnya kejahatan ini tanpa menilai mengapa ia berlaku. Adakah disebabkan budaya masyarakat yang jauh menyeleweng daripada agama, jika benar mengapa ramai orang Islam yang terbabit?

 

Mungkin orang kafir lebih bijak menghapuskan benih perzinaan itu dengan melakukan pengguguran, tetapi persoalannya adalah sikap membunuh darah daging yang sempurna bentuk jasad dan sifatnya itu lebih kejam daripada pengguguran pada awal kandungan.

Kita tidak mempersoalkan tindakan mana lebih kejam kerana memang kedua-duanya adalah dosa besar dalam Islam. Tetapi umat Islam perlu memiliki sifat kemanusiaan dan jangan menghukum teruk wanita yang berzina supaya mereka tidak takut dan kembali melakukan dosa besar dengan membuang bayi.

Bayi tidak berdosa itu terbunuh mungkin disebabkan proses kelahiran yang disembunyikan akibat perasaan takut dan malu, bukan kerana sengaja mahu dibunuh. Bagaimana jika ia bukan hasil perzinaan, kerana jenayah rogol misalnya atau ‘haruan makan anak’.

Disebabkan masyarakat tiada belas kasihan dan keluarga berantakan, maka wanita yang terbabit berusaha menutupi dosa dengan melahirkan sendiri anak tak berdosa itu. Mustahil mereka mahu membunuh bayi selepas kelahiran. Kalau berniat membunuh, mereka akan melakukannya pada awal kandungan lagi.

Mungkin sesetengahnya tidak sempat menggugurkan kandungan dan terpaksa menunggu saat kelahiran, tetapi pada masa menunggu itu mengapa keluarga dan masyarakat tidak mahu memaafkan sehingga wanita ini putus asa dan akhirnya membunuh bayinya.

Keluarga dan masyarakat berperanan besar dalam menyelesaikan fenomena ini. Orang Islam yang taat jangan sesekali memandang serong wanita yang sudah bertaubat. Mereka yang terlanjur dan mahu bertaubat sepatutnya dibimbing, dikasihani dan ditunjukkan jalan keluar. Jika kita bersikap keras, membenci dan terus memusuhi mereka tanpa memberi peluang, fenomena sebegini akan berlarutan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu ma’afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu [246]. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali Imran ayat: 159)

Kita dituntut untuk terpanggil dan sensitif dengan gejala tidak sihat di sekeliling rumah, tempat kerja, lingkungan di seluruh negeri kita. Jika ada anak saudara yang terlanjur, mampukah kita memberi kemaafan dan menanggung sama aib itu, atau kita menutupinya kerana takut dicemuh masyarakat kemudian tidak peduli dengan perbuatannya bahkan melarang anak perempuan kita bergaul rapat dengannya?

Bukankah lebih baik mengajar anak-anak kita menolong, menasihat dan mencari jalan keluar supaya taubatnya benar-benar nasuha? Malangnya, cerita keji itu tetap dikenang selamanya dan dijadikan cacian dalam keluarga sendiri padahal wanita itu sudah bertaubat.

Kita lihat pandangan dan sikap Baginda SAW terhadap wanita berzina dalam suatu hadis mengenai taubat yang bermaksud:

“Ada seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah SAW sedang dirinya hamil kerana berzina. Dia berkata: Wahai Rasulullah aku telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka laksanakanlah hudud itu kepadaku. Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda: Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW tidak sesekali mengeji wanita yang ingin bertaubat ini, tidak mencari dan mengheret lelaki yang melakukannya dan tidak menjatuhkan hudud ke atasnya saat itu juga. Bahkan Rasulullah SAW berpesan kepada ayahnya atau bapa saudaranya atau saudara lelakinya supaya menjaga wanita ini baik-baik. Betapa lembutnya akhlak Nabi SAW, sedangkan ramai anak-anak perempuan di sekelilingnya terlanjur tak dapat menahan marah ke atas mereka. Sehingga menyebabkan wanita itu tetap dalam kejahatannya bahkan bertambah jahat lagi dengan membuang bayi mereka.

