Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality
31 Dec
Temuramah Utusan Malaysia bertarikh 10 Nov 2009 bersama Dr Mohd Nizam Shaad. Bahagian Pengajian Islam
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
11800 Universiti Sains Malaysia
Apakah manhaj penyampaian tauhid oleh Nabi SAW kepada para sahabat?
NIZAM: Dari sudut sejarah, pendekatan penyampaian akidah tauhid kepada para sahabat pada zaman Rasulullah SAW bersifat mudah dan padat. Maksudnya, menggunakan terus pendekatan al-Quran menerusi wahyu Allah.
Jika ada sebarang pertanyaan yang menuntut penjelasan dari Rasulullah, baginda memberi penerangan terus atau menunggu wahyu Allah. Corak jawapan kepada persoalan tersebut berbeza-beza tahapnya bersesuaian dengan tahap pertanyaan dari siapa dan keadaan semasa.
Penjelasan Nabi SAW dengan bait katanya pula menjadi sunnah ikutan dalam hal berakidah. Oleh sebab itu, pendekatan zaman awal Islam boleh dikatakan sebagai menggunakan pendekatan al-Quran dan al-Sunnah.
Pada zaman ini, masyarakat Islam menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah tanpa banyak soal. Mereka beriman sepenuhnya dengan apa yang diajar kepada mereka oleh Nabi SAW.
Sebagai contoh, lihatlah sahaja bagaimana peribadi Saidina Abu Bakar yang membenarkan apa yang diceritakan kepadanya tentang peristiwa ghaib Israk dan Mikraj tanpa banyak soal tentang kebenarannya.
Asalkan khabar berita yang dibawa kepadanya datang dari Nabi Muhammad SAW, beliau akan membenarkannya. Oleh sebab itulah, beliau diberi gelaran al-Siddiq yang bererti yang membenarkan. (Muhammad Mutawalla al-Sya’rawi , 1981:110)
Adakah ini bermakna, suasana perbahasan ketika itu tenang daripada polemik?
NIZAM: Ringkasnya, suasana perbahasan pada zaman Rasulullah amat tenang daripada pertelingkahan pendapat khususnya dalam masalah akidah. Mereka menolak perdebatan dan perbahasan panjang tentang persoalan Ilahiyyat.
Rasulullah adalah sumber rujukan utama. Mereka juga menerima agama daripada riwayat yang benar dan athar yang diriwayatkan dari dalil orang adil dan thiqah (dipercayai) sehingga sampai kepada Rasulullah.
Mereka memahami apa yang diterangkan oleh Rasulullah dan memilih untuk berdiam diri dari berdebat tentang sifat-sifat Allah. Mereka juga tidak pernah membeza-bezakan sifat-sifat tersebut menjadi sifat zat dan sifat fi’l, melainkan mereka menetapkan sifat-sifat azali bagi Allah.
Mereka juga memutlakkan makna yang telah dimutlakkan Allah sendiri bagi diri-Nya, seperti wajah, tangan dan sebagainya dengan menafikan kesamaan sifat itu dengan makhluk. Mereka menetapkannya tanpa tasybih dan mensucikannya tanpa ta’til.
Mereka bersepakat mengakui sifat-sifat Allah sebagaimana diajar dan tidak ada yang pernah mengambil cara-cara ilmu Kalam dan juga falsafah. (Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il al-Asy’ari, 1999:8 & 9)
Apakah pula pendekatan mengajar tauhid selepas wafatnya Nabi SAW?
NIZAM: Setelah wafatnya Rasulullah khususnya pada era tiga kurun awal hijrah, pendekatan yang digunakan masih bersesuaian dengan kaedah yang ditinggalkan oleh baginda.
Kaedah pengajaran ini lebih dikenali dengan kaedah salaf, iaitu kaedah yang digunapakai oleh golongan terkemudian dalam mengajar tauhid kepada masyarakat. Istilah salaf ini mula masyhur ketika mana berlaku persaingan pemikiran dan perdebatan aliran-aliran ilmu kalam dalam soal usuluddin atau dasar-dasar agama berhubung dengan persoalan akidah.
Ramai dalam kalangan mereka cuba mengaku diri sebagai golongan salaf dan cuba mempertahankan Islam dari serangan pemikiran ahli bidaah. (Muhammad bin Aman al-Jami’, 1991:57)
Pada zaman kemudiannya, ketika mana unsur falsafah dan ilmu kalam meresap masuk dalam ilmu tauhid, pendekatan pengajaran tauhid turut menggunakan kaedah falsafah dan ilmu kalam khusus dalam menjawab penyelewengan yang timbul dalam aspek akidah.
