Kepentingan Ikhlas bagi Para Rabbani

March 16, 2010

Para Rabbani yg terdiri drp mereka yg aktif dlm pendidikan rohani dan yg berjalan kpd Allah tlh bersetuju, bahawa kepentingan ikhlas bg setiap amal utk bekalan akhirat dan bg setiap org yg meniti jln menuju Allah.

 

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata di dlm Muqaddimah kitab An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq, yg memakan seperempat bahagian dr kitab Al-Ihya’ :

 

“Dgn hujjah iman yg nyata dan cahaya al-Quran, mereka yg mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tdk akan tercapai kecuali dgn ilmu dan ibadah. Semua org pasti akan binasa kecuali mereka yg berilmu. Mereka yg berilmu pasti akan binasa kecuali yg aktif beramal. Semua org yg aktif beramal akan binasa kecuali mereka yg ikhlas.”

 

Jadi sebutan mereka yg ikhlas amat rentan. Amal tanpa niat adalah ketololan, niat tanpa ikhlas adalah riya’, yg bererti sama dgn kemunafikan dan tdk berbeza dgn kederhakaan. Ikhlas tanpa kejujuran dan perlaksanaan adalah sia-sia.

 

Allah tlh berfirman ttg setiap amal yg dimaksudkan utk selain Allah, sbg suatu yg tdk bermatlamat. Di dlm al-Quran Allah tlh berfirman yg bermaksud :

 

“Dan Kami hadapi segala amal yg mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yg berterbangan.”   (al-Furqan: 23)

 

Perkara yg serupa dgn apa yg dikatakan oleh al-Imam al-Ghazali itu sblmnya juga tlh dikatakan oleh seorang Rabbani yg arif bernama Sahl bin Abdullah at-Tustary, “Semua manusia spt org yg sdg mabuk kecuali mereka yg berilmu. Semua org yg berilmu adalah org yg bingung kecuali mereka yg mengamalkan ilmunya.”

 

Dlm lafaz lain beliau berkata, “Dunia ini adalah kebodohan dan kematian kecuali ilmu. Semua ilmu merupakan hujjah ke atas pemiliknya kecuali yg diamalkannnya. Semua amal akan sia-sia kecuali yg dilaksanakan dgn ikhlas. Ikhlas itu dlm bahaya yg besar sehingga tetap berakhir dgnnya.”

 

Sebahagian yg lain juga berkata, “Ilmu itu laksana benih, amal laksana tanaman dan airnya adalah ikhlas.”

 

Ibn ‘Atha’illah berkata dlm Al-Hikam, “Sesungguhnya Allah tdk menyukai amal yg mendua (berbelah bahagi), dan tdk pula hati yg mendua. Amal yg mendua tdk diterima dan hati yg mendua juga tdk akan diterima.”

 

Amal yg tdk disertai ikhlas adalah ibarat gambar yg mati, dan raga tanpa jiwa. Allah hanya menginginkan hakikat amal, bkn rupa dan bentuknya. Maka dr itu Dia menolak setiap amal yg pelakunya tertipu dgn amalnya.

 

Dlm hadith shahih riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

 

“Sesungguhnya Allah tdk melihat kpd jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kpd hati kamu.” Baginda memberi isyarat ke arah hati dgn jari-jari tangannya lalu berkata, “Taqwa itu letaknya di sini.” Dan Baginda memberi isyarat ke arah dadanya sebanyak tiga kali.”   (HR Imam Muslim)

 

Allah berfirman ttg mereka yg menyembelih haiwan qurban, iaitu yg dilakukan oleh mereka yg menunaikan haji dan umrah :

 

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tdk dpt mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan drp kamulah yg dpt mencapainya.”   (al-Hajj: 37)

 

Allahu a’lam..

 

 

Fit-Thariq Ilallah: An-Niyyah Wal-Ikhlas, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi

Al-Ghazali tolak falsafah sebagai sumber utama ilmu

March 14, 2010

IMAM Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali adalah seorang ahli sufi yang bergelar ‘hujjatui Islam’.
Nama sebenarnya Abu Hamid Ibnu Muhammad Al-Tusi Al-Ghazali dan dilahirkan di Tus, Parsi pada 450 Hijrah. Sejak kecil lagi, beliau sudah menunjukkan keupayaan luar biasa dengan menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan saja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya mengembara dan merantau dari satu tempat ke tempat lain untuk berguru dengan ulama yang hidup pada zamannya. Ketika berada di Baghdad, Al-Ghazali dilantik sebagai mahaguru Universiti Baghdad. Walaupun bergelar mahaguru tetapi beliau masih berasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Makkah sambil berguru dengan ahli sufi yang terkenal di sana.
Selain belajar dan mengkaji, Al-Ghazali juga banyak menulis. Dianggarkan beliau sudah menulis 300 buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran dan falsafah. Bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya hangus dibakar oleh tentera Barbar yang menyerang kota Baghdad.

Antara kitab yang musnah termasuk 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia) dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Daripada Orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buku tulisan beliau berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mim al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar (Mengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).

Meskipun Al-Ghazali banyak menulis mengenai falsafah tetapi beliau tidak dianggap sebagai seorang ahli falsafah. Malah kebanyakan penulis menggolongkan Al-Ghazali sebagai seorang yang memerangi dan bersikap anti-falsafah. Pandangan itu berdasarkan tulisan Al-Ghazali dalam buku Tahafut Falsafah yang banyak mengkritik dan mengecam falsafah. Bahkan dalam buku berkenaan, Al-Ghazali menyatakan tujuan menyusun buku itu adalah untuk menghancurkan falsafah dan menggugat keyakinan orang terhadap falsafah. Namun begitu, pandangan bahawa Al-Ghazali seorang yang anti-falsafah tidak dipersetujui oleh beberapa orang sarjana.
Kalau menelusuri perjalanan hidup Al-Ghazali, kita akan mendapati beliau adalah ilmuwan Islam pertama yang mendalami falsafah dan kemudian mengambil sikap mengkritiknya. Walaupun Al-Ghazali kurang senang dengan falsafah dan ahli filsafat tetapi dalam buku Maqasid al Falasifah, beliau mengemukakan kaedah falsafah untuk menghuraikan persoalan yang berkaitan dengan logik, ketuhanan, dan fizikal.