Kemudian selepas wanita itu melahirkan dan cukup tempoh penyusuan bayinya, sesudah dia meninggal dalam hudud, baginda mensolatkannya. Umar RA bertanya: Wahai Rasulullah mengapa engkau mensolatkan wanita ini padahal dia berzina. Rasulullah bersabda: Wanita ini benar-benar bertaubat seandainya taubat itu dibahagi kepada 70 orang Madinah nescaya masih cukup. Pernahkah kamu mendapatkan orang yang lebih utama daripada seorang yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Azza Wa Jalla”.

Seperti kita, Umar mengeji sekeras-kerasnya penzina. Tetapi Rasulullah SAW mengingatkan mengenai kedudukan taubat lebih tinggi lagi daripada segala kejahatan yang pernah dilakukan manusia.

Sebelum hudud ditegakkan, negara mesti menyediakan badan dakwah dan kebajikan yang aktif berperanan mendidik umat, menggunakan pendekatan kasih sayang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar, membanteras jenayah dengan usaha pencegahan berlandaskan ilmu, nasihat dan bimbingan.

Jika ibu bapa sibuk dengan urusan sendiri, tidak menghiraukan pendidikan agama kepada anak-anak, langkah terbaik adalah mengenakan dulu hukuman ke atas ibu bapa yang tidak bertanggungjawab sebelum menyalahkan anak-anak terbabit.

Malang sungguh, saat terlanjur mereka diberhentikan daripada pengajian, dipulau keluarga, tiada yang sudi menasihati dan membimbing, jalan taubat ditutup rapat oleh masyarakat sekeliling. Jika kita tidak mengubah persepsi terhadap wanita-wanita malang ini selamanya gejala buang bayi akan berleluasa.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20100215235231/Article/index_html

Oleh: zain y.s (al-ahkam.net)

Ketika saya membelek-belek kembali majalah-majalah dan artikel-artikel lama yg ada dalam simpanan, saya tertarik dengan satu artikel dari majalah siswa Indonesia di Mesir. Iaitu majalah Himmah, terbitan Mahasiswa Indonesia di Kairo, no. 13, tahun vii, sept-okt 1993. Di dalam ruangan Fokus Kajian, dimuatkan artikel mengenai aliran pemikiran Islam di Mesir. Saya merasakan isikandungannya penting. Sekalipun kita berada di Malaysia, dan artikel ini berkaitan dengan aliran pemikiran di Mesir namun jangan lupa, kita cukup banyak menerima tempiasnya. Contoh paling ketara ialah pengaruh al-Ikhwan al-Muslimin. Contoh lain, pengaruh aliran sekular Mesir pada seorang penulis tentang agama di akhbar arus perdana. Penulisan saya ini akan menggunakan asas dari artikel berkenaan dengan bantuan beberapa rujukan lain.

——————-

Artikel membahagikan pemikiran Islam di Mesir kepada 5 aliran, iaitu:

1. Aliran reformis tradisional

2. Aliran reformis moderat

3. Aliran Islam sekular

4. Islam radikal

5. Islam kiri

————-

1. Aliran reformis tradisional Aliran ini mempunyai beberapa ciri utama, iaitu:

i. Berpemikiran tradisional

ii. Mempunyai nilai reformasi

Terdapat beberapa kecenderungan yang dapat dilihat dalam aliran ini, iaitu:

- Menggunakan dasar hukum-hakam syariah dari usul feqh, qawaid feqh, qawaidul ahkam dan feqh. Mereka menyesuaikannya berdasarkan kepada tempat dan masa.

- Menggunakan tafsir bil maktsur (lawan bir rakyi = akal). Iaitu menafsirkan al-Quran menggunakan nash al-Quran atau dengan hadis nabi s.a.w. atau dengan perkataan sahabat atau tabiin.

- Mereka cenderung untuk tidak menafsirkan al-Quran berdasarkan pendekatan ilmiah. Kerana mereka berpendapat bahawa teori-teori ilmiah bersifat nisbi kebenarannya, dan tidak berkesudahan. Teori-teori ilmiah membuka ruang kepada tindakan koreksi oleh teori ilmiah lainnya.

- Terhindar dari menafsirkan al-Quran berdasarkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi. Mereka juga tidak menafsirkan al-Quran berdasarkan faham atau aliran tertentu. Mereka tidak fanatik dengan hasil kebenaran teorinya.

