Muslims In Volgograd

Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality

Archive for February, 2010

Wahabi: Meluruskan Salah Faham

Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah ( hafizf )
Sumber: http://hafizfirdaus.com

“Wahabi” bukan sahaja salah dari sudut gelaran, ia juga salah dari sudut beberapa tuduhan dan salah faham yang disandarkan kepadanya. Berikut dikemukakan beberapa salah faham tentang gerakan atau fahaman Wahabi, diikuti dengan penjelasan bagi meluruskannya.

Salah Faham Pertama: Wahabi Dan Kuasa Barat.

Salah faham pertama yang akan diluruskan ialah dakwaan bahawa gerakan Wahabi dimulai dan disokong oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Inggeris. Bagi meluruskan salah faham ini, saya merujuk kepada sumber sejarah kuasa-kuasa Barat itu sendiri kerana ia adalah “sumber dalaman” yang lebih tepat bagi menggambarkan apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa tersebut pada zaman itu.

Pertama, kuasa Inggeris memang wujud pada zaman itu, tetapi peranannya hanya bersifat komersil, iaitu menjaga keselamatan perairan teluk bagi laluan kapal-kapal perdagangannya dari India yang merupakan tanah jajahannya saat itu. [Sarah Searight – The British In The Middle East, dikemukakan oleh Jalal Abu al-Rub – Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab (Madinah Publishers & Distributors, Florida, 2003), ms. 76-77] Pihak Inggeris atau mana-mana kuasa Barat ketika itu tidak berminat untuk membantu mengembalikan umat Islam kepada agamanya yang tulen.

Kedua: Bukan sekadar tidak minat membantu, kuasa-kuasa Barat sebenarnya amat membenci gerakan Wahabi kerana ia sebenarnya membangkitkan umat Islam. Seorang ahli sejarah Perancis, Almosio Sidio, menulis:

“Apabila Inggeris dan Perancis mengetahui kesepakatan yang tercapai antara Muhammad bin Abdul Wahhab dan Muhammad ibn Sa’ud untuk mentajdidkan agama (Islam) dan ramai masyarakat Arab yang mengikutinya, mereka bimbang ini akan membangkitkan umat Islam dari kelekaan yang menyelubungi umat saat itu. Justeru mereka (Inggeris dan Perancis) bimbang Islam akan kembali kuat sebagaimana pada zaman Umar bin al-Khaththab.

Mereka khuatir peperangan atas nama agama akan kembali hidup, memberikan kemenangan kepada Islam dan kekalahan kepada kuasa-kuasa Eropah. Atas dasar inilah Inggeris dan Perancis meminta khilafah Turki Uthmaniyah untuk memerangi gerakan yang disebut-sebut sebagai “Wahabi” itu dan pihak khilafah telah mewakilkan urusan ini kepada gabenor Mesir, Muhammad Ali Pasha.” [The General History of The Arabs; dinukil dari Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab, ms. 78]

Salah Faham Kedua: Wahabi dan Khilafah Islam

Masyhur dikatakan, gerakan Wahabi bertanggungjawab menjatuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah. Salah faham ini dapat dijawab dari dua sudut. Pertama, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak pernah menentang khilafah Turki Uthmaniyyah. Sikap beliau dalam persoalan ini adalah sebagaimana yang ditulisnya sendiri:

“Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan pemimpin yang shalih mahu pun yang buruk akhlaknya. Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara kemaksiatan terhadap Allah. Ketaatan ini ditujukan terhadap sesiapa sahaja yang dilantik sebagai khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang ramai yang meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia memperolehi kekuasaan khalifah melalui jalan paksaan, tetap menjadi suatu kewajipan mentaatinya dan dilarang melakukan penentangan terhadapnya. [Majmu’ah Muallafat al-Syaikh, Jil. 5, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab oleh Abdul Aziz bin Muhammad al-Abd. Al-Lathif (Jahabersa, Johor Bahru, 2008), buku 3, ms. 159]

Kedua, sama ada wujud atau tidak gerakan Wahabi, khilafah Turki Uthmaniyyah pada zaman itu memang memiliki pelbagai kelemahan dan masalah, dalaman dan luaran. Sesiapa yang mengkaji sumber-sumber sejarah yang adil lagi jujur berkenaan kedudukan khilafah saat itu akan mengetahui ia dalam keadaan sedang jatuh dan akan jatuh.

Cuba fikirkan, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Lebih-lebih lagi Semenanjung Arab ketika itu lebih bersifat “No man’s land” di mana ia hanya dikuasai oleh kabilah-kabilah kecil secara berselerakan. Shalih Abud mengulas:

“Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti khilafah Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun sebuah batalion atau markaz ketenteraan khilafah Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab).

Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada dokumen khilafah Turki Uthmaniyyah yang direkodkan oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M) bertajuk “Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al-Diwan” ternyata khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 buah negeri atau wilayah. 14 daripadanya merupakan negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak termasuk di dalamnya.” [‘Aqidah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab wa Atharuha fi al-‘Alam al-Islami, Jil. 1, hlm. 27; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]

Abdullah al-Utsaimin menambah: “Negeri Najd tidak pernah berada di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab). Selain itu, ia juga tidak pernah disatukan di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka masa yang lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari wilayahnya berada di bawah penguasaan Bani Jabr atau pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan yang silih berganti antara wilayah mahu pun kabilah negeri Najd yang terdiri dari pelbagai jenis puak sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.” [Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Hayatuhu wa Fikruhu, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]

Sekali lagi saya bertanya kepada para pembaca yang budiman sekalian, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Diingatkan bahawa sekalipun kuasa-kuasa Barat wujud di kawasan itu atas tujuan komersil, tidak dapat dinafikan bahawa mereka juga tentu memiliki hasrat untuk mengambil alih kota Mekah dan Madinah.

Nah! Dengan kewujudan gerakan Wahabi yang dapat menyatukan umat Islam Semenanjung Arab, kedua-dua bandar suci itu tetap berada di tangan umat Islam. Jika tidak, nescaya Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah akan menerima nasib yang sama seperti Masjid al-Aqsa di Palestin. Fikir-fikirkanlah!

Salah Faham Ketiga: Wahabi dan Peperangan.

Beberapa orang pernah menyatakan kepada saya bahawa syaikh mereka memiliki bukti yang lengkap dengan sanad bahawa gerakan Wahabi melakukan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Arab semata-mata untuk mengembangkan ajaran mereka.

Tuduhan ini tidak perlu diberi perhatian kerana sanad tersebut, jika ia benar wujud, tidak memiliki apa-apa nilai. Ini kerana orang-orang yang duduk dalam rantaian sanad tersebut, biografi mereka tidak tercatit dalam mana-mana kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Sekadar mengetahui nama dan status mereka sebagai “orang agamawan” adalah tidak memadai. Dalam ilmu hadis, mereka termasuk dalam kategori para perawi yang majhul, maka dengan itu sanad tersebut adalah dha’if. Sanad sebegini tidak boleh dijadikan hujah dalam membuat tuduhan atau menjadi bukti dalam kes jenayah.

Adapun peperangan yang berlaku di Semenanjung Arab, kedua-dua sumber sejarah ada mencatitkannya. Sumber yang berpihak kepada dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh golongan yang tidak setuju dengan gerakan beliau. Sumber yang berpihak kepada golongan yang tidak setuju dengan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh gerakan beliau. Siapakah yang benar dan sebesar manakah skala peperangan itu – tiada siapa yang mengetahuinya. Apa yang pasti, tidak wujud kesan-kesan peninggalan sejarah yang dapat dijadikan bukti adanya peperangan yang diceritakan dalam kitab-kitab sejarah itu. Berbeza dengan peperangan yang belaku di belahan dunia yang lain, ia dapat dibuktikan melalui kesan-kesan peninggalan sejarah.

Salah Faham Keempat: Wahabi dan Tuhan.

Fahaman Wahabi sering dikaitkan dengan kepercayaan kononnya Tuhan memiliki jasmani dan anggota. Ini berlaku kerana fahaman Wahabi yang enggan mentakwilkan sifat-sifat Allah seperti muka, tangan dan kaki yang tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini jelas adalah satu salah faham kerana fahaman Wahabi beriman kepada sifat-sifat Allah serta memahami maksudnya manakala bentuk atau tatacara sifat itu diserahkan kepada Allah, tanpa sebarang penyerupaan dengan mana-mana sifat makhluk-Nya.

Ini adalah juga fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Tirmizi (279H): “Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (thabit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Manakala golongan al-Jahmiyyah, mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran ahli ilmu. Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.

Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.

Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]” [Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir dan rakan-rakan; Dar al-Hadith, Kaherah 1999), jld. 3, ms. 33.]

Salah Faham Keempat: Wahabi dan Mazhab.

Fahaman Wahabi kononnya dianggap tidak mengikuti mana-mana mazhab fiqh yang empat. Sekali lagi ini adalah satu salah faham. Orang yang dituduh sebagai Wahabi, mereka masih mengikuti mazhab di tempat masing-masing. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil, apabila didapati hujah mazhab lain adalah lebih kuat kerana lebih mendekati dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka pendapat mazhab tersebut diikuti dalam persoalan tersebut.

Oleh itu orang yang dituduh sebagai Wahabi di Malaysia masih mengikuti Mazhab al-Syafi’e, orang yang dituduh sebagai Wahabi di India-Pakistan masih mengikuti Mazhab Hanafi, orang yang dituduh sebagai Wahabi di Timur Tengah masih mengikuti Mazhab Hanbali dan orang yang dituduh sebagai Wahabi di Afrika Utara masih mengikuti Mazhab Maliki. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil mereka mengikut mazhab yang lain kerana faktor kekuatan dalil dan hujah.