Pada masa yang sama, golongan salaf terutamanya ahli hadis membuat bantahan terhadap kaedah yang diguna pakai oleh ahli Ilmu Kalam. Mereka berpendapat, al-Quran dan al-Sunnah sudah memadai dalam mencari jawapan terhadap persoalan akidah dan tidak perlu kepada dalil akal atau menggunakan kaedah falsafah.
Para sahabat dan tabien menutup rapat pintu ta’wil dalam soal Ilahiyyat misalnya ta’wilan dan tafsiran yang membawa kekeliruan dan salah faham tidak mendapat tempat di sisi mereka. Soalan yang berbentuk bagaimana dan kenapa adalah perkara yang dijauhi dan dianggap suatu perkara bidaah dalam hal Ilahiyyat. (‘Irfan Abd al-Hamid, 1967:126)
Kemudiannya, bangkit Ibn Taimiyyah (m.728H) yang merumuskan pendekatan Tauhid Tiga Serangkai iaitu rumusan tauhid berdasarkan kepada Tauhid Rububiah, Uluhiah dan Asma’ wa Sifat yang berteraskan fahaman kaedah salaf.
Bila pula munculnya tauhid berasaskan Sifat 20?
NIZAM: Pada zaman mutakhir, tatkala umat Islam diserang pemikiran akidahnya dan bercampur baur pemahaman akidahnya dengan unsur falsafah yang menyesatkan, muncul Muhammad Yusuf al-Sanusi (w.896H / 1490M) dengan pendekatan baru iaitu pendekatan Sifat 20 dalam kitabnya yang masyhur iaitu Umm al-Barahin.
Pendekatan ini tersebar luas sehingga ke nusantara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pendekatan sifat 20 ini dalam memahami akidah kemudiannya dikembangkan dalam bentuk terjemahan oleh ulama nusantara dalam kitab-kitab jawi atau juga dikenali sebagai kitab-kitab kuning.
Pada tahun 1757M. iaitu pada abad ke 18M. misalnya, Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin telah menterjemah serta mengubah suai kitab al-Sanusi yang bertajuk Umm al-Barahin yang membincangkan persoalan berkaitan dengan ajaran Sifat 20. Kitab tersebut kemudiannya dinamakan Bidayah al-Hidayah. (Kamarul Bakri bin Abd. Aziz, 1999:80 & 81)
Selepas itu beberapa kitab berkenaan dengan ilmu tauhid yang berasaskan kitab Umm al-Barahin ini telah dikarang. Di antaranya ialah Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid oleh Abdul Samad Palembani pada tahun 1764M di Mekah.
Pada masa itu juga, Nawawi Bentani yang berada di Mekah telah menyusun sebuah kitab syarah kepada Umm al-Barahin yang bertajuk Zari’at al-Yaqin. (C. Snouck Hurgronje, 1970: 271)
Pada abad ini juga Tok Syihabuddin dari Palembang turut mengembangkan ajaran Sifat 20 melalui kitabnya Aqidah al-Bayan. (Kamarul Bakri Abd. Aziz, op. cit.)
Pendek kata, aliran akidah yang berkembang di nusantara adalah berasaskan fahaman al-Asya’irah terutamanya berkenaan sifat 20 menurut huraian al-Sanusi dalam kitabnya Umm al-Barahin.
Kebiasaannya, para ulama kitab Jawi akan mengupas tentang sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah. Mereka membahagikan sifat wajib kepada 20 dengan pembahagian kepada empat kategori iaitu nafsiah, salbiah, ma’ani dan ma’nawiyyah berserta huraiannya. (Ibid.)
Ringkasnya, di sepanjang sejarah perkembangan akidah Islam dari sudut pendekatan pengajarannya, terdapat pelbagai kaedah yang diformulasikan oleh para sarjana Muslim yang diaplikasikan dalam masyarakat Islam pada zaman-zamannya.
Secara ringkas, terdapat tiga pendekatan yang menonjol iaitu pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan lanjutan dengan nama pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan pendekatan lanjutan rumusan berasaskan Sifat 20 atau Doktrin Sifat 20.
Malangnya perbezaan pendekatan itu mendorong sebahagian kita melabel manhaj yang lain sesat? Bolehkah?
NIZAM: Ketiga-tiga cara penyampaian akidah tauhid di atas sama ada melalui pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan Sifat 20 merupakan cara atau manhaj yang digunapakai dalam sejarah perkembangan ilmu penyampaian akidah tauhid.
Kesemua cara tersebut bermatlamat hendak mengenalkan Allah kepada masyarakat. Oleh itu, membuat tuduhan bahawa pendekatan sesetengah pihak sesat dan bidaah adalah tidak wajar. Isunya di sini adalah apa yang digunakan itu adalah satu bentuk pendekatan.