Bagi Al-Ghazali, falsafah boleh dibahagikan kepada enam ilmu pengetahuan ialah matematik, logik, fizik, metafizik, politik dan etika. Bidang ini kadangkala selari dengan agama dan kadangkala sangat berlawanan dengan agama.

Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya, beliau berpendapat ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan api keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan saja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani. Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata.

Sumber; http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IlmuwanIslam_Al-Ghazalitolakfalsafahsebagaisumberutamailmu/Article

Mengenali Institusi Syeikh Al-Azhar

March 10, 2010

Oleh Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali

Dalam tradisi ilmu Islam terdapat pelbagai gelaran yang diberikan kepada ulamak seperti syeikh al-Islam, hujatul Islam, Imam al-Akbar dan lain-lain. Gelaran tersebut merupakan gelaran yang diberikan kepada  mereka yang menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik terutama dalam bidang fikah. Gelaran syeikh al-Islam merupakan gelaran yang dipakai oleh golongan salafus saleh daripada tabi’in seperti Said bin Musaib, Hassan al-Basri, Imam Laith bin Saad, Sufian al-Sauri, Abdullah bin Mubarak dan lain-lain. Sebelum tahun 1935M, mufti negeri Kedah dikenali sebagai Syeikh al-Islam dan kemudian  dikenali ketua Majma’ Masyakhatul-Islam (Ketua Persidangan syeikh-syeikh Islam)

Di Mesir, ulamak yang paling tinggi kedudukannya dikenali sebagai syeikh al-Azhar. Beliau berperanan untuk mengelola dan mengurus institusi al-Azhar. Al-Azhar yang dibina pada 359H/970M telah mempunyai 43 Syeikh al-Azhar. Mereka terdiri daripada 17 syeikh yang bermazhab Syafi’i, 16 syeikh bermazhab Hanafi, 9 syeikh bermazhab Maliki. Gelaran ini mula diperkenalkan pada abad 17M. Pada zaman Uthmaniah, syeikh al-Azhar dilantik oleh pemerintah atas sokongan daripada ulamak keempat-empat mazhab.  Pada tahun 1922, Raja Mesir berhak memilih syeikh al-Azhar diantara tiga orang yang dicadangkan oleh Majlis Ulamak al-Azhar.

Semasa rombakan al-Azhar pada tahun 1961, pemilihan syeikh al-Azhar diputuskan oleh Presiden dan semasa zaman Anwar Sadat, jawatan Syeikh al-Azhar adalah jawatan sepanjang hayat dan tidak boleh dilucutkan kecuali kematian. Antara rombakan pada tahun 1961 juga, Syeikh al-Azhar dikenali sebagai Imam al-Akhbar dan dianggap sebagai ketua agama yang tertinggi  dan menjadi ketua dan penasihat dalam setiap perkara yang berhubung dengan pengajian Islam dan ketua Majlis tertinggi al-Azhar. Dalam kanun ini juga disebutkan bahawa Syeikh al-Azhar dipilih  daripada kalangan  Majma’ al-Buhus al-Islamiah (Badan Penyelidikan Islam) atau mereka yang mempunyai kelayakan  yang disyaratkan oleh Majma’ tersebut. Kemudian mereka mencadangkan kepada Presiden untuk disahkan. Demikian juga dalam kanun ini diwujudkan jawatan Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh al-Azhar) yang memainkan peranan semasa ketiadaan Syeikh al-Azhar.  

Syeikh al-Azhar yang pertama ialah Syeikh Muhamad al-Khuraysi (m. 1101H/1690M). Beliau bermazhab Maliki. Syeikh al-Azhar yang paling lama memegang jawatan tersebut ialah Syeikh Abdullah al-Shabrawi yang memegang selama 34 tahun. Beliau mula memegang jawatan tersebut pada tahun 1137h sehingga meninggal dunia pada tahun 1171H. Syeikh al-Azhar yang paling pendek memegang jawatan tersebut ialah Syeikh Abdul Rahman al-Nawawi iaitu selama sebulan. Antara syarat untuk memegang jawatan ini ialah berumur 45 tahun ke atas, terkenal dengan kewarakan dan ketakwaan, telah memiliki ijazah al-Alamiah (bersamaan ijazah M.A dan Ph.D), mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun di mana-mana kuliah di Universiti al-Azhar atau pernah memegang jawatan Mufti Mesir atau pernah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Institusi Syeikh al-Azhar ini memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan masa depan al-Azhar. Syeikh Majid Salim (1882-1954M) menggariskan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh al-Azhar iaitu; mengkaji semula buku-buku pengajian agar bersesuaian dengan keadaan semasa, meningkatkan aktiviti penulisan dengan memberi anugerah sehingga lahirnya generasi ilmu, membina generasi al-Azhar yang kuat dalam membawa risalah Islam, menghantar ulamak-ulamak al-Azhar menjadi pendakwah dan penyelidik terutama di universiti-universiti Eropah, mengadakan hubungan dengan universiti-universiti lain dan `menggalakkan ulamak al-Azhar menulis dalam bahasa utama dunia dalam menjelaskan hakikat Islam. Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi (1881-1945M) menegaskan bahawa tanggungjawab utama al-Azhari ialah memelihara syiar-syiar Islam  dengan sempurna dan tidak ada orang lain yang dapat mengatasi pemeliharaannya terhadap syiar-syiar tersebut. Ia menjadi contoh teladan  dengan tingkah laku dan perbuatannya bukan sekadar dengan percakapan. Perkara ini kerana tingkah laku akan memberi kesan yang besar kepada jiwa seseorang.  