- Menerapkan sikap taabbudi terhadap hukum-hakam Islam berdasarkan kepada teks-teks yang sharih (jelas). Dan mereka sering mengaitkannya dengan nilai keimanan dan balasan amal – dosa dan pahala.

- Aliran ini ada pengaruh kesufian. Ini dapat kita lihat dengan penekanan terhadap kualiti kerohanian.

- Memerdekakan akal dari pengaruh taklid dan khurafat.

- Mereka percaya bahawa keamanan dan keadilan sosial dapat dipraktik melalui perbaikan diri dari perbuatan-perbuatan buruk. Manakala jiwa hendaklah diisi dengan keagungan Allah melalui zikir.

Antara tokoh-tokoh yang berada dalam aliran ini ialah seperti Syeikh Mutawalli Syarawi, Syeikh Athiyah Saqr, Dr Ismail Diftar dan Dr Abul Wafa al-Taftazani. Kita akan dapat lihat dengan jelas aliran pemikiran ini di dalam kitab Ahsanul Kalam, tulisan Syeikh Athiyah Saqr.

 

2. Aliran reformis moderat (sederhana)

Aliran ini muncul adalah sebagai reaksi dari fenomena umat Islam hari ini yang sudah tidak selari dengan gambaran al-Quran, iaitu sebagai umat terbaik. Ia juga muncul sebagai alternatif kepada dua aliran Islam, iaitu aliran salafi yang mengajak kembali hidup ke-abad ke 6. Dan satu lagi ialah aliran sekular yang amat terpengaruh dengan barat. Intipati aliran ini dapat dilihat melalui kata-kata Dr. Yusof al-Qardhawi “ingin menampilkan umat Islam yang mampu memimpin dunia modern dengan Islam.”

Antara isikandungan aliran reformis moderat:

- Ajaran Islam adalah ajaran yg universal dan komprehensif. Ia akan terus sesuai dipraktikkan hingga bila-bila sekalipun berlaku perubahan zaman dan sosial. Secara mudahnya, Islam mengandungi ajaran yang lengkap di dalam semua aspek kehidupan. Ajaran yang sedemikian rupa telah dirancang oleh Allah dengan memberikan ketegasan dan perincian yang jelas dalam perkara-perkara akidah dan ibadah murni. Manakala dalam perkara-perkara muamalat dan hubungan sosial ia diberikan dalam bentuk kaedah-kaedah umum dan global. Mereka mengatakan bahawa dalam persoalan yang telah jelas dan tegas ketentuannya hendaklah diterima. Tidak ada jalan untuk berijtihad di dalamnya. Manakala dalam soal-soal yang ketentuannya masih global atau umum, golongan dari aliran ini tidak mahu terikat dengan hasil ijtihad mana-mana mujtahid.

Mereka akan mengambil dari berbagai pendapat ulamak dan memilih mana yang sesuai dengan perkembangan zaman. Dengan ini, kita akan dapat melihat bagaimana hasil fatwa-fatwa mereka nampak lebih fleksibel dan nampak keindahan Islam dapat diketengahkan dalam kehidupan masyarakat.

- Ketika mereka menyelesaikan masalah-masalah sosial umat Islam atau masalah-masalah kontemporari, mereka sering mengetengahkan prinsip-prinsip ilmiah/rasional, maju, realistik dan berwawasan masadepan. Mereka masih tetap berpegang kepada metodologi ulamak-ualamak klasik.

- Mengenai politik, mereka berpegang kepada slogan: “Islam din wa daulah” ertinya Islam, agama dan negara. Oleh itu, mereka amat mengimpikan sebuah negara Islam tertegak di tengah-tengah masyarakat Islam. Kerana, kewujudan negara Islam merupakan satu energi untuk mengaplikasikan ajaran Islam yg sempurna.

- Mereka menolak penubuhan negara Islam secara revolusi. Mereka memilih jalan reformasi. Aliran ini tidak menolak apa yang datang dari barat. Juga tidak menerimanya bulat-bulat. Perkara buruk dari barat mesti dijauhi dan yang baik mesti dimanfaatkan. Ilmu sains dari barat hendaklah dipelajari agar umat Islam tidak ketinggalan dari arus perkembangan zaman.