Matlamatnya tetap sama untuk menyeru manusia beriman kepada Allah. Berbalah dalam isu pendekatan hanya merumitkan keadaan dan menyebabkan masyarakat keliru dengan pegangan pendekatan yang digunakan.
Ahli Sunnah wa al-Jamaah bukan sahaja melarang kita membudayakan isu kafir mengkafir bahkan tidak menggalakkan kita sesat menyesatkan antara saudara seagama tanpa asas yang kukuh.
Malah kedua-dua tindakan itu hampir sama. Begitu juga, seandai sesetengah pihak menuduh Ibn Taimiyyah sesat dalam kaedahnya, maka banyak yang perlu disemak dalam kurikulum pendidikan negara di peringkat sekolah menengah dan universiti.
Begitu juga andainya pihak yang lain pula menuduh Sifat 20 itu sebagai bidaah, maka banyak pula kitab-kitab ulama nusantara yang masyhur di sisi orang Melayu wajib ditinggalkan.
Berbalah dan berselisih dalam hal pendekatan pengajaran ini haruslah dielakkan demi keharmonian masyarakat awam dalam memahami akidah Islam yang sebenar.
Sumber: Institut Al-Qayyim
30 Dec
SUARA mengatakan umat Islam mundur kerana agama dianuti, semakin lama semakin kuat berkumandang. Malah, ada kalangan umat Islam mengiyakan kenyataan itu tanpa berfikir panjang. Bukan saja mengiyakan, malah mempersoalkan hukum termaktub dalam al-Quran dan hadis sahih.
Penyakit kejahilan yang semakin kuat menyerang pemikiran umat Islam dan bukan Islam harus disekat segera. Sesungguhnya sebab kemunduran, kelemahan dan kejahilan umat Islam bukan disebabkan agama dianutinya tetapi kerana umat Islam tidak lagi berpegang kepada agamanya.
Adakah kerana umat Islam tidak berpegang kepada agamanya, bererti Islam sebagai agama harus dipersalahkan? Demi Allah yang menciptakan apa yang di langit dan di bumi, sama sekali Islam bukanlah penyebab kegagalan umat Islam.
Seorang doktor yang mendiagnos penyakit, kemudian memberi senarai ubat perlu diambil, tetapi jika pesakitnya tidak mendengar dan mengikuti arahan doktor, siapakah harus dipersalahkan apabila pesakit tidak sembuh. Adakah doktor yang dipersalahkan?
Islam sudah menyediakan manual untuk penganutnya sebagai panduan dan pengajaran tetapi jika penganut tidak mengikutinya, adakah Islam harus dipersalahkan?
Islam menyeru kesatuan tetapi umat Islam masih berpecah-belah. Islam menyeru persaudaraan, tetapi umat Islam masih lagi bermusuhan. Islam menyeru kepada keadilan, tetapi umat Islam masih lagi berlaku zalim.
Umat Islam perlu mengamalkan Islam yang sebenarnya, sentiasa berpegang kepada apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam perlu mencontohi ketaatan dan kefahaman umat terdahulu di kalangan sahabat dan tabiin menjalani kehidupan sebagai Muslim.
Jika umat Islam mengikuti seperti orang terdahulu amalkan, sudah pasti umat Islam tidak akan dimomokkan lagi dengan perkataan mundur, kegagalan dan kejahilan.
Semakin erat hubungan seseorang dengan agama, semakin baik keadaan dan budi pekertinya. Malah, hubungan erat ini akan membawa kepada kejayaan, penghormatan, kemenangan dan kemuliaan kepada sesiapa saja.
Islam sudah menerangkan segala aspek dan keperluan umat Islam dalam kehidupan mereka, seperti dikatakan oleh Abu Darda: “Tidak ada yang diabaikan oleh Rasulullah, sehingga burung yang mengepakkan sayapnya di langit, Baginda sudah mengajarkan kepada kita mengenai ilmunya.”
Lengkapnya Islam hinggakan hal berkaitan cara membuang hajat juga diajar dan diberi petunjuk. Salman al-Farisi seorang sahabat besar Rasulullah SAW pernah ditanya seorang musyrik adakah Rasulullah mengajarkan cara membuang hajat.
Kemudian Salman al-Farisi menjawab, “Ya, Baginda melarang kami menghadap kiblat ketika membuang hajat dan melarang kami membersihkannya dengan kurang dari tiga batu atau dengan tangan kanan, atau dengan kotoran kering atau tulang.”