Syeikh Ibrahim Hamrus (1880-1960M) merupakan syeikh al-Azhar yang berpendirian tegas dalam melawan penjajahan Inggeris. Beliau telah menyertai peperangan melawan tentera Inggeris di Ismaliah dan menyeru rakyat Mesir atas nama al-Azhar melawan penjajah.  Akibatnya pihak penjajah telah mengadu kepada Raja Mesir untuk dilucutkan jawatannya pada tahun 1952M. Begitu juga Syeikh al-Khadir Husain (1876-1958M) yang berpendirian tegas melawan penjajahan Perancis di Algeria. Beliau pernah menulis buku mengkritik buku Ali bin Abdul Raziq yang bertajuk “Islam dan Asas-Asas Pemerintahan.”  Beliau juga pernah mengkritik buku Taha Hussain yang bertajuk “ Syair Jahiliah’  yang mempertikaikan sejarah Nabi Ibrahim dan Ismail serta menganggap cerita masyarakat jahiliah itu sebagai dongeng.   

      Syeikh Abdul Halim Mahmud (1910-1978M) merupakan seorang ulamak dan Syeikh al-Azhar yang terkenal dengan kezuhudan dan kewarakan. Beliau adalah berkelulusan Ph.D dari Universiti Serbon, Perancis pada tahun 1940 dalam kajian Tasauf Islam. Tajuk Ph.D beliau ialah berkaitan tentang Haris bin Asad al-Muhasibi. Beliau dilantik menjadi Dekan Usuluddin pada tahun 1964. . Pada tahun 1970, beliau dilantik menjadi Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh Al-Azhar) dan pada tahun   1973 dilantik menjadi Syeikh al-Azhar. Beliau telah mengarang 68 buah buku Antara pendirian tegasnya ialah menentang Undang-Undang Kekeluargaan yang mengharamkan talak dan melarang poligami. Pada tahun 1974, pihak pemerintah telah mengeluarkan arahan agar al-Azhar dirombak dan al-Azhar dibawah penguasaan menteri yang mengakibatkan al-Azhar hilang  kebebasan. Lalu beliau telah menghantar surat kepada Anwar Sadat melepas jawatan pada 1 Ogos 1974 dan tidak akan memegang jawatan tersebut kecuali digugurkan keputusan untuk menyerahkan al-Azhar kepada pentadbiran menteri. Antara sumbangan besar beliau ialah memantapkan Majma’ al-Buhuth al-Islamiah dan menggesa agar segala harta wakaf al-Azhar dikembalikan semula kepada al-Azhar untuk dibangunkan bagi tujuan dakwah.

Antara Syeikh al-Azhar ialah Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq (1917-1996M) Beliau pernah menjadi Mufti Mesir dalam era pemerintahan Anwar Sadat. Kemudian beliau dilantik Menteri Wakaf  dan kemudian menjadi Syeikh al-Azhar pada tahun 1982. Beliau mempunyai pendirian yang tegas terutama dalam menentang  Persidangan Penduduk di Kaherah  pada tahun 1994  yang mengharus perhubungan homoseksual dan mengharuskan penguguran dan Muktamar Wanita pada tahun 1995 di Beijing. Dalam kenyataannya, kedua-dua persidangan tersebut adalah bertentangan dengan nilai-nilai akhlak manusia yang waras Beliau juga telah mengeluarkan fatwa bahawa tidak harus untuk pergi ziarah bagi menunaikan solat di Baitil Maqdis sehinggalah ia dikembalikan kepada umat Islam.

 

Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi merupakan Syeikh al-Azhar sejak tahun 1996. Sebelum menjadi syeikh al-Azhar, beliau pernah menjadi Mufri Mesir, Dekan Kuliah dan mengajar di Kuliah Usuluddin. Beliau mendapat Ijazah kedoktoran daripada Universiti al-Azhar dalam bidang Tafsir dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa universiti di Iraq, Libya dan Arab Saudi. Beliau terkenal sebagai seorang yang alim dalam ilmu tafsir dan mempunyai Kitab “Tafsir al-Wasit” sebanyak 15 jilid. Beliau juga terkenal dengan kewarakan, bercakap dengan lembut dan mudah difahami. Semasa pertemuan penulis dengan Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi pada tahun 2004 di pejabatnya, beliau memuji Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan berharap agar umat Islam dapat meningkatkan dakwah Islamiah. Penulis semasa belajar sentiasa mengikuti pengajiannya dan khutbah yang disampaikannya. Ini disebabkan keistimewaannya dalam menafsirkan al-Quran. Semasa era pentadbirannya, beliau sentiasa memberi perhatian kepada peningkatan dan penguasaan ilmu dalam kalangan mahasiswa Malaysia di al-Azhar. Beliau sering menyuarakan agar mahasiswa Malaysia bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan menguasai Bahasa Arab dengan baik. Anugerah Doktor Kehormat yang diberikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2008 kepada Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi merupakan pengiktirafan atas sumbangan beliau yang besar kepada mahasiswa Malaysia di al-Azhar dan dunia Islam. Penganugerahan ini juga akan mengeratkan hubungan al-Azhar dengan Malaysia terutama dalam bidang keilmuan.