Ini sebenarnya adalah sikap yang benar sebagaimana yang diterangkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H): “Berdasarkan keterangan-keterangan para imam mazhab, adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah s.a.w. atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka.

Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah. Oleh kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi Rasulullah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.

Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w. yang sahih.” [Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil dari Sifat Solat al-Nabi oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1996), ms. 54-55]

Salah Faham Kelima: Wahabi dan Kekerasan.

Wahabi sering dihubungkan dengan kekerasan. Benarkah demikian? Realitinya, pihak yang menuduh itulah yang sebenarnya bersikap keras. Di sana sini mereka menuduh sekian-sekian individu dan kumpulan sebagai Wahabi yang menyesatkan. Adakalanya tuduhan ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal, seperti mengharamkan penerbitan, menghalang kuliah-kuliah agama dan menangkap para tokoh yang mereka tuduh sebagai Wahabi. Tindakan-tindakan tersebut berlaku tanpa tersembunyi sehingga diketahui dalam media-media perdana.

Adapun di kalangan orang yang dituduh sebagai Wahabi, mungkin ada yang bersikap keras. Namun perlu juga ditinjau dari sudut yang lain, kerana istilah “keras” itu sendiri boleh bersifat relatif. Keberanian, ketegasan, kesungguhan adalah sifat yang terpuji yang boleh ditafsirkan sebagai “kekerasan” oleh pihak yang sukar menerima kenyataan. Demikian juga, menyatakan yang haq di atas yang batil boleh juga ditafsirkan sebagai kekerasan oleh pihak yang sekian lama telah selesa dengan kebatilan tersebut.

Oleh itu kekerasan boleh disandarkan kepada salah satu dari dua pihak, yang dituduh atau yang menuduh.

Sumber: http://al-fikrah.net/News/article/sid=284.html

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Berdakwah perlu secara sederhana, tidak terlalu berlebihan atau ambil mudah

PROVOKASI ternyata gagal membakar kemarahan rakyat Malaysia yang semakin matang berfikir dan bertindak. Kes penemuan kepala babi di masjid dan pembakaran beberapa gereja oleh individu yang mahu menangguk di air keruh dihadapi dengan cukup berwaspada.

Tidak seperti di sesetengah negara Islam yang amat mudah dirangsang bara permusuhan antara etnik dan agama, rakyat Malaysia cukup rasional. Mereka amat menjaga sensitiviti saudara sebangsa serta menghormati kepercayaan agama lain. Inilah kekuatan umat Islam yang sememangnya dituntut agama kita.

Setelah membina kekuatan besar di Madinah, Rasulullah pernah ditegah memasuki Makkah untuk menunaikan umrah oleh orang kafir. Pada hal ketika itu Madinah muncul menjadi negara Islam yang semakin kuat.

Bagaimanapun, Rasulullah akur dengan keputusan perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai bersama kafir Quraisy. Sehinggakan sahabat tidak berpuas hati dan mahu menyerang Makkah yang sudah lemah itu.

Walaupun umat Islam ketika itu majoriti terbesar dan semakin kuat, Rasulullah tidak sewenang-wenang menyerang. Jika mereka mengajak berdamai, baginda menyambut ajakan mereka. Di sini kita melihat dakwah baginda yang cukup diplomatik.

Ini sesuai dengan tuntutan wahyu yang bermaksud: “Wahai orang beriman hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” ? Surah al-Maidah: 8

Rasulullah juga melarang sahabat menyerang kafilah Quraisy yang lalu di kawasan mereka di luar kota Makkah kerana tindakan itu tidak mencerminkan akhlak Islam yang adil dan jujur berpegang pada perjanjian damai walaupun kepada kaum minoriti.

Menjadi majoriti tidaklah menghalalkan umat Islam berlaku zalim bahkan Umar pernah berpesan kepada pemimpin Islam pada masa beliau bertakhta sebagai khalifah: “Aku mengutus kamu semua bukan untuk menumpahkan darah manusia tetapi untuk mengajarkan agama kepada mereka.”

Pendekatan dakwah Islam bercirikan wasyatiyah. Ia terbukti mampu memberi pulangan baik kepada umat Islam. Wasyatiyah diberi makna oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya Al-Khashaishul Ammah Li Al-Islam sebagai keseimbangan di antara dua jalan yang saling bertentangan.

Islam adalah sistem ciptaan Allah yang tidak mungkin bersifat kekurangan atau berlebihan. Ia adalah sistem yang seimbang dan adil bagi seluruh umat manusia seperti firman Allah bermaksud: “Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” ? Surah al-Baqarah: 143

Berbeza sistem diciptakan manusia sebagai jalan hidup dan panduan yang tidak mungkin terlepas daripada kekurangan bahkan berlebihan. Hal ini dapat dibuktikan melalui rentangan sejarah dan realiti masa kini.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menambahkan: “Jika pada kurun ke-19 komunis bertakhta, abad 20 pula kapitalis bermaharajalela, Insya-Allah abad 21 adalah milik Islam.”

