Muslims In Volgograd

Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality

Archive for the ‘4. Tazkirah’ Category

Mazhab Khawarij adalah merupakan mazhab Aqidah yang paling lama dan terawal muncul selepas Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Bahkan kemunculan mazhab Khawarij adalah lebih dahulu daripada Syi’ah.

Kalimah Khawarij di dalam bahasa Arab : bermaksud “Mereka yang Keluar” dan hal ini daripada sudut Istilah merujuk kepada kefahaman golongan yang keluar daripada ketaatan kepada Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu serta menolaknya.
Ajaran Khawarij ini sebenarnya telah muncul semenjak di zaman rasulullah lagi apabila mereka ini dikenali sebagai kaum pemberontak dan penentang yang menganggap hanya mereka sahaja yang benar sedangkan orang lain semuanya salah.

Hal ini berlaku berdasarkan riwayat Abu Said Al-Khudri radiallahuanhu yang menceritakan bahawa ada seorang lelaki yang berkata kepada rasulullah sewaktu baginda membahagikan barangan kepada para sahabat supaya baginda berlaku adil. Maka ditegur oleh baginda dengan berkata : “Celakalah kamu bukankah aku ini orang yang paling bertaqwa kepada Allah ?” Maka Khalid Al-Walid ingin membunuh lelaki itu tetapi ditahan oleh Rasulullah dan baginda kemudian mengatakan bahawa daripada keturunan lelaki ini akan lahir golongan yang akan membaca Al-Quran tetapi bacaan itu tidak pun melewati kerongkong mereka dan agama ini akan terlepas daripada diri mereka seperti terlepasnya anak panah dari busurnya.

Menurut Kitab-kitab Firaq (perpecahan umat) awal kemunculan Khawarij secara rasmi ialah semasa zaman Amirul Mukminin Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu sewaktu terjadinya Majlis Tahkim bersama dengan Muawiyah radiallahuanhu. Mereka berkumpul disuatu tempat yang disebut Harurah (sebuah kawasan di daerah Kufah) dan membantah perlaksanaan Majlis tersebut kerana menganggap ianya membelakangi Kitab Allah dan hukum Allah swt.

Namun hakikatnya itu bukanlah punca sebenar mereka keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu.

Mereka juga sebelum kemunculan secara rasmi telah bertanggungjawab kepada beberapa siri fitnah dan kejahatan seperti pembunuhan Khalifah Utsman bin Affan radiallahuanhu. Setelah Utsman dibunuh, mereka kemudian bersembunyi ke dalam pasukan dan penyokong Ali bin Abi Tolib untuk mengelakkan diri mereka daripada diburu dan dibunuh balas oleh Muawiyah radiallahuanhu yang memiliki hubungan kekeluargaan dengan Khalifah Utsman bin Affan.

Pembunuh Utsman adalah tidak diketahui kerana jumlahnya ramai dan apabila Ali bertanya kepada golongan Khawarij ini siapakah yang membunuh Utsman maka ribuan manusia daripada penyokong Khawarij ini mengaku telah membunuh Utsman lalu hal itu menyebabkan Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu menangguhkan usaha untuk melakukan Qisos ke atas Utsman sehingga menyebabkan ketidak puasan hati di sisi Muawiyah dan juga ramai sahabat yang lain.

Akhirnya terjadilah perang siffin kerana perbezaan pendapat dan juga kerana masing-masing pasukan diapi-apikan oleh golongan munafiqin (seperti kaum Khawarij dan Abdullah bin Saba’ daripada Syiah). Kemudian masing-masing pihak mengirim utusan untuk berunding maka terjadilah perdamaian antara kedua belah pihak dan Majlis Tahkim.

Melihat hal ini orang-orang Khawarij menjadi bimbang bahawa dengan perdamaian di antara Ali dan para sahabat seperti Muawiyah akan menyebabkan mereka ditangkap dan diburu kerana telah membunuh Utsman bin Affan radiallahuanhu maka akhirnya mereka pun melarikan diri dan keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib dan menubuhkan pasukan mereka sendiri untuk menyelamatkan diri.