Jika meneliti kembali sejarah pertembungan peradaban Islam dan peradaban lain, Islam unggul kerana hubungan umatnya dengan agama begitu kuat. Sebut siapa saja, Yahudi, Pagan, Rom, Majusi dan munafik, semuanya dapat dikalahkan malah ditawan hati mereka untuk memeluk Islam.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, kepemimpinan Baginda diteruskan Khulafa’ ar-Rasyidin. Pengganti Rasulullah SAW tetap meneruskan apa yang dimulakan Baginda tanpa ada sebarang tambahan mahupun pengurangan.
Islam semakin berkembang pesat dan tersebar ke seluruh dunia. Zaman ini adalah zaman kegemilangan Islam. Ilmu Islam tersebar ke seluruh pelusuk kota, ramai di kalangan bukan Islam mengambil manfaat daripada kegemilangan ini.
Ke mana saja umat Islam berada, di situlah peradaban besar dibina, dihormati dan digeruni oleh negara bukan Islam. Peradaban disulami keimanan, ilmuwan, teknologi dan kebendaan menjadi agenda utama. Peradaban dibina umat Islam ketika itu bukan peradaban materialistik mahupun kebendaan, tetapi peradaban menyatupadukan iman, ilmu, pembangunan dan akhlak.
Ketika itu umat Islam menjadi pemimpin dunia, di waktu itu juga umat Islam dihormati. Negara Islam adalah negara pertama, bukan negara ketiga seperti sekarang. Negara umat Islam adalah guru dan ikutan kepada negara lain.
Semua orang datang ke negara Islam untuk belajar di universiti disediakan. Bangsa Eropah yang dalam kegelapan ketika itu mempelajari bahasa Arab, ilmu Islam serta kaedah pembelajaran yang dicipta sarjana Islam.
Namun semua itu hanya tinggal kenangan. Umat Islam kini menghadapi masalah membabitkan kegagalan dan kemunduran. Semuanya apabila umat Islam menjauhkan diri dari Islam sebenar. Ketika kita menjauhi Islam, maka kita akan lemah, berpecah-belah, dan saling mementingkan diri.
Namun kita semua percaya umat Islam akan dihormati semula dan menjadi gemilang apabila kembali kepada Allah dan Rasul. Apabila masa itu tiba, kita percaya Islam akan mengatasi segala-galanya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, segera Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 55)
Sumber: Yussamir Yusof ( Berita Harian Online )
29 Dec
Disiplin, amal ibadat, zikir bantu ummah perangi cengkaman hawa nafsu
MENDEKATI detik terakhir penghujung tahun ini, sememangnya agak gementar mengimbas kembali catatan kealpaan diri sepanjang tahun. Orang mukmin yang jujur suka mengorek rahsia hatinya dengan mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung. Mereka merumuskan makna kejayaan dan peningkatan pencapaian sebenar bagi setiap tahun dalam kehidupan mengikut kacamata agama.
Sesungguhnya peningkatan agama bergantung dengan ibadat, peningkatan harta kerana pandai merancang dan berjimat, peningkatan ilmu kerana mengkaji, peningkatan akhlak kerana lemah lembut dan mengawal emosi, peningkatan dalam hubungan sesama manusia kerana membuang sifat sombong dan riak, peningkatan kesabaran hati kerana banyaknya musibah, peningkatan kualiti diri kerana disiplin yang kuat.
Kelemahan diri pula menjadi agenda yang paling penting untuk diinsafi setiap masa, misalnya ketika kita kekurangan harta akibat nafsu membeli-belah yang tinggi dan tidak pandai merancang. Sewaktu ditimpa surutnya cahaya di hati kerana malas beribadah dan meninggalkan ilmu. Kerasnya jiwa kerana jauh dari al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Berkurangnya kawan dan renggang ikatan persaudaraan kerana suka menambah musuh, takbur, menunjuk-nunjuk dan berdengki. Bertambahnya penyakit kerana banyak makan, malas, berehat dan berhibur secara berlebihan. Berkurangnya umur dan sedikitnya bekalan ke akhirat juga menunjukkan betapa ruginya manusia sepanjang tahun ini.
Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, kerana Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk sentiasa mengakui kelemahan diri melalui firman Allah yang bermaksud: “Orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (Surah al-Najm: 32)
Jangan sesekali menganggap diri sudah berjaya sebelum benar kepastiannya mengenai pintu syurga atau neraka yang akan dimasuki. Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia, banyak kemungkinan akan terjadi. Berubahnya hati dan turun naiknya iman, pasang surutnya amalan dan bertambah atau berkurangnya dosa dan pahala. Hakikatnya ramai yang menjadi tawanan hawa nafsu dan sedikit saja orang yang selamat. Layakkah kita menjadi golongan yang sedikit itu?