Keilmuan Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi terutama dalam bidang tafsir tidak boleh dipertikaikan walaupun beliau mempunyai perbezaan pendapat dalam beberapa perkara seperti pandangannya mengenai riba bank yang dianggap bukan salah satu bentuk  riba yang diharamkan. Beliau menyatakan perkara tersebut dalam  bukunya bertajuk “Mu’amalat al-Bunuk wa Ahkamuha al-Syar’iah”  (Muamalat Bank dan Hukum Syariat Mengenainya) yang diterbitkan pada tahun 1990. Kenyataan beliau ini telah mendapat bantahan ramai para ulamak termasuk Yusuf al-Qaradawi dan Jadul Hak Ali Jadul Hak, Syeikh al-Azhar ketika itu. Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi juga pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan Islam daripada tuduhan Baba Vatikan yang mengatakan bahawa Islam tersebar melalui kekerasan, keganasan dan pedang. Majalah al-Azhar keluaran Disember 2006, menyiarkan kenyatan penuh dan sanggahan beliau terhadap isu itu sebanyak 45 halaman. Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan bahawa Islam adalah agama yang disebarkan atas kerelaan penganutnya bukan melali paksaan. Beliau memgemukakan hujah-hujah al-Quran, al-hadis dan sejarah dalam membuktikan perkara tersebut.

Sumber: http://www.mindamadani.my/content/view/237/1/

Islam Melarang Ghuluw-Tanaththu’-Tasyaddud

March 8, 2010

22 Mei 2007
Ust Dr Abdullah Yasin

Terjemahan Hadis:

1. Daripada Abdullah Bin Mas’ud (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam): Binasalah orang yang tanaththu’ (3x).
[Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim] 

2. Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Jauhilah olehmu daripada ghuluw dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu (Ahlul Kitab) adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.
[Hadis Riwayat Ibnu Majah dengan sanad Sahih] 

3.      Daripada Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasul (sallallahu alaihi wasalam): sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).
[Hadis Riwayat Imam Bukhari]

Mukaddimah:

 

Iblis sangat benci kepada manusia yang suka mendalami ilmu-ilmu agama atau Tafaqquh Fid Diin. Malahan Iblis atau syaitan sangat takut kepada mereka. Sebaliknya Iblis sangat suka kepada orang-orang jahil walaupun ia banyak beribadat dan kelihatannya taat kepada Allah. Tetapi jangan disangka Iblis berhenti menggoda orang yang berilmu. Dengan sifat Khannaasnya (datang dan pergi dengan pantas), Iblis akan terus berusaha menyelewengkan manusia yang berilmu dan kuat beragama daripada jalan Allah yang lurus (Shirathal Mustaqim). Bagaimana cara Iblis memesongkan orang-orang yang kuat beragama? Di antara caranya ialah dengan mendorong mereka supaya bersikap GHULUW atau TANATHTHU’ atau TASYADDUD.

 

Di dalam hadis di atas baginda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) telah melarang kita daripada memiliki sikap tersebut karena sikap itu bukan saja boleh membinasakan diri yang bersangkutan, tetapi juga boleh merosak image Islam yang indah di mata muslimin yang masih lemah imannya sehingga mereka merasa keberatan dengan ajarannya atau di mata non-muslim sehingga mereka takut memeluk Islam. Padahal Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) dalam hadisnya yang lain bersabda: “Permudahkanlah dan janganlah kamu mempersulit”. [HR Bukhari]

 

Larangan di atas bukan hanya tercantum di dalam hadis-hadis Nabi (sallallahu alaihi wasalam) tetapi juga banyak terdapat di dalam Al-Quran. Lihat An-Nisaa :171 dan Al-Maidah :77.

 

 

 

Makna GHULUW, TANATHTHU’. TASYADDUD:

 

Ketiga-tiga istilah di atas hampir sama maknanya iaitu:

 

Berlebih-lebihan atau melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh syare’ah (agama).

 

 

 

Uraian Hadis:

 

Hadis (1):

 

Imam Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya: Iqtidhaaus Shirathal Mustaqim I/288-289 menyebut: Larangan ghuluw dalam urusan agama adalah menyeluruh dalam semua bidang ajarannya, apakah yang bersangkutan dengan akidah ataupun amalan.

 

 

Hadis (2):

 

Imam An-Nawawy dalam kitabnya: Riyadhus Shaalihin m/s 78, berkata: Al-Muthanaththi’un ialah orang-orang yang terlalu mendalam-dalami dan memberat-beratkan urusan agamanya pada tempat-tempat yang sebenarnya tidaklah berat.

 

 

Hadis (3):

 

Imam An-Nawawy dalam kitabnya yang sama m/s 78 berkata: Mutasyaddid akan dikalahkan oleh agamanya. Maksudnya orang berkenaan akhirnya tidak terdaya untuk menjalankan kehendak agamanya karena tuntutannya yang terlalu banyak. Oleh itu Nabi (sallallahu alaihi wasalam) menyuruh kita agar memanfaatkan masa pagi, sore dan sedikit waktu malam untuk beribadah karena pada waktu-waktu itulah badan segar beribadah dan tidak membosankan. Perjalanan manusia menuju akhirat tidak obahnya bagaikan musafir yang sedang menuju ke suatu destinasi. Dia tidak sepatutnya gopoh-gapah tidak menentu karena ingin cepat sampai. Dia akan rehat jika penat dan meneruskan perjalanannya lagi jika badan sudah segar. Dengan cara demikian ia akan sampai ke matlamat yang dituju dengan selamat.

 

Dalam kitab Dalilul Faalihin I/384 dikatakan pula: Maksud hadis ini agar jangan ada di antara kita yang terlalu mendalam-dalami dan memberat-beratkan amalan-amalan agama dan meninggalkan kesederhanaan dan tidak bersikap lemah-lembut, karena jika itu terjadi niscaya kelak dia akan meninggalkan keseluruhan amalan agamanya atau sebahagian daripadanya. Atau dengan makna lain: Hendaklah kamu bersikap sederhana atau tawashshuth (pertengahan) tanpa ifrath dan tafrith.