Mereka juga kemudian membuat perancangan untuk membunuh para pemimpin Islam seperti Khalifah Ali bin Abi Tolib dan Muawiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain sahabat radiallahuanhum tetapi hanya Ali yang berjaya di bunuh sewaktu solat subuh di masjid.
Khawarij menafsirkan Kitab Al-Quran secara zahir.

Mereka menolak tafsiran Al-Quran oleh para sahabat dan memahami Islam secara hukum zahir dan mengambil lafaz-lafaz Al-Quran secara zahir ayat. Hal ini menyebabkan mereka tersesat dan ditambah pula oleh sikap ta’asub mereka kepada diri mereka dan ibadah mereka yang tersangat banyak melebihi ibadah para sahabat menyebabkan mereka memperendahkan para sahabat rasulullah dan tidak mengambil hadis yang bertentangan dengan kefahaman dan tafsiran mereka.

Golongan Khawarij kemudian berkumpul serta berpusat di Nahrawan dan melantik Imam dan ketua perang mereka sendiri serta menubuhkan pasukan ketenteraan dan jamaah mereka dengan memiliki Imam solat, tukang azan dan mendirikan insititusi agama yang diharapkan dapat mengatasi ajaran Islam yang dikuasai oleh para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam.

Mereka mengkafirkan sejumlah besar para sahabat, khalifah-khalifah Islam dan umat Islam yang melakukan dosa besar serta maksiat pada pandangan mereka. Iman di sisi mereka ialah tetap dan tidak boleh berkurang dan jika berkurang pada seseorang kerana maksiat maka orang itu di sisi mereka telah menjadi kafir. Dakyah mereka sangat merbahaya sehingga mengakibatkan ramai para sahabat telah ditangkap dan dibunuh kerana pada anggapan mereka para sahabat rasulullah telah menjadi murtad disebabkan mereka tidak sefahaman dengan kepercayaan Khawarij.

Pokok seruan Khawarij ialah seperti berikut :

1) Kaum muslimin yang melakukan dosa besar adalah kafir
2) Al-Quran ditafsirkan menurut lafaz zahir
3) As-Sunnah tidak diterima sebagai hujah kerana nabi boleh tersalah dan tersilap dan para sahabat baginda tiada kelebihan bahkan kaum yang sesat
4) Pemimpin atau Imam boleh diangkat daripada sesiapa sahaja tidak semestinya daripada kaum Quraisy sebaliknya boleh jadi daripada hamba dan bahkan daripada kaum wanita.
5) Para sahabat yang terlibat di dalam perang Jamal, menerima majlis Tahkim ialah kafir.

Tokoh-tokoh utama Khawarij ialah Abdullah bin Wahhab ar-Rasyidi , Urwah bin Hudair , Mustarid bin Sa’ad , Hausarah al-Asadi , Quraib bin Maruah , Nafi’ bin al-Azraq , Abdullah bin Basyir , Najdah bin Amir al-Hanafi yang mana setiap daripada mereka ini kemudian mempunyai pengikut dan menghasilkan cabang daripada ajaran Khawarij yang tambah menyesatkan dan menyeleweng daripada Islam yang lurus.

Sehingga kini sebilangan kecil Mazhab Kahwarij masih wujud di dunia Islam seperti kelompok Ibadi di Negara Oman, Zanzibar, dan Maghrib walaubagaimanapun mereka menolak untuk dikenali sebagai Khawarij.