Suatu hari Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menziarahi gurunya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang sedang dipenjara dan difitnah musuh-musuhnya. Melihat keadaan gurunya itu beliau pun menangis. Ibnu Taimiyah berkata: “Apakah kamu menangis melihat keadaanku? Demi Allah, wahai anakku, aku bukan seorang tawanan. Sesungguhnya orang yang menjadi tawanan itu sebenarnya adalah orang yang menahan hatinya dari ikatan Tuhannya membiarkan hawa nafsunya menawannya.”
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Terangkanlah kepadaku akan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya.” (Surah Al-Furqan: 43)
Mulakan muhasabah ini dengan melihat sejauh mana kekuatan hawa nafsu mempengaruhi diri. Betapa hebatnya cengkaman hawa nafsu terhadap jiwa raga kita sehingga kedudukannya boleh jadi setaraf dengan Tuhan dalam pandangan manusia yang lalai. Bahkan Baginda pernah memberi nasihat kepada seorang sahabat supaya berwaspada dengan jerat nafsu.
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Rabi’ah, mintalah kepadaku”. Aku berkata: “Wahai Rasulullah biar aku fikirkan sebentar. Lalu aku mengingat-ingat dunia serta kefanaannya sehingga aku berkata: “Aku tidak akan meminta kecuali akhirat. Kemudian aku mendatangi Baginda SAW dan berkata: “Aku meminta supaya aku boleh menemanimu di syurga. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Rabi’ah adakah yang selain dari itu? Aku menjawab: Itu saja. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi: Berjanjilah untuk kamu mengendalikan hawa nafsumu dan banyakkan sujud (nescaya kamu akan menemaniku di syurga).” (Muslim)
Hawa nafsu boleh dilemahkan jika manusia berdisiplin memeranginya. Satu kata kunci untuk kejayaan adalah disiplin. Ia wujud dalam sistem ibadat kita, solat lima waktu dan solat sunat, puasa, haji, zakat dan sedekah. Zikrullah dengan terang ataupun tersembunyi, memelihara al-Quran sentiasa hidup di dalam hati dan melaksanakan sunnah Rasul adalah disiplin. Mengisi masa dengan amal, menguasai dunia demi akhirat memerlukan disiplin yang tinggi.
Ibnu Al-Qayyim pernah berkata: “Wahai orang yang lemah semangat! Sesungguhnya di atas jalan ini Nuh menjadi tua, Yahya dibunuh, Zakaria digergaji, Muhammad diseksa dan anda pula inginkan Islam datang dengan mudah di bawah kakimu?”
Selepas meneliti kuasa hawa nafsu dalam diri dan mengakui cengkamannya yang melemahkan amal salih maka langkah yang kedua ialah menentukan azam baru untuk memerangi, merancang jalan mana yang mahu ditempuhi, lebih tajam membuat siasat perang dan berwaspada dengan muslihat musuh setiap saat.
Musuh manusia yang paling licik berada di sekelilingnya. Ia tidak memilih apakah orang itu alim atau jahil, ahli ibadat atau ahli maksiat, mukmin atau kafir. Syaitan tetap syaitan, semua orang dipengaruhi syaitan masing-masing. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu mengalir di dalam tubuh anak Adam laksana mengalirnya darah dan sesungguhnya aku bimbang dia akan menimbulkan di dalam hati kamu sesuatu yang jahat.” (Al-Bukhari dan Muslim)
Setiap konflik yang muncul dalam pergaulan manusia kerana dengki, dendam dan sombong, perselisihan suami dan isteri, terputusnya ikatan sanak saudara, anak menderhaka, orang tua tidak amanah, orang kaya tamak, pemimpin zalim serta lalai dan kufurnya manusia terhadap Allah SWT, semua itu berpunca daripada hasutan syaitan akibat diri menjadi tawanan nafsu.
Orang mukmin sentiasa mengingati diri mereka supaya berlindung dari gangguan syaitan, mengenali bahawa kejahatannya itu adalah hasil kerja syaitan dan cepat-cepat kembali bertaubat dan berwaspada supaya tidak tertipu lagi dengan kenikmatan yang dijanjikan syaitan. Oleh kerana sifat dosa adalah nikmat sesaat manakala pahala pula bersifat susah, perit dan seksaan maka ramailah yang kecundang dalam memilih.
Tetapi bagi orang mukmin, seksaan melawan hawa nafsu dan syaitan itu sedikit demi sedikit berubah menjadi nikmat jiwa yang paling bernilai yang tidak pernah dirasai orang fasik lagi lalai. Nikmatnya seakan-akan di dalam syurga walaupun mereka masih berada di dunia lagi.
Ibnu Taimiyah berkata: “Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, sesiapa yang belum masuk ke dalamnya dia tidak boleh masuk syurga akhirat. Murid-muridnya bertanya: “Apakah syurga dunia itu? Beliau berkata: “Syurga mengenal Allah, mencintai-Nya, merindu dan berlemah-lembut kepada-Nya.”