- Mengenai kitab-kitab warisan hasil dari ijtihad para ulamak silam. Mereka mengatakan bahawa ia adalah hasil ijtihad pada zaman di mana ulamak berkenaan berada. Oleh itu, ia seringkali tidak bersesuaian dengan zaman modern. Aliran ini masih terus memanfaatkan kitab-kitab warisan lama ini, tetapi bukan dalam bentuk yang tersurat (tekstual) tetapi dalam bentuk yang tersirat (kontekstual). Mereka amat memanfaatkan methode yg digunakan oleh para ulamak silam dalam memahami Islam.

- Dalam hal ijtihad ulamak-ulamak silam, mereka berpegang kepada prinsip: “Mereka manusa, kitapun manusia juga.” Bermaksud, sama-sama mempunyai hak utk mempersepsikan Islam. Dan, oleh itu mereka terus membuka pintu ijtihad kepada sesiapa yang berkemampuan.

Para tokoh yang berada di dalam aliran ini ialah Dr Yusof al-Qardhawi, syeikh Muhamad al-Ghazali, Dr Muhamad Imarah dan Fahmi Huwaidi.

 

3. Aliran Islam sekular

Di Malaysia, penganut faham sekular kebanyakannya tidak celik bahasa arab. Mereka tidak celek tentang kitab-kitab warisan ulamak silam. Mereka juga tidak menghafal al-Quran atau memahaminya. Kalau ada yang celik sedikit bahasa arab, mengerti serba sedikit kitab-kitab warisan ulamak silam, pasti mereka akan mengelak dari dicap sebagai sekularis apatah lagi mengaku secara terang-terangan. Sekularis Malaysia sering melarikan diri dari chop sekularis melalui istilah-istilah tertentu. Sebab itu kita dapat lihat istilah-istilah seperti menafsirkan semula al-Quran, toleransi, pelbagai kaum, islam sederhana, bertahap-tahap dsbnya. Bahkan! Yang terakhir, mereka sanggup pula mendabik dada mengaku diri mereka Islam Fudemantalis. Istilah-istilah ini bukanlah dalam erti kata sebenarnya, tetapi adalah pintu-pintu untuk puak-puak sekular Malaysia lari dari chop sekularis. Pada hakikatnya mereka adalah puak-puak sekular tetapi amat pemalu.

Ini berbeza dengan sekularis Mesir. Mereka dengan bangga membuat pengakuan terbuka “aku adalah seorang sekular!” Mereka ini sudah pasti celek bahasa arab. Jangan terkejut, mereka amat menguasai ilmu-ilmu dan kitab-kitab warisan ulamak silam. Juga, mereka ini menghafal al-Quran serta memahaminya! Lihat apa yg dikatakan oleh Abdul Azim Ramadhan: “Aku adalah seorang sekular, tapi aku juga menghafal al-Quran sejak berusia sembilan tahun.”

Aliran ini sebagaimana namanya berpegang kepada dasar negara dan politik mestilah dipisahkan. Atau dunia dan agama hendaklah dijauhkan. Syeikh Ali Abdul Razik mempelopori aliran ini dengan tulisannya yg berjudul “Al-Islam Wa Ushulul Hukmi” (Islam dan prinsip-prinsip pemerintahan). Di dalamnya, beliau membezakan antara Rasulullah s.a.w. sebagai qadhi, penguasa dan rasul. Katanya, al-Quran sendiri menonjolkan Rasulullah s.a.w. sebagai penyampai risalah Tuhan. Oleh itu, katanya, mana ada pemerintahan, negara dan struktur kekuasaan. Oleh itu, baginda s.a.w. hanyalah sebagai pemimpin agama sahaja. Hasilnya, beliau berpendapat amat jauh hubungan antara agama dan politik. Bukunya ini dikecam oleh para ulamak al-Azhar. Namun, Ali Abdul Razik akhirnya bertaubat. Katanya: “Syaitan-lah yang telah menggoda aku untuk mengatakan bahawa Islam hanya sekadar agama kerohanian.”

Antara tokoh-tokoh yang berada dalam aliran ini ialah, Thoha Husin, Najib Mahfuz, Fuad Zakaria, Muhamad Said al-Asymawi, dr Zaki Najib Mahmud dan lain-lain.