Kesimpulannya Imam Al-Shahrastani menyatakan bahawa sesiapa yang keluar memberontak daripada Imam yang sah dilantik oleh jamaah umat Islam ialah Khawarij tidak kira apakah di zaman sahabat, tabien atau selepas mereka selama wujud Imam-imam yang sah. (Lihat : Kitab Al-Milal Wa Al-Nihal, Jilid 1, ms. 101)

Golongan salaf pula menjelaskan bahawa Khawarij ini ialah golongan yang beramal di dalam Islam menurut pendapat mereka sendiri dan mengambil ayat-ayat zahir di dalam Al-Quran tanpa merujuk kefahaman salaf soleh dan penafsiran rasulullah serta menolak hadis rasulullah dan tafsiran agama oleh para sahabat baginda.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada mereka.

Sumber: http://ustaz.blogspot.com/

Oleh Dr Rumaizuddin

Bab ini membicarakan panduan kebangkitan Islam. Menurut al-Qaradawi kebangkitan Islam perlu mempunyai kematangan dan anjakan paradigma ke arah yang lebih baik. Di samping itu, beliau juga menggariskan ciri-ciri pendakwah.

Kebangkitan Islam yang Diinginkan

Sejak bermulanya semarak kebangkitan Islam pada awal 70-an dan 80-an, al-Qaradawi sentiasa memberi bimbingan kepada generasi muda Islam mengenai kebangkitan Islam dengan memberi pandangan dan ijtihad gerakan.

Beliau juga melibatkan diri dalam proses ekonomi Islam dengan menjadi ahli penasihat kepada Bank Faisal dan institusi-institusi kewangan lain. Beliau menjelaskan antara penyakit umat Islam yang berlawanan dengan sifat fitrah manusia ialah al-Ghalu (fanatik) kerana perjalanannya tidak akan panjang serta mengabaikan hak-hak orang lain.  

Al-Qaradawi mengakui bahawa beliau sentiasa mengambil berat  tentang masalah kebangkitan Islam yang telah menjadi isu utama dalam penulisannya lantaran kepentingan masa kini serta masa depan umat Islam. Keperluan ini amat mendesak untuk memastkan kebangkitan ini tidak melemahkan dan  tidak melencong dan tidak menyimpang. Kebangkitan ini tidak seharusnya tergendala di tengah jalan. Oleh itu, beliau menggariskan sepuluh langkah menuju kematangan kebangkitan Islam atau membimbing kebangkitan Islam dari zaman kekeliruan kepada pencerahan. Sepuluh langkah yang diutarakannya ialah :

  1. Dari format dan simbol kepada hakikat dan “sabstance”

      Ada di antara manusia yang memerhatikan aspek luaran yang bersifat formaliti daripada isi kandungan, hanya mementingkan bentuk bukan pada hakikat. Seolah-olah yang penting adalah memanjangkan janggut, memendekkan pakaian, membawa siwak, mengharamkan semua jenis lagu dan mewajibkan pemakaian purdah untuk wanita. Oleh itu, umat Islam perlu mencurahkan perhatiannya kepada substansi dan roh ajaran Islam daripada format dan bentuk. Islam sebagai akidah substansinya adalah tauhid, sebagai ibadat substansinya adalah keikhlasan, sebagai tuntutan moral substansinya adalah kasih sayang, sebagai syariat substansinya adalah keadilan, sebagai peradaban substansinya adalah keseimbangan. Maka sesiapapun yang menghilangkan unsur-unsur substansi tersebut turut menghilangkan substansi Islam walaupun ia berpegang kuat kepada simbol dan bentuk tersebut. Al-Qaradawi membawa contoh golongan yang suka kepada pengetahuan teori semata-mata, terlalu banyak bergelut dengan hal yang mengundang perbezaan daripada yang menjadi kesepakatan dalam topik keimanan kepada Allah. Seolah-olah yang harus dilakukan oleh seseorang manusia agar memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah bagaimana ia menghafal pelbagai istilah dan teori tersebut.Oleh itu, beliau menyeru supaya hanya ibadat hati yang perlu didambakan. Mereka perlu mencurahkan usaha untuk meraih hal itu dengan cara beriman, bertawakal dan mengharap rahmat-Nya. Menurutnya, banyak pendakwah Islam melupakan aspek ini  yang merupakan substansi agama serta bahagian terpenting daripada keimanan.Mereka lebih mementingkan perbuatan kasar yang dilakukan oleh tubuh badan.Hal semacam itu memang penting tetapi ia tidak bermakna apabila tidak disertai dengan perbuatan hati. Padahal perbuatan hati ini merupakan asas mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. 