Penulis ialah Mufti Perlis
Sumber: Dr. Juanda Jaya ( Berita Harian Online )
27 Dec
Hari itu tampak tenang. Tiada angin yang mengigit kesejukan, tiada salji yang lewat turun. Suhu di sekitar nampak selesa di sekitar 0 ke -5, ‘Teplo’ orang Russia kata, suam kata kita. Kebetulan juga hari tersebut merupakan hari terakhir ‘Cycle Infection’, maka kami pun mengambil keputusan untuk solat jumaat di Masjid Kirovsky.




Ada jarak lebih kurang 15 minit antara Hospital Infection dengan Masjid Kirovsky. Perjalanannya tidak sukar meski kadang-kadang ada salji setinggi buku lali dan anjing-anjing liar berkeliaran. Kami bergelak ketawa di sepanjang perjalanan, berseloroh sambil mengambil gambar satu atau dua dikelilingi pokok-pokok yang beku layak kristal rupanya.
Tidaklah lama kemudian, kami melihat kubah mini biru lembut mengamit pemandangan, dilitupi sebahagiannya dek salji. Beberapa perkara tidak boleh terlepas dari pandangan kami, ada longokan batang-batang kayu di hadapan, sebukit tanah dilitupi salji. Tingkap-tingkap aluminium di tingkat satu melegakan saya, alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya ada persediaan masjid in menghadapi musim sejuk.
Kami membuka pintu perlahan-lahan, ragu-ragu kalau tiada solat jumaat di situ. Kami melangkah masuk dan terus disambut haba hangat dari pemanas, dialu-alukan zikir jemaah yang berada di dalam. Segala-galanya kelihatan sangat sederhana, masih banyak dalam proses penyempurnaan. Ada banyak wayar berjuntaian di atas siling sambil mentol-mentol kuning lembut menyinari dalam masjid. Masih belum ada pemanas radiator cuma deruman pemanas gas, percikan kayu api di bakar menjadi peneman jemaah hari itu. Rata-rata kebanyakan jemaah terdiri daripada orang-orang tua dari sekitar penempatan. Barangkali kebanyakan orang muda solat di ‘Masjid Lenkoransyaya’ di tengah bandar. Lebih tersedia dari segi fasilitasinya.
Kami duduk bersila menyertai yang lain untuk mendengar Imam Rustam menyampaikan Khutbah Jumaat. Imam Rustam mengenakan jubah hijau dengan sulaman 2 bunga berwarna merah di tengah-tengah jubahnya. Mukanya yang cerah, senyumannya yang ikhlas nyata menarik kami untuk setia mendengar. Khutbahnya punya nada yang lebih tegas berbanding khutbah Imam di Masjid Lenkoranskaya yang biasa kami dengar. Lebih banyak penekanan akidah dalam khutbahnya. Beliau mengingatkan sungguh-sungguh untuk membezakan amalan kita ketika melalui Tahun Baru dan Krismas, amalan-amalan yang dibuat mengikut-mengikut penganut agama lain boleh menjejaskan akidah kita, malah terus-terus jelas melanggar syariat. Beliau turut menegur ibu bapa yang membawa masuk budaya-budaya sambutan tersebut sekaligus menjadikan seolah-olah satu kebiasaan yang tidak lansung nampak salah di hati anak-anak.
Usai solat kami menolak-nolak untuk bercakap dengan Imam Rustam. Bukan berebut tetapi takut mungkin kerana ketegasannya ketika solat jumaat sedikit mengentarkan kami (aduhai hati orang Melayu). Namun, setelah beliau menegur kami, nyata beliau sangat ramah. Kami kemudiannya berbual-bual tentang perkembangan pembinaan Kirovsky Islamic Centre. Butir demi butir beliau menerangkan tentang masalah duit yang di alami, pekerja yang tidak dapat digaji, pemanas yang perlu dipasang secepat mungkin dan air yng perlu dibawa masuk. Kira-kira lebih daripada 200 ribu ruble (23 ribu ringgit, 4600 euro, 6700 USD) diperlukan dalam jangka masa terdekat bagi pemasangan radiator pemanas lebih-lebih lagi mengambil kemungkinan tiba-tiba ribut salji akan datang kembali ke Volgograd, lagi 300 ribu ruble (33 ribu ringgit) lagi diperlukan membayar upah pekerja.
Setelah berbual-bual ringkas, kami mengambil gambar kenang-kenangan bersama-sama. Di pertengahan jalan keluar, kami menolong jemaah yang lain mengangkat masuk kayu-kayu api yang telah dipotong ke dalam masjid. Hari itu kami akhiri dengan penuh senyuman, doa dan semangat agar Kirovsky ini dapat tersergam lebih seperti masjid, memainkan fungsinya menyuburkan syiar Islam di sini.