 

4. Islam radikal

Antara tokoh yang dianggap sebagai beraliran radikal ialah Syed Qutb dan Syeikh Umar Abdul Rahman. Syed Qutb di dalam bukunya Maalim Fit Tariq jelas menunjukkan aliran radikal. Baginya masyarakat dapat dibahagi kepada dua bahagian sahaja, iaitu masyarakat Islam dan masyarakat jahiliah. Dalam parti pula, hanya dua; hizbullah (parti Allah) dan hizbu syaithan (parti syaitan). Manakala pemerintahan pula, jika pemerintahan Islam ialah yang menjalankan syariat Islam sepenuhnya. Sedangkan yang separuh-separuh sahaja adalah pemerintah taghut yang dapat dianggap sebagai kafir di mana umat Islam wajib berjihad menentangnya.Bagi aliran radikal ini, manusia ini hanya ada hitam dan putih sahaja, tanpa ada warna-warna lainnya.

Pembahagian hitam putih ini tidak dipersetujui oleh ramai ulamak, antaranya ialah Dr Yusof al-Qardhawi, Syeikh Muhamad al-Ghazali, Muhamad Imarah dan sejumlah tokoh-tokoh al-Ikhwan al-Muslimin seperti Dr hasan al-Hudaibi, Umar al-Tilmissani, Dr Mustafa Hilmi dan Dr Muhamad al-Bahi. Bagi mereka ini, disamping hitam dan putih, bukankah ada warna-warna lain lagi?

Majalah Himmah menyatakan beberapa punca mengapa munculnya aliran radikal. Disebutkan tiga faktor:

i. Al-Azhar tidak berfungsi sebagaimana mestinya Al-Azhar dengan usianya dan sejumlah besar para ulamaknya dipandang oleh masyarakat Mesir sebagai tidak serius mengatasi problem masyarakat Islam.

ii. Sikap kuku besi dan teroris pemerintah Pemerintah memberi ruang yang luas kepada penulis-penulis sekular untuk menghentam Islam melalui akhbar-akhbar resmi kerajaan. Ini menambahkan dan menaikkan semangat pemuda-pemuda Islam. Emosi mereka jadi terbakar. Apatah lagi, apabila tuntutan mereka agar tulisan-tulisan yang menghina Islam dihentikan segera tidak pernah dilayan langsung. Dan setelah pintu-pintu formal ditutup rapat-rapat, maka sudah tentu pemuda-pemuda Islam ini akan menggunakan jalan kekerasan sebagai jalan keluar. Ketika itu, dapatlah pemerintah yang zalim ini menyalahkan mereka atas tuduhan melakukan keganasan. Pemuda-pemuda Islam ini diperangkap agar terjebak ke dalam jerat radikal dan keganasan.

iii. Kemunduran  Umat Islam suatu ketika dahulu pernah berada dizaman kegemilangan. Dan sekarang ini, mereka menduduki Negara-negara yang mundur dan miskin. Maka untuk kembali kepada kegemilangan silam, mereka berpendapat tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada genarasi salaf secara bulat-bulat dengan segala macam bentuknya. Dengan cara ini Islam radikal merasa lebih Islam dari orang lain.

iv. Pemerintah yang tidak demokrasi Sikap pemerintah yang kononnya mengaku mengamalkan demokrasi, namun pada hakikatnya adalah sebaliknya. Ramai tokoh-tokoh Islam yang menerima tekanan yang amat dahsyat apabila mereka mengemukakan pemikiran Islam mereka. Mereka ditangkap, dipenjara dan disiksa di luar batas peri kemanusiaan. Syed Qutb sendiri telah disumbatkan ke penjara tanpa pengadilan yang jujur. Mereka mengada-adakan tuduhan ke atasnya. Akhirnya beliau syahid di tali gantung. Ini menimbulkan reaksi yang seimbal dari pengikut-pengikut Syed Qutb, iaitu kekerasan lawan kekerasan. Ada yang menuduh bahawa tafsir Syed Qutb Fi Zilalil Quran-lah yang menyebabkan munculnya aliran radikal. Ini dapat disangkal, bahawa radikal bukanlah disebabkan oleh buku-buku sahaja. Yang lebih membuatkan tindak kekerasan diambil ialah apa yang dirasakan oleh masyarakat itu sendiri. Bukan hanya melalui buku. Sebab itu ada yang berpendapat bahawa jawapan utk mengatasi masalah radikal ini ialah dengan tawaran perlaksanaan syariah Islam dalam kehidupan dan politik. Kerana radikal bukanlah tujuan tetapi sebagai jawapan dari tindakan radikal pemerintah.