   2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan

      Di antara sikap negative yang perlu dihindari  ialah bangga dengan sejarah lampau tanpa mengubahnya dalam bentuk tindakan demi memperbaiki keadaan masa kini dan mengembangkannya ke arah yang lebih baik. Membicarakan sejarah masa lalu adalah baik selagi ia mendorong untuk terus memacu kejayaan itu. Kita harus mencipta kejayaan dan tidak harus hanya berbangga dengan sejarahnya sahaja. Termasuk dalam sikap ini juga ialah tenggelam dalam kenangan pahit lalu tidak melakukan usaha positif untuk mengatasinya atau mengatasi kemungkinan berulangnya tragedi yang sama, membicarakan kesalahan orang lain, perdebatan yang tidak sihat dalam persoalan yang tidak memberi apa-apa faedah selain kesombongan diri dan membuang waktu. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk melakukan amalan yang lebih baik dan memiliki matlamat dan tujuan yang jelas. Orang Islam tidak pernah hidup tanpa tujuan serta tidak melakukan sesuatu secara melulu. Kita harus menentukan jalan untuk menuju matlamat tersebut sesuai dengan keadaan dan kemampuan yang kita miliki. Al-Qardawi mengkritik golongan yang mencurahkan perhatian utama kepada bidang politik semata-mata dengan melupakan  bidang pemikiran, pendidikan dan sosial. Begitu juga golongan yang hidup di menara gading di dalam dunia teori yang idealistik dan tidak pernah turun ke medan masyarakat untuk bertindak. Begitu juga anggapan tentang satu-satunya perbuatan yang terbaik adalah bidang ketenteraan melawan musuh.
      
   3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.

      Seorang muslim pasti dapat mengawal perasaan dan meletakkan akal pada tempatnya. Ia berfikir secara rasional dan ilmiah,ia tidak bersikap ekstrem dalam mencintai dan membenci, tenggelam dalam dunia khayalan dan kecenderungan untuk bergantung kepada niat semata-mata tanpa berusaha untuk memerhatikan perkara yang benar. Manifestasi sikap emosional ini juga adalah sikap melupakan sunnatullah yang berlaku ke atas alam dan kehidupan manusia, berlebih-lebihan dalam menggambarkan sesuatu baik yang bersifat material ataupun kerohanian.Oleh itu, gerakan Islam perlu bangun dalam tradisi ilmiah dan perencanaan masa depan. Gerakan Islam perlu membebaskan diri daripada kecenderungan emosional dan apologetik kepada rasional, objektif dalam menilai sesuatu aktiviti, memahami realiti dan sejarah dalam menentukan sesuatu keputusan. Antara ciri-ciri ilmiah ialah melihat segala sesuatu kejadian dan perkataan secara objektif tanpa terpengaruh dengan identiti pelakunya, menghormati kepakaran seseorang dalam bidangnya, mampu melakukan muhasabah diri dan mengakui kesalahan yang terlanjur serta berusaha  mengambil pengajaran daripadanya dan menghormati adab perbezaan pendapat. OIeh itu, beliau menyeru agar semangat ilmiah terus subur dalam gerakan Islam dan menjadikan pola berfikir  berdasarkan ilmu aspek yang dominan dalam semua aspek kehidupan mereka. Pandangan ilmiah dijadikan sebagai ukuran penentu dalam mengeluarkan pandangan dan keputusan gerakan. Orang yang beriman hidup dalam keadaan keyakinan, menolak perasaan sangkaan dan mengikut taklid buta atau sikap gaya jumud.  