Tamadun dan sistem serta fahaman manusia silih berganti. Umat Islam diharapkan mengambil peranan aktif di arena antarabangsa merebut peluang kecemerlangan dalam segala bidang.

Hal ini tidak akan mampu digalas tanpa memakai pakaian Islam yang sederhana, wasyatiyah, adil dan seimbang. Apa akan jadi jika umat Islam berkurangan dalam mengamalkan ajaran agamanya?

Ramai yang buta Islam kerana tidak faham syariat Allah bahkan mempersendakan hukum Allah. Ini kerana mereka terikut fahaman Barat yang percaya kepada akal saja bahkan dalil sahih pun mereka tolak kerana tidak selari dengan akal fikiran moden mereka.

Lalu ditafsirkan al-Quran mengikut kemahuan akal mereka. Ditinggalkan ulama muktabar bahkan dipersoalkan hadis Rasulullah kerana kononnya tidak sesuai dengan tuntutan zaman. Muncul sarjana berani menyuarakan pandangan kontroversi seumpama Dr Siti Musdah Mulia seorang pensyarah Pemikiran Politik Islam di School of Graduates Studies, Universiti Islam Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Beliau juga seorang Profesor Penyelidik di Institut Sains Indonesia yang mendapat pengiktirafan Barat kerana menyokong gay dan lesbian, dengan kenyataannya memeranjatkan: “Homoseksual adalah perkara semula jadi dan ia diciptakan Tuhan. Oleh itu ia dibolehkan agama.”

Ada juga golongan terlalu berlebihan bertindak mengikut hawa nafsu. Panduan wahyu dan ajaran sunnah Rasulullah dianggap tidak cukup hebat bagi mereka. Sehingga ada yang beribadah melebihi ibadah Rasulullah, memberatkan agama yang sememangnya mudah.

Golongan yang berlebihan dalam mempercayai kuasa ghaib yang kononnya dimiliki orang tertentu pula tenggelam dalam alam khurafat dan syirik. Mereka tersasar dalam mengambil ilmu di luar jangkauan al-Quran dan hadis Rasulullah.

Ada pula menjalankan hukum melebihi ketentuan Allah sehingga menakutkan umat. Memberi imej keras dan kaku mengenai Islam seakan-akan menjajakan perkara haram saja. Mengenai isu toleransi antara umat beragama, mereka dengan mudah menjatuhkan kafir ke atas orang Islam yang mahu berdiplomasi dengan orang kafir.

Pada hal, Rasulullah sentiasa menjaga hak kafir zimmi. Golongan yang keras dan berlebihan ini akan sentiasa muncul menjejaskan imej Islam di mata dunia. Pengganas antarabangsa yang melakukan kerja bom bunuh diri sentiasa merekrut pengikut yang mudah dipengaruhi dengan fahaman kononnya menurut mereka daripada sumber Islam.

Pada hal, mereka menyelewengkan ajaran agama demi kepentingan dan maksud peribadi. Alangkah malang Islam jika umatnya berada pada dua paksi yang berlawanan, satu berlebihan dan satu lagi berkurangan dalam menjalankan ajaran agama.

Kembalikan kegemilangan Islam dengan sikap wasyatiyah. Berada pada pertengahan, seimbang dan adil. Mengambil Islam daripada sumber asal bukan berat ke kanan atau ke kiri tetapi di pertengahan. Allah ciptakan Islam sebagai sistem yang kukuh, kenapa kita berasa terlebih pandai dari ilmu-Nya?

Penulis ialah Mufti Perlis kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20100209000852/Article/index_html