 

 

Gejala-gejalanya:

 

Ekoran daripada memiliki sikap di atas maka muncullah pada diri muslim-muslimat berkenaan beberapa gejala kurang sehat yang nyata dapat kita lihat, di antaranya:

 

 

  1. Sikap fanatik (ta’ashshub) dengan suatu pandangan dan tidak mahu i’tiraf atau menghormati pandangan orang lain. Orang jenis ini selalu berkata: Adalah hak aku untuk mengatakannya, dan kewajipan kamu hanya mendengar. Adalah hak aku untuk memimpin, dan tugas kamu mengikuti saja. Pandangankulah yang benar dan tidak mungkin salah. Pandangan kamu salah dan tidak mungkin benar.

 

  1. Sentiasa gemar memilih perkara yang berat-berat dan menyuruh orang lain agar berbuat demikian, walaupun ia mengetahui ada dalil-dalil yang meringankannya. Nabi (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: “Permudahkanlah dan jangan mempersulitkan”.

 

  1. Bersikap keras dan kasar dalam uslub dan ucapan. Orang jenis ini tidak pernah mengenal istilah tolak ansur dan kompromi dalam semua hal. Padahal dalam Islam kita tidak boleh kompromi hanya dalam akidah bukan dalam bab amalan. Hikmah dan lemah lembut sangat dituntut dalam segala hal. Nabi (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Rafiq, (Dia) menyuqai RIFQ (lemah lembut) dalam segala urusan”. [Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari]

 

  1. Mudah berburuk sangka dan menuduh orang lain tanpa bukti atau sebab yang munasabah. Tidak suka menerima keuzuran atau alasan, bahkan gemar mencari-cari kesalahan orang lain. Padahal sebahagian Salafus Saleh berkata: Aku akan menerima keuzuran daripada saudaraku walaupun sampai 70 kali: Kemudian akku akan bertanya: “Barangkali dia masih ada keuzuran lain yang aku tidak mengetahuinya”. Sungguh tepat firman Allah:
    “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah olehmu dari kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa”.
    (Al-Hujurat 49:12)  

Sebab-sebabnya:
 
Kalaulah demikian bentuk dan gejala ghuluw – thanaththu’ dan tasyaddud, maka apakah yang menjadi punca penyebabnya?
 
1.       Jahil tentang agama:
 
Yang dimaksudkan dengan jahil tentang agama di sini dapat dilihat daripada beberapa sudut, antaranya:
 
(a)     Kedangkalan ilmunya dalam memahami “maqashid syari’ah” (maksud agama) yang berkaitan dengan konsep taiysir (kemudahan) dan raf’ul haraj (tidak menyusahkan) ke atas orang mukallaf.
 
(b)     Kejahilannya tentang batas-batas syare’ah yang wajib dipatuhi oleh setiap mukallaf dan tidak boleh dilampaui sehingga akhirnya yang sunat dirobahnya menjadi wajib dan yang makruh menjadi haram.
 
(c)     Tidak tepat dalam memahami mashusuh (dalil-dalil) syare’ah, karena ia melihat hanya sebahagian nash-nash Al-Quran dan As-Sunnah tetapi melupakan bahagian-bahagiannya yang lain.
 
 
Imam Asy-Syaathiby dalam kitabnya Al-I’tishaam I/244 berkata: Penyebab ghuluw yang utama dalam kontek ini hanya satu iaitu jahil dengan maqashidusysyara’ (maqsud agama) dan tidak mampu menghubungkaitkan antara satu aspek agama dengan aspeknya yang lain. Imam-imam Rashikin (Ulama yang betul-betul pakar dalam bidang agama) melihat syare’at sebagai suatu kesatuan yang berkaitan rapat antara kully dengan juz’iy, antara ‘aam dengan khas, antara mutlak dengan muqayyad.
 
 
2.       Mengikut hawa nafsu:
 
Dan di antara penyebab ghuluw ialah karena terlalu mengikuti perasaan dan hawa nafsu. Allah SWT mencela sikap demikian dalam banyak ayat-ayat Al-Quran, antaranya:

 

 

Tetapi orang-orang yang zalim mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan.
(Ar-Ruum 30:29)

Contoh-contohnya:
 
Supaya kita mendapat suatu gambaran yang jelas tentang sikap ghuluw atau tanaththu’ atau tasyaddud di atas maka berikut ini diberikan beberapa contoh, antaranya:
 
i.         Golongan Khawarij. Mereka ghuluw dalam nushush wa’iid (janji siksa) tetapi ihmaal (mengabaikan) nushush wa’d (janji manis). Akhirnya mereka dengan mudah menghukumkan kafir setiap muslim yang melakukan dosa besar dan mereka akan kekal abadi di dalam neraka.
 
ii.       Golongan Murji-ah. Mereka ghuluw dengan nushush wa’d tetapi ihmaal dengan nushush wa’iid. Oleh itu mereka mendakwa kononnya dosa besar yang dilakukan oleh muslim sedikitpun tidak merosakkan imannya.
 
iii.      Golongan Syi’ah. Mereka ghuluw terhadap Saidina Ali (ra) sehingga tidak mengakui khalifah-khalifah Rasyidin yang lain. Mereka juga ghuluw dengan mendakwa Imam-imam mereka bersifat ma’shum (tidak pernah melakukan dosa).
 
iv.      Segelintir Ahlus Sunnah Waljama’ah yang karena terlalu cinta kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) sehingga mereka menyanjung baginda melampaui batas yang diizinkan oleh Allah SWT. Mereka ghuluw dalam hal Ta’zim (menyanjung) tetapi ihmaal dengan aspek Akidah (Tauhid). Lihat nota: Bukti Cinta Kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam).
 
v.        Contoh lain: Ghuluw dalam da’wah tetapi ihmaal dengan tanggungjawab terhadap keluarga. Ghuluw dengan sesetengah hadis tetapi ihmaal dengan hadis-hadis yang lain seperti mengharamkan wanita memakai perhiasan emas (Lihat nota: Apakah hukumnya wanita memakai perhiasan emas?)
 
vi.      Contoh lain: Ghuluw dalam ibadah, ihmaal dalam kemasyarakatan. Ghuluw dalam pakaian yang zahir, ihmaal dengan pensucian hati. Ghuluw dengan Fiqhul Ibadah, ihmaal dengan Fiqhud Da’qah dan Fiqhus Siirah.
 