   4. Dari orientasi masalah cabang dan remeh menuju masalah pokok dan utama
      Menurut al-Qaradawi perkara utama gerakan Islam kini ialah bidang pemikiran dan kebudayaan, bidang pendidikan dan kaderisasi. Pada hematnya, ramai aktivis gerakan Islam menyibukkan diri dalam perkara-perkara sunat dan larangan yang bersifat makruh sehinggakan tidak ramai yang menitikberatkan perintah yang bersifat fardu atau larangan-larangan yang bersifat haram. Orang Islam perlu memperuntukkan fikiran dan waktu untuk melaksanakan perkara-perkara yang wajib dahulu, barulah amalan sunat. Dalam ketentuan wajibpun, ia harus memilih antara yang paling wajib, wajib sahaja dan seterusnya. Antara kesilapannya ialah bersikap keras dalam masalah sunat sehingga menganggapnya sebagai wajib serta mengutamakan ibadat sunat daripada ibadat fardu. Gerakan Islam perlu keluar dari lingkungan persoalan khilafiyah yang mengandungi potensi polemik kepada persoalan-persoalan yang disepakati bersama sehingga boleh merumuskannya menjadi agenda yang besar. Perkara yang merosakkan iklim kebangkitan Islam adalah adanya golongan yang cenderung memberi perhatian kepada persoalan-persoalan yang tidak disepakati oleh para ulamak dalam masalah penghalalan atau pengharaman. Mereka menjadikan persoalan khilafiah ini sebagai ukuran dan penilaian terhadap tindak tanduk sesama manusia. Seolah-olah perkara khilafiah ini merupakan pokok keimanan dan landasan utama ibadat seperti hukum memanjang atau memendekkan janggut, memendek atau memanjangkan pakaian, posisi tangan ketika solat, hukum lukisan dan fotografi dan status hukum memakai hijab dengan menutup wajah wanita. Menurut al-Qaradawi perkara ini berlaku disebabkan mereka menganggap pendapat yang mereka pegang dalam masalah khilafiah sebagai kebenaran yang tidak mungkin salah, kurang memperhatikan persoalan-persoalan agama yang telah disepakati, suka berdebat dan menyakiti orang lain sehingga memecah-belah umat, takabbur dan bangga pada diri sendiri yang merupakan titik tolak kepada kehancuran diri.

      
   5. Dari menyulitkan dan ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira

      Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini  bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara ‘mempersulit’ adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan. Al-Qaradawi membawa dalil al-Quran bagi menyokong hujahnya seperti ayat al-Baqarah, ayat 185, al-Ma’idah ayat 6, al-Anfat, ayat 66. Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan. Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Tidak ada tempat untuk kita  menghiburkan diri dengan cerita-cerita malapetaka hari kiamat, mengatakan dunia Islam seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela.Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.

Tak utama lebih penting

Oleh: Harussani Zakaria

Pada minggu lepas, saya berkesempatan menyampaikan ucaptama sempena Seminar Fiqh Awlawiyyat anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Perak. Seminar tersebut memberi ruang kepada saya untuk menampilkan beberapa idea dan pendekatan yang telah lama saya uar-uarkan kepada masyarakat sebagai rujukan umat Islam seluruhnya.

Dalam hal ini, ulama tersohor Dr. Yusuf al-Qaradawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat sebagai “menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil.”

Firman Allah S.WT. di dalam surah Al-Taubah ayat 19 mafhumnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ketika ini umat Islam telah hilang punca asas pertimbangan dalam menilai keutamaan daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Kehilangan punca bukan sahaja meliputi masyarakat umum, bahkan para cendiakawan dan cerdik pandai serta para pemimpin sendiri pun adakalanya menghadapi permasalahan dalam menentukan keutamaan sesuatu perkara.