DiNaungi Ilahi
Dilitupi salji
Dipeluk semangat Keimanan
Moga Kau subur Nanti
Dapat menyemai benih-benih Islam
Agar tumbuh mekar pohon Ad-Din
Yang membuahkan keberkatan untuk dunia
Nukilan: Saudara Fadly Khairie (Sumber)
27 Dec
Sikap fanatik kepada sesuatu pegangan atau jumud pemikiran boleh menatijahkan beberapa akhlak yang buruk. Antaranya, ia menyebabkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap orang yang berbeza pendapat dengannya. Ini seperti menuduh orang yang berbeza pendapat dengannya itu sebagai jahat, musuh dan seumpamanya.
Bahkan lebih buruk daripada itu mereka yang berpenyakit fanatik ini sering cenderung membuat fitnah dan tuduhan palsu kepada orang lain apabila mereka kehilangan hujah dan alasan bagi mempertahankan apa yang mereka pegang. Mereka akan mengada-adakan tuduhan palsu agar orang ramai terpengaruh dan tidak mendengar hujah pihak yang berbeza dengan mereka.
Di Malaysia umpamanya, apabila ada pihak yang menyatakan ‘tiada dalil yang sahih yang menyatakan dikhususkan malam Jumaat untuk membaca Surah Yasin’, maka golongan yang tidak dapat menerima perbezaan ini membuat cerita bohong kepada orang ramai kononnya ‘puak tersebut menyatakan haram membaca Yasin’.
Tentu mereka yang terpengaruh dengan tuduhan ini akan marah dengan kenyataan yang seperti itu. Mana mungkin haram untuk membaca Surah Yasin sedangkan itu salah satu surah dalam al-Quran?! Lihat bagaimana mereka mengubah kenyataan dan fakta sehingga orang menjadi keliru dan bersalah sangka terhadap maksud asal kenyataan.
Demikian juga apabila ada yang membuat kenyataan menyatakan ‘tiada sebarang solat khusus untuk malam Jumaat’. Mereka yang pantang berbeza pendapat itu memberitahu orang ramai ‘puak itu kata haram solat sunat malam Jumaat’. Padahal maksud tiada solat khusus itu ialah tiada solat khas sempena malam Jumaat sahaja, adapun solat-solat sunat yang biasa tiada halangan.
Ini disebut oleh baginda Nabi s.a.w: :
“Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa” (Riwayat Muslim).
Sikap ini akan terserlah buruknya apabila mereka pantang mendengar pandangan atau kritikan terhadap aliran mazhab yang mereka pegang sekalipun dalam keadaan yang ilmiah. Ada orang yang marah apabila saya memberitahu pandangan ulamak dahulu bahawa tempoh mengandung mungkin sehingga dua tahun, atau empat tahun, atau enam tahun atau lebih daripada itu tiada asas yang kukuh.
Katanya, ‘dia siapa hendak berbeza dengan ulama-ulama dahulu yang lebih alim dan warak?! Dia lebih alim daripada merekakah?!”. Padahal soal tempoh paling lama mengandung yang disebutkan itu memang tiada nas yang sahih daripada al-Quran ataupun Sunnah. Sementara yang ada hanyalah andaian beberapa ulama dahulu berasaskan khabar yang mereka dengar dari beberapa wanita.
Wanita–wanita itu mungkin tidak berbohong, tetapi sangkaan mereka bahawa mereka mengandung itu tidak benar. Apatah lagi ketika itu ujian kehamilan (pregnancy test) seperti sekarang belum wujud. Ahli perubatan moden menyatakan tempoh mengandung secara puratanya 266 hari atau sehingga 280 hari. Untuk sampai sehingga dua atau tiga atau empat tahun tidak menepati perkiraan saintifik.
Justeru itu, seorang tokoh saintis muslim Dr Muhammad ‘Ali al-Bar menyifat kenyataan ahli fekah silam tentang tempoh mengandung sehingga tiga atau empat tahun sebagai riwayat yang khurafat (tiada asas) (lihat: ‘Umar Ghanim, Ahkam al-Janin fi al-Fiqh al-Islami, m.s 74, Beirut: Dar Ibn Hazm).
Apatahlagi dakwaan itu boleh mempunyai kesan yang jelas dalam kehidupan. Umpamanya, dengan berpegang kepada pendapat yang menyatakan tempoh mengandung sehingga empat tahun membolehkan seorang wanita yang kematian suami dan melahirkan anak empat tahun kemudian mendakwa dia mengandung empat tahun anak arwah suaminya.