———

Kita di Malaysia sendiri pernah suatu ketika dahulu pengaruh radikal menyelusup masuk pada sebahagian pemuda-pemuda Islam. Namun ia agak reda dan tenang dengan tersebarnya pemikiran-pemikiran sederhana dari tokoh-tokoh al-Ikhwan, Dr Yusof al-Qardhawi dan Dr. Muhamad al-Bahi. Malah TG Hj Abdul Hadi sendiri pernah mengatakan bahawa sebagai manusia, pandangan syed qutb ada kelemahannya. Kelemahan ini nyata dalam bukunya Maalim Fit tariq, di mana beliau cuma membahagikan jenis negara kepada dua buah sahaja; negara Islam dan negara harbi. Padahal terdapat tiga jenis negara, iaitu negara Islam, negara harbi dan negara ahd. (Lihat Pemikiran Islam di Msia, Abdul Rahman Hj Abdullah, DBP, hal. 365) Untuk rujukan lanjut mengenai masalah ini, sila rujuk buku Pemikiran Islam di Msia, oleh Abdul Rahman Hj Abdullah, DBP.

 

————–  

5. Islam kiri (al-Yasar al-Islami)

Tokoh terkemuka dari Islam kiri ialah Hasan Hanafi. Islam kiri mendakwa mereka adalah suara kaum tertindas.

Antara intipati ajaran aliran ini ialah:

- Mereka mengatakan bahawa tidak perlu lagi umat Islam ini disibukkan dengan mencari hujah tentang keesaan Allah. Kerana, ajaran syirik (fahaman yg mengatakan Tuhan banyak) telah dengan sendirinya runtuh. Sekarang ini apa yg perlu diperjuangkan ialah umat itu sendiri. Mereka perlu dibebaskan dari kemiskinan, kebodohan, penindasan dan penjajahan.

- Islam kiri selari dengan Muktazilah yang menghadirkan revolusi akal, dunia, alam dan kebebasan manusia.

- Mereka beranggapan bahawa golongan Asyairah yang selama ini dipegang oleh majoriti kaum muslimin sebagai penyebab kepada kemunduran umat Islam selama 9 abad. Aliran Asyairah menyebabkan pemikiran agama berat sebelah. – Islam kiri menolak sufisme malah memandangnya sebagai musuh. Pada anggapan mereka salah satu dari penyebab kemunduran umat Islam adalah pemujaan kaum sufi.

- Dalam ilmu hadis, prioriti yg mereka gunakan ialah kritik matan daripada sanad. Islam kiri menentang peradaban barat dan berusaha menggantikannya.

- Islam kiri berusaha mengembalikan kualiti umat dengan

i. Mewujudkan keadilan sosial,

ii. Membangunkan masyarakat bebas dan demokratis,

iii. Membebaskan palestin dan mengusir kolonialisme dari dunia Islam,

iv. Membangun kesatuan Islam yang menyeluruh,

v. merumuskan tindakan nasional dari pengaruh super power,

vi. Mendukung revolusi kaum tertindas. Revolusi mereka adalah revolusi Islam.

- Mereka mengatakan bahawa para nabi adalah para revolusioner. Revolusi tauhid dibawa oleh Nabi Ibrahim. Revolusi roh oleh nabi Isa. Revolusi orang miskin dan orang-orang malang dibawa oleh nabi Muhamad s.a.w. Untuk penjelasan lanjut mengenai pemikiran Islam kiri Hasan Hanafi, sila rujuk bukunya: al-Yasar al-Islami kitabat al-nahdha al-islamiyah.