Siapa ilmuan Islam?Ilmuan Islam atau ulama adalah orang-orang yang berilmu, secara khususnya ilmu berkenaan Islam. Ilmuan Islam atau ulama adalah pewaris Nabi. Ini bererti mereka bukan sahaja golongan manusia yang mempunyai ilmu agama dan mengajar ilmu tersebut kepada orang ramai, tetapi perlu memiliki ciri-ciri tertentu bagi melayakkannya dirinya menjadi pewaris para Nabi. Ciri utama yang perlu ada pada diri seorang ulama adalah ketaqwaan. Inilah yang membezakan antara ilmuan islam atau ulama dan seorang orientalis yang mengkaji kerana kedua-duanya memiliki ilmu dalam bidang agama. Firman Allah s.w.t.: “Hanya semata-mata yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya ialah Ulama.” (Al-Fathir: 28) Ciri kedua seorang ilmuan Islam atau ulama ialah beliau mestilah mempunyai ilmu yang mendalam tentang Islam dan pengetahuan umum dalam cabang-cabang ilmu yang lain. Hanya dengan ilmulah seseorang boleh memimpin ummah dan dengannya mereka mendampingi masyarakat. Apabila dikatakan ilmuan Islam sebagai pewaris Nabi, maka ilmu yang ditinggalkan para Nabi dan Rasul, iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah, harus menjadi teras dalam kehidupannya. Ini amat penting kerana seorang ulama mestilah boleh berijtihad dalam hal-hal yang berkaitan kehidupan seharian manusia. Ciri ketiga ulama adalah menyampaikan da’wah Islam. Bersesuaian sebagai waris Nabi, peranan ulama adalah menyampaikan ajaran Islam sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. bukannya mengasingkan diri di pejabat-pejabat, di tempat-tempat mereka bertugas atau dimihrab. Dari sudut keutamaan di sisi Allah s.w.t., seorang yang terjun berjihad di tengah-tengah masyarakat untuk berda’wah dan berhadapan dengan ancaman dan kecaman, lebih mulia berbanding seorang ahli sufi yang menyendiri. Abdullah bin Mubarak telah menegur sahabatnya Fudhayl bin Iyadh yang banyak menghabiskan masanya beribadat di Masjid Haram dan Masjid Nabawi. Imam Hassan al-Banna menegaskan mereka yang berjihad lebih sufi daripada ahli sufi kerana mujahadahnya lebih. Kiyai Haji Irfan Zidni (salah seorang pimpinan Nahdatul Ulama Indonesia) menyatakan bahawa jika ulama hanya bertahan di institusi pengajian tinggi untuk mengajar ilmu tetapi tidak memimpin umat, maka beliau belum boleh digolongkan sebagai ulama pewaris Nabi. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Perumpamaan para ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang tersebut mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk.”(Hadith iwayat Imam Ahmad). Ciri terakhir seorang ulama adalah dia mesti berani mempertahankan yang benar, amar ma’aruf dan nahi munkar. Ciri terakhir inilah yang membezakan ulama sebenar daripada ulama as-su’ atau ulama jahat, seperti yang dicatat oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin
Di dalam masyarakat Islam, peranan ilmuan adalah luas dan mereka merupakan orang yang bertanggungjawab dalam membawa sesebuah masyarakat Islam dan negara ke destinasi yang diredhai oleh Allah dalam usaha membangunkan tamadun Islam. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang mengandungi pengertian bahawa ulama’ itu adalah orang-orang yang mengetahui darihal agama. Di antara ayat-ayat yang dimaksudkan itu ialah:
“Maka hendaklah kamu bertanya ahli dhikr (ahli-ahli kitab yang terdahulu) sekiranya kamu tidak tahu”
(Surah an-Nahl: 43)

“Dan contoh-contoh itu Kami (Allah) bawakan kepada manusia dan tidak (ada orang yang) mengetahuinya melainkan orang-orang alim”
(Surah al-Ankabut: 43)
” Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang-orang yang tahu dan tidak tahu? Demi sesungguhnya orang-orang yang (sentiasa) ingat (kepada Allah) ialah orang yang mempunyai akal (berilmu)”
(Surah az-Sumar: 9)
Kekeliruan ummah dalam perpecahan umat Islam akan terus berlaku dan bertambah tenat sekiranya para ilmuan Islam gagal memainkan peranannya. Ulama’ disamping ikhlas, amanah dan berani demi kebenaran. Perlu juga pro aktif dalam menghadapi dan menanggani perkembangan semasa umat yang kadangkala begitu mencabar keimanan seseorang Islam. Tugas seorang ulama’ adalah menyebarkan ilmu agama kepada seluruh umat dan memberitahu apakah fungsi sebenar ulama’ mengikut ajaran Islam. Sekaligus menjadi agen pengerak masyarakat sepenuh masa bukannya pegawai atau eksekutif yang membataskan dirinya dengan waktu pejabat sahaja.
Bijak pandai agama bertanggungjawab memberikan gambaran gambaran sebenar Islam yang syumul,progresif dan dinamik, syumul. Menggabungkan kebahagiaan dunia dan akhirat. Ulama’ dan cendekiawan Islam mestilah bangun menyedarkan seluruh umat Islam akan tanggungjawab dan peranan mereka di muka bumi ini.
Ianya merupakan satu kefarduan berdasar nas-nas al-Qur`an dan hadith. Antaranya:Katakanlah(Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak(kamu) kepada Allah dengan yakin, Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik”[Yusuf:108].
Imam al-Tabari dalam mentafsirkan ayat ini menyebut:Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.Mereka menyuruh(berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya.Mereka akan diberi rahmat oleh Allah.Sungguh, Allah Mahaperkasa, Mahabijaksana:[At-Taubah:71]

Ayat ini menunjukkan yang berdakwah itu wajib ke atas setiap Muslim tanpa mengira jantina kerana ia termasuk dalam menyuruh ma`ruf mencegah mungkar.

Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi(ke medan perang).Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya[At-Taubah:122]
Ibubapa Muslim telah berusaha menghantar anak-anak mereka untuk mengutip ilmu ke pelbagai institusi pendidikan Islam, yang nantinya apabila selesai, mereka akan bertanggungjawab melaksanakan tugas inzar yang disebut dalam ayat di atas. dan berapa ramai yang telah bergelar siswazah dan mempunyai pendapatan tetap. Apakah mereka telah melaksanakan tanggungjawab tersebut? Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh(berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar.Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.[Ali ‘Imran:104]
Tanpa mengabaikan pandangan ulama dan para muffasir terhadap perkataan (
man) yang tersebut dalam ayat di atas. Namun perbedaannya terbatas dalam menentukan status kefardhuannya sahaja samada fardhu `ain atau fardhu kifayah. Apapun ia tetap merupakan satu tuntutan berdasarkan kemampuan masing-masing.
Antara dalil dari hadith Nabi (s.a.w.) yang menjelaskan yang ianya merupakan kewajipan adalah dorongan Nabi (s.a.w.) supaya melakukan (4M).

menyuruh ma`ruf mencegah munkar merupakan penyelamat umat dari azab Allah. Masyarakat yang telah diumpamakan dengan sebuah kapal oleh Rasulullah (s.a.w.).

Kebinasaan tetap menimpa walaupun ada orang yang baik-baik berdasarkan Hadith Zainab.

Namun al-Qur`an menjelaskan kewujudan para muslih akan dapat menghindari kemusnahan itu. Firman Allah:Dan Tuhanmu tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, selama penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan:[Hud:117]
Dakwah adalah nasihat dan nasihat adalah agama itu sendiri.

CIRI-CIRI SERTA PERANAN ILMUAN ISLAM:1. Mereka melaksanakana satu tugas yang paling mulia iaitu mengajak manusia kejalan Allah.

[Fussilat:33]
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam” (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

2. Pemegang amanah Allah dan RasulNya.

”Ulama’ itu pewaris sekelian para Nabi” (H.R Ibnu Nadjar dari Anas r.a. Hassan)

Ternyata tugasnya bukan mudah, ringan dan senang. Namun dengan ilmu yang diperolehi dari Allah akan sedikit sebanyak membantu ilmuan Islam itu meunaikan kewajipan dan melaksanakan amanat itu kepada yang berhak menerimanya. Kalau ia dikira khianat. Bapak Muhammad Natsir, Tokoh Islam Indonesia yang terkenal menyatakan yang ulama’ adalah tempat umat menaruh kepercayaan.3. Mejadi ikutan masayarakat dalam pengamalan dan penghayatan Islam.
Ini memerlukan kefahaman yang jelas dan memiliki citra yang penuh wibawa. Mereka juga dekat dengan masyarakat dan senang didekati oleh mereka. 4. Ilmuan Islam adalah kombinasi ulama dan da`ie sekaligus.

Dalam sejarah perkembangan Islam tidak pernah dikenali pemissahan diantara keduanya. Para sahabat r.a bukan sekadar alim tetapi juga merupakan dai’ yang mengajak manusia kejalan Allah s.w.t.

PROSES MEMPERKASAKAN ILMUAN ISLAM.Sheikh Said Hawwa telah menggariskan langkah-langkah kearah pemerkasaan ilmuan daii ini. Iaitu:i) Megeluarkan golongan Pendakwah dan Ulama’ daripada akhlaq-akhlaq masyarakatnya dan daripada lingkungannya yang jelek kepada akhlaq mukmin yang sejati. Sehingga mereka menjadi contoh teladan yang murni dalam masyarakat.ii) Melatih mereka untuk bertanggungjawab dengan kata-katanya kerana setiap kata-kata mereka adalah bernilai dan membina. Mampu pula merubah masyarakat dengan kata-kata tersebut .iii) Mentarbiyyah mereka dengan didikan yang sesuai dengan matlamatnya, serta memberi pengetahuan dengan matlamat yang hendak dicapainya.iv) Membina watak mereka itu sehingga ia mampu mengambil (membuat) keputusan yang bijaksana.v) Melatih mereka supaya tunduk kepada keputusan syura walaupun bercanggah dengan pendapat mereka sendiri. Melibatkan mereka dengan Jamaah Islam adalah sebahagian daripada kaedah dalam perjuangan Islam yang sebenar.vi) Melatih mereka supaya boleh berbincang dengan bijak serta mengajar mereka bagaimana membentangkan pendapat dan berhujah.vii) Mengajar mereka bagaimana mengambil pengajaran daripada kritikan-kritikan dan menukarkannya menjadi cadangan-cadangan yang membina.viii) Menjelaskan kepada mereka perbezaan di antara pemikiran yang membina dan pemikiran yang meruntuhkan, kerana betapa mudahnya meruntuhkan dan sukarnya membina.ix) Mengajar mereka bagimana untuk memajukan yang sedia ada, mewujudkan dan tidak ada, serta memperingatkannya bahawa mudahnya meruntuhkan yang sedia ada dan sukarnya membina yang tiada.x) Melatih mereka bagaimana mengambil pengajaran daripada sesuatu yang berada di sekitarnya untuk sampai kepada matlamat pembinaannyaIni merupakan proses yang berterusan dan tiada perhentiannya. Sepanjang sejarah perjuangan Islam, ilmuan sentiasa menjadi sumber dinamika dan daya juang yang kental.