 
Cara mengikis sifat tersebut:
 
1.       Hendaklah kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah secara menyeluruh, bukan setengah-setengah.
 
2.       Hendaklah juga memahami “Maqashidusysyara’ “ (maksud-maksud agama). Dengan memahaminya akan menolong kita mengambil hukum daripada dua sumber di atas dengan lebih tepat tanpa menggadaikan prinsip.
 
3.       Selain Al-Quran dan As-Sunnah, kita juga mesti mengakui adanya sumber hukum tambahan yang telah disepakati iaitu IJMA’ ULAMA dan QIYAS sekiranya suatu hukum tidak wujud secara pasti di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
 
4.       Inilah cara dakwah Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) dan para sahabat serta Salafus Saleh. Dan inilah juga perjalanan dakwah AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH.
 
 
Nasihat:
 
1.       Dalamilah selok-belok agama, apakah melalui bacaan atau mengikuti pengajian. Dan jika terdapat perbedaan pandangan pilihlah mana yang diyakini lebih baik dan lebih kuat dalilnya. (Lihat Nota: Ikut Mana Yang Lebih Baik).
 
2.       Jika anda mengambil pandangan yang lebih kuat, itu tidak berarti anda telah mendapat lesen untuk menyalahkan orang lain secara melulu sebab barangkali mereka juga mempunyai dalil dan pandangan tersendiri. (Lihat Nota: Adab-adab perbedaan pandangan).
 
3.       Perbedaan pandangan telah wujud sejak zaman Nabi (sallallahu alaihi wasalam) lagi. Baginda menghadapinya secara wajar dan dapat menerimanya dengan dada terbuka. Mengapa kita sebagai Pendukung Sunnah tidak boleh berbuat demikian?
 
4.       Kita tidak setuju dengan orang yang mewajibkan taqlid dan ta’ashshub sesuatu mazhab secara membuta tuli, sebagaimana kita juga tidak setuju dengan ulama yang digelar “semua boleh” karena sikap tersebut berarti tidak mensyukuri nikmat akal dan dapat mematikan minda serta mempersenda guraukan hukum Allah dan hukum Rasul (sallallahu alaihi wasalam).
 
5.       Sikap yang paling baik ialah memberi beberapa pandangan dengan hujjahnya masin-masing. Kemudian buatkanlah kesimpulan mana pandangan yang lebih RAAJIH (lebih kuat). Inilah tugas pendakwah. Bukan memaksakan satu pandangan saja yang mesti diikuti.
 
6.       Kita mestilah mengakui bahwa di antara fitrah semulajadi manusia ialah tidak suka dipersalahkan. Oleh itu kita mestilah berhati-hati dalam menegor. Kita mesti ingat “sunnah tadarruj” walaupun ia menyangkut perkara bid’ah.Jangan sampai pendakwah membuat bid’ah yang lebih besardari bid’ah orang yang ditegor. Dalam hal ini pendakwah mesti memahami kaedah: “Irtikaab Akhaffudh Dhararain” iaitu mengambil mana yang lebih ringan mudharatnya.
 
7.       Masyarakat kita pada akhir-akhir ini sudah mula dapat menerima Sunnah dan beransur-ansur meninggalkan adat istiadat yang bercanggah dan bid’ah. Ini berkat kesabaran para pendakwah yang faham dengan Sunnah Tadarruj. Oleh itu para jemaah tolong jangan “kacau daun” sehingga usaha yang dibuat selama ini menjadi mentah kembali.
 
8.       Jangan cepat menuduh: Ulama itu jahil, ulama itu tidak betul, ulama menyembunyikan kebenaran, dan sebagainya.Besar kemungkinan apa yang baru anda ketahui hari ini,sudahpun mereka ketahui puluhan tahun yang lalu. Tetapi karena ilmu mereka yang syumul (menyeluruh) merangkumi semua aspek agama, dan dapat memahami sunnah tadarruj dalam menyampaikan kebenaran, lagi pula ada sumber lain boleh meragukan pandangannya, maka mereka akhirnya mengambil sikap lebih baik perkara itu tidak dibangkitkan terlebih dahulu karena akidah umat masih belum begitu kokoh. Sungguh tepat sabda baginda:
 
 
“Cukuplah seseorang itu digolongkan sebagai pembohong, jika ia memperkatakan semua apa yang dia pernah dengar”.
 
[Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim]
 
 
Jadi siapakah yang jahil sebenarnya? Mereka atau kita?
 
 
9.       Rifq (lemah lembut) jangan disinonimkan (disamakan) dengan “tidak mempunyai pendirian”, sebagaimana tasyaddud dan ghuluw jangan pula disamakan dengan Istiqamah (teguh pendirian).
 
10.   Perlakuan manusia adalah hasil dorongan hatinya. Kalau begitu, bukankah cara yang paling tepat untuk merobah perlakuan manusia, kalau hati nuraninya dan mindanya yang perlu kita rebut dan perbetulkan? Jadi melalui pendidikan dan pendedahan kebenaran secara tadarruj (step by step) akan muncullah generasi berilmu yang bukan saja akan memihak kepada kebenaran, malahan akan ISTIQAMAH membela kebenaran.
 