 

———

Apa yang menarik mengenai Islam kiri ialah apa yang dikatakan oleh Hasan Hanafi “Islam kiri menyepakati lima prinsip Muktazilah (usul al-khamsah). Dan berusaha menghidupkan kembali prinsip muktazilah setelah ia tenggelam pada abad 5 hijrah, semenjak al-Ghazali menyerang ilmu-ilmu rasional dan dominasi tasauf yang berganding dengan aliran Asyairah hingga masa gerakan reformasi Islam.” Katanya lagi: “Kita mendokong muktazilah kerana kita mengembangkan rasionalisme, kebebasan, demokrasi dan eksplorasi alam.”

Lagi katanya: “Untuk pengembangan rasionalisme Islam, kita mengkaji seluruh pemikiran alternatif sebagaimana pernah kita lakukan dahulu pada zaman keemasan, abad iv Hijrah. Sehingga Asyarisme tidak lagi membelenggu kita selama sembilan abad, bahkan hingga kini. Seolah-olah Asyarisme menjadi satu-satunya pemikiran keagamaan dalam tradisi kita. Padahal, terhentinya pemikiran yang menyelimuti kita semenjak abad ke 7 merupakan tanggungjawab dari dominasi pemikiran Asyairah, kerana ia berubah menjadi ideologi politik. Keluar dari asyairah bererti kafir dan pengkhianat.” Kazuo Shimogaki telah melakukan telaah secara kritis mengenai aliran pemikiran Hasan Hanafi ini. (Lihat Kiri Islam, Kazuo Shimogaki, LKis)

Tentang serangan Hasan Hanafi ke atas al-Ghazali yang dikatakan telah menyerang ilmu-ilmu rasional, Kazuo Shimogaki mengatakan bahwa yang diserang oleh al-Ghazali bukanlah ilmu-ilmu rasional tetapi orang-orang yang menyalahgunakan kajian ilmu-ilmu rasional. Dalam masalah ini beliau menganggap Hasan Hanafi tidak menyiasat betul-betul tentang latar belakang sejarah. Kata Kazuo Shimogaki lagi, tuduhan hasan hanafi yang mengatakan bahawa asyairah sebagai anti rasionalisme, ini adalah tidak benar. Kerana asyairah bukanlah anti rasional tetapi mengetengahkan ketidaksempurnaan akal dan adanya pengetahuan ghaib.

Sekian, semoga bermanfaat

zain y.s (al-ahkam.net)

 Sumber: http://al-ahkam.net/home/index.php?option=com_content&view=article&id=1339:mengenali-pelbagai-aliran-pemikiran-islam&catid=56:idea

Imam syafi’i tolak ketaksuban

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.

Beliau berketurunan Rasulullah saw. Nasabnya bertemu dengan Nabi saw. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi saw, namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam. (Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, 2/312). Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya’ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)

Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, 10/71-72). Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi: “Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka…”( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’ , 10/95). Kata Muhammad Abu Zahrah: “Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).

Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa’ (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi saw, mereka menjawab dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik…” Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah, www.qudsway.com/Links/ Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.

Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana. Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah saw menziarahi al-Imam al-Syafi’i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini?!

Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan: “Aku lihat dalam mimpiku Nabi saw dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini – seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43). Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.

Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditanggap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut: “Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nabala, 10/9).

Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi saw bersabda: “Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta” (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/420). Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.

Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan. Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”. Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

  • Comments Off
  • Filed under: 5. Blog
  • Sumbangan boleh diwakilkan kepada:

    Badan Penggerak Khas Tabung Kirovsky

    MOHAMAD AIZZAT B. MAT GHANI Account No (MAYBANK): 162218469566
    Email : musliminvolgograd@gmail.com Alamat di Malaysia : W2/494 JALAN MERANTI 17000 PASIR MAS KELANTAN No telefon : 0199079217 (MALAYSIA), +79377230158 (RUSSIA)


    *Pelajar Volgograd boleh menyampaikan sumbangan anda kepada ketua kumpulan, naqib dan naqibah masing-masing

    2nd Kirovsky Week – Kirovsky A Reality

    Recent Comments

    • , matpih, October 6, 2011 : alhamdulillah
    • , admin, June 2, 2011 : tafadahhal..insyaAllah demi kebaikan bersama
    • , Nur Muhd Ammar, June 2, 2011 : minta izin share post ini, insya’Allah demi kebaikan...
    • , Zubair Ahmed Allapur, April 27, 2011 : Alhamdulillah it was a fine experince going through, by...