Di rantau ini ilmuan Islam telah berjaya menjadikan Islam sebagai teras keperibadian Melayu itu, sehingga adat Melayu pula pada asasnya telah juga mengalami tranformasi keislaman, dengan itu tanpa Islam Melayu kehilangan segalanya termasuk keperibadiannya. Tranformasi ini berjaya kerana kegigihan dan penglibatan mereka dalam masyarakat. Jangan nanti kerana kegagalam ilmuan dan ulama Islam, orang melayu akan kembali kepada keperibadian dan wajah lampau mereka.

Dalam kontek Kelantan hari ini, menjadi tanggungjawab besar para ilmuan Islam untuk mempertahankan tapak Islam yang dibangunkan hasil dari mandat yang diberikan oleh sebahagian besar umat Islam di negeri ini. Kegagalan untuk berbuat demikian mengundang risiko yang amat besar terhadap masa depan umat Islam.

Kesimpulan:

Ternyata peranan para ilmuan Islam dalam pembangunan insan sangat penting. Kegagalan para ilmuan memainkan peranan yang sepatutnya ia mengundang fenomena yang negatif dan memberi kesan yang tidak baik kepada masa depan Islam itu sendiri.

Sumber: http://drfauzee.blogspot.com/2010/01/peranan-ilmuan-dalam-pembangunan-umat.html

Oleh Dr Juanda Jaya

TEGANG dengan persaingan politik, isu perkauman dan sensitiviti agama, sedikit sebanyak mempengaruhi sikap umat Islam. Keadaan ini tentangan berat yang mesti dipikul pemimpin negara, ulama dan umat seluruhnya. Kita wajib bersyukur atas setiap kejadian yang tertulis sebagai takdir umat ini, setiap musibah mesti menghantar sebuah mesej penting daripada Allah SWT.

Selepas sibuk bertegang urat sedaya upaya menuntut nama Allah disucikan daripada sebarang kekotoran yang akhirnya melahirkan aksi ganas individu tidak bertanggungjawab di beberapa masjid dan gereja, ia menambah lagi sakit hati umat Islam dan Kristian di negara ini.

Seandainya kita boleh bersahabat dengan mereka tanpa diiringi ketakutan tidak berasas. Rasulullah SAW pernah bersahabat dengan seorang pemuda Yahudi, ketika pemuda itu sakit dengan penuh kasih sayang Baginda menziarahinya sehingga menimbulkan ikatan hati antara mereka yang melahirkan syahadah di penghujung hayat pemuda berkenaan.

“Sesungguhnya ada seorang anak Yahudi yang berkhidmat kepada Nabi SAW sakit lalu Bagidna menziarahinya sedangkan dia ketika itu dalam keadaan sakit menghadapi maut. Nabi SAW menyerunya kepada Islam, lalu ia melihat kepada bapanya yang berada di sebelah kepala lalu bapanya itu berkata: Taatilah Abul Qasim (Nabi SAW) lantas dia memeluk Islam kemudian meninggal dunia.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Abu Daud dan Imam Ahmad).

Memang tidak dinafikan wujudnya makar kuffar setiap zaman, mubaligh Kristian ada sedikit hasil di Indonesia, Filipina dan negara miskin di Afrika. Jaringan dakyah mereka direstui penjajah dulu hingga zaman moden kini. Namun, mereka hanya mampu menukar akidah dengan kesenangan hidup untuk orang miskin dan jahil yang pasti tidak akan berakar kuat sedangkan dakwah Islam semakin hari semakin menerjah negara maju dengan peningkatan semakin ketara selepas tragedi 11 September.

Hal ini terbukti dengan negara Eropah dan Amerika kian takut dengan virus yang mereka namakan Islamophobia. Takut terancam ialah sifat semula jadi manusia, namun umat Islam diharap mampu bertindak secara rasional tanpa mengetepikan bimbingan wahyu dan sunnah Nabi SAW dalam memandang setiap isu terutama usaha ejen yang mahu memurtadkan umat Islam. Kita dituntut bersikap adil dan berpegang pada bukti kukuh dalam berdepan isu murtad.

Adakah bukti mubaligh sudah bertapak di Malaysia dan berjaya memurtadkan orang Islam? Berapakah bilangannya dan apakah ia membabitkan bangsa Melayu atau saudara baru saja yang tidak terbimbing selama ini? Semua itu boleh dipersoalkan di jabatan agama Islam setiap negeri. Jika ternyata bukti itu amat membimbangkan, apakah mungkin pemimpin dan ulama tanpa mengira parti tidak mahu bertindak.