11.   Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:
 
“Sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahwa dialah HATI”.
 
[HR Bukhari]
 
 
“Perlahan-perlahan (beransur-ansur) adalah daripada Allah SWT dan tergesa-gesa (gopoh) adalah daripada syaitan”.
 
[Hadis Hasan Riwayat Ibnu Abi Syaibah]
 
 
12.   Semoga dengan pendedahan ini para jamaah yang terlalu bergairah “ikut sunnah” dapat berfikir sejenak apakah cara mereka selama ini ikut sunnah atau justeru bercanggah dengan sunnah. Apakah caranya selama ini turut menolong menyuburkan pertumbuhan sunnah di rantau ini atau justeru sebaliknya membuat masyarakat benci dan lari dari Sunnah?
 
13.   Untuk mendapatkan hasil dakwah yang berkesan dan tidak menimbulkan keresahan masyarakat, para pendakwah jangan hanya terikat pada Fiqhul Ibadah, tetapi mestilah juga mendalami Fiqhus Siirah dan Fiqhud Da’wah. Sebab hanya dengan demikian kita (Insya Allah) dapat menyelesaikan semua masalah dengan lebih berkesan sebagaimana dikatakan dalam pepatah: “Rambut tak putus, tepung tak tumpah”.
 
14.   Dengan pendedahan ini juga diharapkan masyarakat dapat menyadari bahwa aliran dakwah yang dibawa oleh pendakwah-pendakwah di bawah Islamic Counsellor Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur bukanlah dakwah yang keras tidak menentu tetapi bersifat mendidik dan memperluas minda. Shalaabah (tegas) dalam perkara ushul (prinsip), dan akan bersikap Muruunah (flexible) dalam perbedaan pendapat tentang perkara furu’ (cabang).
 
15.   Pengikut Sunnah yang Ekstrim barangkali akan menuduh sikap di atas adalah tidak sunnah karena tidak tegas. Kepada mereka dinasehatkan bahwa Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) tidak tegas dan keras dalam semua hal. Malah beliau sentiasa menekankan umatnya agar I’tidal (sederhana) dalam semua hal. I’tidal dengan pengertian meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan tatharruf (mengabaikan tuntutan) dan bukan pula Ithraaf (melampaui batas tuntutan).
 
16.   Semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang pernah dikatakan oleh para ulama: ISTIGHFAAR yang masih berhajat kepada ISTIGHFAAR.
 
 
 
Rujukan:
 
  1. Nahwa Da’wah Islamiyah Rasyidah - Dr. Mohd A. Kadir Hanadi
  2. Iqtidhaus Siratil Mustaqim - Ibnu Taimiyah           
  3. Riyadhush Shaalihin - Imam An-Nawawy
  4. Fiqhus Siirah - Mohd Al-Ghazaly
  5. Fiqhud Dakwah - Dr. Mohd Natsir
  6. Tadzkiratud Du’aah - Al-Bahy Al-Khauly
  7. Ibaahatut Thahally Bizzahab Al-Muhallaq Lin Nisaa Warrad ‘Alaa Al-Albaany Fii Tahriimihi - Syekh Ismail Al-Anshary

Ulama: Dimuliakan Atau Disucikan?

March 7, 2010

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
(moasriza@yahoo.com)

Ada bezanya antara menghormatikan dan mensucikan. Dalam bahasa Arab disebut tauqir (memuliakan), sementara mensucikan disebut taqdis. Memuliakan atau tauqir bererti kita memberikan penghormatan kepada seseorang atau sesuatu pihak. Ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang ada pada pihak atau individu tersebut. Jika dia pemimpin, atas nilai kepimpinan yang ada padanya. Jika dia ulama, atau ilmuwan maka atas nilai ilmu yang ada padanya. Jika dia orang tua, atas nilai usia dan pengalaman hidup yang dilalui. Demikianlah seterusnya.

 

Adapun taqdis atau mensuci bererti menganggap seseorang atau sesuatu itu terpelihara dari sebarang dosa, atau kesalahan. Menganggap ia suci (sacred) bererti apa sahaja yang datang daripadanya adalah benar dan mulia, tidak boleh dipertikaikan lagi.

 

Islam menyuruh kita menghormati ulama atau disebut tauqir al-‘ulama tetapi tidak membenarkan kita mensucikan mereka atau taqdis al-‘ulama. Kita menghormati mereka kerana keilmuan mereka. Apabila mereka berbicara dan bertindak dalam kerangka ilmu, maka dihormati dan disayangi. Kita berinteraksi dengan mereka dengan cara yang hormat dan sopan.

Namun, dalam masa yang sama kita tidak dibenarkan menganggap mereka suci dari kesilapan dan kesalahan. Mereka bukanlah para rasul yang setiap tindakan mereka yang berkaitan dengan agama dianggap hujah. Adapun para ulama mereka terdedah kepada salah dan silap, sama seperti manusia lain. Apabila ternyata mereka salah, atau silap kita tidak boleh mengikut kesalahan kesilapan itu. Dalam ertikata lain, kita menghormati, bukan mensucikan mereka.

Perkara yang begitu asas sebegini kadang kala gagal difahami oleh sesetengah umat Islam. Apabila mereka menghormati seseorang tokoh agama, mereka seakan menganggap pendapatnya suci, atau bagaikan wahyu yang mesti diikut tanpa perlu mengetahui alasan dan hujahnya. Mengikut secara ‘membabi buta’. Mereka letakkan tokoh-tokoh agama itu bagaikan nabi dan rasul.