Seterusnya menuntut harta pusaka. Maka pengkajian sains moden patut didahulukan. Menolak pendapat ulama yang lepas bukanlah bererti menghina mereka, sebaliknya berpegang kepada kajian dan ilmu. Namun golongan fanatik menganggap ini keluar mazhab dan tidak beradab.
Dalam sejarah perkembangan ilmu umat Islam berbeza pendapat dan kritikan ilmiah tidak pernah dianggap sebagai dosa dan jenayah melainkan mereka yang fanatik. Contoh al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) yang merupakan jaguh ilmu hadis yang agung dalam Islam ketika mengulas tentang al-Imam al-Ghazali r.h, beliau menyebut: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”.
Kemudian al-Zahabi mengulas berbagai perkara mengenai al-Imam al-Ghazali, antara katanya:
“Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan. Sabda Nabi s.a.w: sesiapa yang berpaling dari sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku”. (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 19/339).
Ini bukan permusuhan tetapi tugas kesarjanaan yang dilakukan oleh al-Imam al-Zahabi.
Tokoh ilmuwan besar al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (meninggal 463H) ketika mengulas pendapat tabi’i terkenal Mujahid bin Jabr mengenai maksud ayat 22-23 dalam Surah al-Qiyamah, beliau menyanggahi pendapat Mujahid bin Jabr. Padahal Mujahid merupakan anak murid sahabah ilmuwan besar dalam bidang tafsir iaitu Ibn ‘Abbas.
Kata Ibn ‘Abd al-Barr :
“Tetapi pendapat Mujahid ini ditolak dengan sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w, perkataan-perkataan sahabah dan mijoriti salaf. Pendapat Mujahid ini di sisi Ahl al-Sunnah adalah pendapat yang ditinggalkan. Apa yang menjadi pegangan Ahl al-Sunnah ialah yang sabit daripada Nabi mereka mengenai perkara tersebut (maksud ayat berkenaan). Tiada di kalangan ulama melainkan boleh diambil atau ditolak pendapatnya, kecuali RasululLah s.a.w” (Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Tamhid, 7/157, Morocco: Wizarah ‘Umum al-Auqaf).
Ini bukan bererti menghina Mujahid ataupun gurunya Ibn ‘Abbas.
Bahkan kita dapati dalam sejarah ilmuwan, pandangan sahabat Nabi s.a.w ada yang dikritik. Bukan tanda benci atau tidak hormat, tetapi tanggungjawab keilmuwan. Umpamanya al-Hafizd Muhammad bin Tahir al-Qaisarani (meninggal 507H) ketika menceritakan ketokohan sahabat Nabi yang mulia lagi dicintai, ‘Abd Allah bin Mas‘ud, beliau mengulas :
Sesungguhnya beliau (‘Abd Allah bin Mas‘ud) adalah antara tokoh sahabah, jaguh ilmuan dan pemimpin kepada hidayah. Namun begitu beliau memiliki qiraat dan fatwa yang tersendiri yang disebut dalam kitab-kitab ilmu. Setiap imam itu boleh diambil dan ditinggalkan perkataannya, kecuali imam golongan ahli taqwa, yang benar lagi diakui kebenarannya, yang amanah lagi maksum (RasululLah) selawat dan salam ke atasnya. Alangkah hairannya, apabila seseorang alim menjadikan agamanya mengikut diri seseorang imam dalam setiap apa yang diucapkan, sedangkan dia tahu wujudnya nas-nas nabawiyyah (sunnah) yang menolak mazhab imamnya.Tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH jua”. (Muhammad bin Tahir al-Qaisarani, Tazkirah al-Huffadz, 1/16, Riyadh: Dar al-Sumai’i).
Dalam dunia ilmu, berbeza pandangan tidak pernah dianggap jenayah. Namun golongan yang fanatik selalu mencari jalan permusuhan dengan mengandaikan sesiapa yang berbeza dengan tokoh tertentu maka dia menghina dan tidak beradab. Selagi pandangan itu diberikan dalam lingkaran ilmu dan perbincangan ilmiah tanpa maki dan cerca, maka itu adalah dunia ilmu yang patut diberikan haknya.
Jangan kerana kita begitu rakus agar semua cakap kita didengari apabila ada orang berbeza dengan kita, dia dianggap musuh. Marilah kita belajar menilai pandangan dan menghormati perbezaan. Berbeza bukan bererti menghina. Kata al-Imam al-Zahabi juga:
“Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali RasululLah s.a.w. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak wajar untuk kita melupai kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan makrufnya. Bahkan kita beristighfar untuknya dan memaafkannya” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 18/157).
Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mengemudi Bahtera Perubahan Minda)
Recent Comments