Namun, langkah pencegahan juga tidak sepatutnya dibekukan jika tiada bukti kukuh kerana khabar angin sudah cukup merisaukan kita dan wajib setiap individu meneliti langkah dakwah umat Islam sendiri sebelum meneliti dakyah penganut agama lain.

Dakwah Islam patut disusun dan dirancang dengan kemas melalui individu atau kelompok dan kumpulan dakwah tanpa menyibukkan diri dengan isu perpecahan sesama sendiri akibat pendekatan berbeza. Jika yang berqunut tidak cukup tenaga untuk berdakwah ke pedalaman Orang Asli, mengapa dipersoalkan isu tauliah kepada ulama yang tidak berqunut jika mahu berdakwah?

Umat ini sebenarnya kekurangan pendakwah seperti masyarakat sibuk mempersoalkan kurangnya tenaga doktor di hospital atau polis di kawasan perumahan mereka. Semua setuju bahawa pendakwah, doktor dan polis amat diperlukan untuk kesejahteraan masyarakat. Tanpa mereka takkan mungkin keamanan dan kedamaian wujud.

Oleh itu, setiap organisasi dakwah perlu mampu berperanan melebihi pendakyah yang benar-benar tangguh membela keyakinan mereka. Kekuatan merancang, mengatur kerja dan menyusun strategi menjadi faktor kejayaan kumpulan dakwah. Umat amat merindui pendakwah yang amanah, kasih dan sayang, jujur dan ikhlas tanpa menyimpan agenda peribadi.

Persaingan dengan pendakyah agama lain dalam medan sebenar perlu benar-benar dirasai umat Islam. Jangan hanya pandai berkata-kata tetapi tiada realitinya, di manakah pendakwah Islam saat umat dilanda buta al-Quran dan al-Sunnah dan ketika umat kelaparan lagi miskin akibat tidak tercapai sentuhan zakat? Di manakah anda ketika masjid sepi tanda umat yang lalai dan tandus ilmu?

Ke manakah hilangnya seruan persatuan, rahmatan lil alamin kepada umat yang jahil lagi taksub, fanatik tak kenal kompromi apatah lagi toleransi akibat kejahilan dan buta agama? Bahkan diapi-apikan lagi bahang permusuhan kepada agama lain, disebarkan cerita rekaan yang menakutkan mengenai strategi perang orang kafir sehingga menimbulkan syak wasangka, kebencian dan dendam.

Pada hal cerita itu tidak pun menggambarkan kenyataan sebenar kerana amat kekurangan dalil dan bukti kukuh yang menunjukkan kejahatan mereka secara langsung sebagai umat minoriti. Namun pada masa sama, golongan yang mendakwa sebagai khairu ummah ini hanya suka duduk bersembang di kedai mamak mereka cerita dan menabur fitnah. Jika dibiarkan seruan kebencian ini, boleh menimbulkan aksi ganas yang menggugat keselamatan negara seperti di negara lain yang menjadi mangsa berikutan tiada rasa toleransi sesama umat beragama.

Pada hal untuk mengelak daripada rusuhan kaum dan agama dalam masyarakat Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh kafir muahad (orang kafir yang membuat perjanjian damai dengan kerajaan Islam), dalam riwayat lain sesiapa yang membunuh ahli zimmah, ia tidak dapat mencium bauan syurga.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Ketika semakin ramai penduduk dunia memahami pentingnya menjaga keamanan bersama dengan mewujudkan sikap saling menghormati dan berlaku adil, takkan umat Islam di Malaysia baru hendak mencuba bermain api?

Amat malang lagi jika sarjana Islam dan pendakwahnya mudah termakan api fitnah. Umat ini memerlukan dai bermata jeli dan berhati kapas yang mampu memandang isu dengan bimbingan dalil sahih dan melembutkan setiap aksi dakwahnya supaya terusik jiwa umat yang mendengar seruannya.

Penulis ialah Mufti Perlis kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20100201230235/Article/index_html

Sumbangan boleh diwakilkan kepada:

Badan Penggerak Khas Tabung Kirovsky

MOHAMAD AIZZAT B. MAT GHANI Account No (MAYBANK): 162218469566
Email : musliminvolgograd@gmail.com Alamat di Malaysia : W2/494 JALAN MERANTI 17000 PASIR MAS KELANTAN No telefon : 0199079217 (MALAYSIA), +79377230158 (RUSSIA)


*Pelajar Volgograd boleh menyampaikan sumbangan anda kepada ketua kumpulan, naqib dan naqibah masing-masing

2nd Kirovsky Week – Kirovsky A Reality

Recent Comments

  • , matpih, October 6, 2011 : alhamdulillah
  • , admin, June 2, 2011 : tafadahhal..insyaAllah demi kebaikan bersama
  • , Nur Muhd Ammar, June 2, 2011 : minta izin share post ini, insya’Allah demi kebaikan...
  • , Zubair Ahmed Allapur, April 27, 2011 : Alhamdulillah it was a fine experince going through, by...