Akhirnya, mereka mandulkan akal dan kewarasan mereka dengan mengikuti segala yang dititah atau pendapat yang dinyatakan oleh tokoh itu sekalipun ilmu dan akal yang Allah anugerahkan menyanggahinya. Ia amat berbahaya. Jika tokoh agama itu meminta wang daripada mereka, sekalipun tidak jelas alasannya mereka berikan. Jika tokoh agama itu memberikan pendapat dalam sesuatu perkara sekalipun ternyata salah dari segi angka dan fakta, mereka tetap telan dan terus menyanjung pendapat itu. Jika tokoh agama itu agung-agungkan dirinya dan menganggap dia luar biasa, sehingga ternyata kepada mereka yang bebas dari unsur ketaksuban bahawa itu adalah ‘takabur yang nyata’, namun pengikutnya tetap mencium tangan dan berkata ‘benar!’.

Maka bukan sedikit dalam sepanjang sejarah, atas nama agama atau tokoh agama eksploitasi terhadap akal, maruah, harta, kuasa dan berbagai lagi yang berlaku. Sebab itu Islam menentang sebarang unsur pemujaan kepada manusia sehingga mengenepikan ajaran Allah S.W.T dan RasulNya s.a.w.

Siapakah dalam kalangan ulama yang merasakan dirinya lebih baik daripada Saidina Abu Bakr al-Siddiq? Jika Abu Bakr berucap pada hari perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361), apakah layak untuk seseorang selain Abu Bakr berkata: “Aku mufti aku mesti betul”, atau “Aku tok guru aku tak akan salah”, atau “Aku ustaz, kau siapa?!”.

Perkara ini perlu sentiasa ditegaskan, agar kita mengetahui dan selalu sedar bahawa gelaran ‘ulama’, ‘tok guru’, ‘ustaz’, ‘kiyai’, dan berbagai lagi, hanyalah pemberian dan panggilan yang diberikan oleh manusia. Ia hanyalah anggapan baik atas faktor-faktor luaran yang dilihat pada seseorang dan persepsi yang ada dalam gambaran pihak yang memanggil atau memberikan gelaran tersebut.

Samalah juga dengan Professor, Dr dan seumpamanya, walaupun ia menerusi proses yang tertentu, namun itu bukan pertabalan yang ditetapkan Allah seperti pertabalan nabi dan rasul. Ertinya, gelaran-gelaran itu bukanlah jaminan untuk mereka tidak salah, atau melakukan dosa kecil mahupun besar. Ia bukan jaminan kemaksuman. Ia hanya sangkaan baik sesama manusia.

Sebab itu, ada golongan yang dinamakan ‘ulama jahat’. Maka, hormati golongan agama dengan kadar-kadarnya, namun jika ada pandangan atau tindakan mereka melampaui batasan kebenaran dan ilmu, kita akan menyanggahi atau berbeza dengannya tanpa perlu mengukur kadar ‘gelaran’ atau berat serban, atau labuh jubah yang dipakai.

Masyarakat Islam Malaysia hari ini antara masyarakat yang agak berharta. Maka, ramailah yang datang dari dalam negara dalam luar menonjolkan berbagaikan kelebihan agama yang sebahagian mereka mempunyai agenda ‘wang besar’ ke atas kita. Cerita-cerita keajaiban kiyai itu dan ini mula kedengaran. Kehebatan jampi dan air liur tok guru itu dan ini mula dipromosikan. Ramai yang menjadi kaya kerananya. Jika ini tidak dibendung, ia akan menjerumuskan masyarakat kita kepada minda khurafat, bukan minda kewarasan dan ilmu.

Mereka ini kadang-kala cuba berperwatakan melebihi watak Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Sehingga seseorang memaklumkan kepada saya bahawa di tempatnya, ada penceramah (barangkali ada tauliah) berceramah tentang kelebihan guru tarekatnya yang boleh berhubung langsung dengan nabi dan para wali. Ceritanya itu mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menjawab golongan sufi yang seperti itu di zamannya, kata beliau:

“Dalam kalangan mereka (golongan sufi) ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan telah lama mati. Lalu dia (jelmaan itu) berkata: “Akulah si fulan”. Mungkin juga dia berkata : “Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…”.

Ulas Ibn Taimiyyah lagi : « Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak tahu dan berkata : “Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan”. Kadang kala syaitan berkata : “Akulah Abu Bakr, Umar…” Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : “Aku al-Masih (Isa)” , atau “aku Musa” atau “aku Muhammad” ».

Kata Ibn Taimiyyah lagi : « Aku tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka’bah, dia berkata: “Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)”. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi S.A.W keluar daripada hujrah (bilik persemadian atau kubur) baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menganggap ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya”.

Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi S.A.W, lalu Ibn Taimiyyah menyebut: “Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (ilmuwan agung Andalus, minggal 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: “Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (para sahabat Nabi s.a.w yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi S.A.W (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah telah bercanggah pendapat (selepas kewafatan Nabi s.a.w) dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi S.A.W. dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda, adakah beliau bertanya Nabi S.A.W dan baginda menjawabnya”. (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/399, Riyadh: Maktab al-`Abikan).

Namun, malang sekali sepanjang sejarah, masih ada yang termakan dengan perkara-perkara yang seperti ini disebabkan mereka gagal membezakan antara menghormati tokoh agama dan mensucikannya. Cenderungan sesetengah penceramah agama melarang fikiran kritis dan akal yang aktif umat Islam, amat bercanggah dengan ajaran Islam.

Mereka itu sering berkata: “terima sahaja apa yang ulama atau tok guru cakap, jangan banyak fikir, Islam bukan ikut akal”. Islam mana yang tidak berteraskan akal yang matang dan benar?! Tok guru mana pula yang maksum semua cakapnya?! Ini akibat pembolotan kuasa pengaruh atas nama agama dan kegagalan umat membezakan antara menghormati dan mensucikan.

Sumber: http://drmaza.com/home/?p=1035

« Previous PageNext Page »