Bagi para remaja contohnya lebih menekankan hal-hal berkaitan dengan sukan dan hiburan sebagai matlamat hidup mereka daripada mendahulukan diri dengan mengejar ilmu pengetahuan. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau intelek. Tetapi ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Hari ini hiburan diutamakan daripada pendidikan. Lebih banyak majalah hiburan berbanding majalah yang mendidik masyarakat di pasaran. Begitu dengan program televisyen didominasi oleh rancangan hiburan yang menjadi sajian dan “makanan harian” yang dipertonton dan diprogramkan kepada masyarakat. Jika ada rancangan yang mendidik masyarakat ia tidak disiarkan pada waktu perdana, tetapi larut malam mahupun awal pagi. Islam tidak melarang hiburan, namun keutamaan hiburan tidak boleh dilebihkan daripada pendidikan sehingga masyarakat lalai dengan hiburan. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam.

Dalam amalan ibadat pula masyarakat kita masih sibuk membahaskan aspek khilafiah yang tidak akan berkesudahan. Dalam rancangan soal-jawab di radio yang dihadiri oleh saya, soalan-soalannya masih berkisar tentang masalah meninggalkan qunut, bidaah mengadakan tahlil, talqin yang merupakan masalah furu’ dan khilafiah. Sedangkan kita berdepan dengan masalah riba yang terang-terang haram dalam kewangan dan insurans kita. Termasuk juga masalah perpecahan umat yang pada pengamatan saya perlu kepada usaha yang gigih terutamanya para umara dan ulama bagi menyatupadukan masyarakat Islam terutamanya umat Melayu.

Bijak pandai

Di kalangan bijak pandai tidak kurang juga berhadapan dengan kecelaruan pemikiran dalam memahami keutamaan sesuatu perkara. Bila saya menekuni isu-isu mutakhir ini termasuk kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa antara agama, saya mengharapkan agar para ulama bersama-sama menyumbang idea dan pemikiran membantah penubuhan jawatankuasa tersebut. Akan tetapi pada masa yang sama kita disibukkan dengan boleh atau tidak meminum atau menyapu air ludah ustaz yang tidak pasti sama ada ia berlaku atau tidak. Secara prinsipnya, saya tidak menghalang aduan tersebut, namun ketika masyarakat Islam menghadapi tuntutan yang pelbagai yang dikhuatiri merendahkan martabat Islam, kita disibukkan dengan isu-isu yang bukannya tidak penting, akan tetapi ada lagi perkara yang lebih penting dari itu.

Begitu juga kita masih tertinggal di belakang terutama dalam menguasai segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Akhirnya disebabkan kejahilan kita dan kelemahan para ulama dan umara, maka Islam terus menerus lemah dan ketinggalan sehinggakan ruang yang diberikan Allah Taala dalam bidang fiqh seperti ijtihad dan hukum, terus beku serta hilangnya kedinamikan syariat Islam yang sebenarnya boleh melumpuhkan penyebaran Islam itu sendiri, seperti yang berlaku pada dunia Islam hari ini.

Dilihat dalam soal beribadah, masyarakat lebih menumpukan kepada ibadat sunat dari ibadat fardu. Manakala jka dilihat dari sudut berhubung dengan nilai-nilai kemasyarakatan pula, aspek fiqh keutamaan ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kita lebih mementingkan ibadat fardu yang bersifat nafsi-nafsi semata-mata lantas meminggirkan konsep ibadat yang lebih global di luar ruang lingkup diri. Ibadat fardu yang berasaskan prinsip jemaah seperti hak-hak jiran, kemanusiaan dan kenegaraan yang masih terabai. Kumpulan diutamakan dari ummah, furu’ diutamakan dari usul.

Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Masalih atau Manafi’ di mana hakikat Masalih itu ada tingkatannya tersendiri yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Mafasid atau Darar di mana hakikat Mafasid itu juga menyentuh tingkatannya yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan antara kepelbagaian Masalih dan Mafasid di mana keputusan yang diambil mengikut kadar yang lebih banyak dan majoriti kerana kadar majoriti boleh menentukan hukum bagi keseluruhan bahagian.

Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan, suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak patut dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah SWT. berfirman yang bermaksud: Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu. (Surah al-Rahman: 7-9)

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Oleh Hasliza Hassan
2010/04/23

Kegagalan seimbang amalan dunia dan akhirat jadikan umat sering ditindas, dihina

“ORANG kita bila bercakap pasal agama, tumpu pada ibadat untuk mendapat tempat di akhirat saja. Jika diteliti ajaran Islam seperti dalam al-Quran dan hadis sahih, kita ada tanggungjawab kehidupan sebagai seorang Islam.

“Tidak ada akhirat jika tidak ada dunia. Al-Quran tegaskan, jangan lupa pada bahagian di dunia kerana sebagai manusia, dunia tempat beribadat untuk akhirat,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri yang berucap pada Multaqa Yang Dipertua Perkim Tun Mahathir Mohamad bersama Guru Pendidikan Islam dan Warga Perkim berkata, kesilapan dalam pendidikan agama yang terlalu menumpukan akhirat dan meninggalkan keperluan dunia menyebabkan umat Islam lemah.

Multaqa kali pertama diadakan di Dewan Besar Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, anjuran Perkim dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bertujuan menjadikan guru agama pendakwah dan penggerak komuniti berasaskan nilai Islam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman; Pengarah Bahagian Tajdid Perkim, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, Abdul Rashid Ngah.

Dr Mahathir berkata, disebabkan terlupa menekankan kepentingan menseimbangkan antara dunia dan akhirat, umat Islam seramai 1.5 bilion di seluruh dunia tidak berupaya menghalang pihak yang menghina agama Islam termasuk menghina Nabi Muhammad melalui lukisan kartun.
Malah, katanya untuk mempertahankan diri daripada musuh pun orang Islam tidak mampu melakukannya. Sebaliknya, mereka terpaksa mendapatkan senjata daripada musuh Islam yang pastinya tidak akan memberikan senjata terbaik.

“Orang Islam dan ajaran Islam masa ini tertekan kerana kita menjadi amat lemah. Oleh itu, umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis sahih untuk menerapkan nilai murni dalam keperibadian supaya orang Islam menjadi umat berjaya dan mulia.

“Zaman kegemilangan Islam dulu, tiada siapa berani menghina umat Islam kerana ketika itu Islam kuat. Jadi, kekuatan di dunia ini memang dituntut dan caranya ialah dengan menguasai ilmu yang menjadi tanggungjawab orang Islam,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam mengakui Islam adalah cara hidup dan sewajarnya pengakuan itu diterjemahkan dengan memegang nilai hidup mulia diajarkan Islam kerana apabila umat Islam berjaya dan kuat, Islam tidak akan dihina atau dipermainkan oleh orang lain.

Katanya, gejala sosial serta perkembangan membimbangkan dalam masyarakat di negara ini seperti dadah dan pembuangan bayi kerana tidak memberi perhatian kepada nilai murni yang diajarkan al-Quran.

Contohnya, pendidikan seks sudah ada dalam pelajaran agama Islam seperti batas hubungan lelaki dan perempuan serta cara mengawal nafsu, tetapi malangnya ilmu itu tidak diperjelaskan dengan baik kepada pelajar.

Dr Mahathir berkata, menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak dengan nilai murni untuk membentuk keperibadian mulia tetapi tidak dinafikan kesibukan ibu bapa bekerja menyebabkan anak tidak mendapat didikan sempurna.

Justeru katanya, tanggungjawab itu dipikul barisan pertahanan kedua iaitu guru agama di sekolah untuk memberi pendidikan serta menumpukan kepada pembentukan peribadi mulia yang tidak kurang pentingnya dengan ibadat lain seperti solat, zakat dan haji.

“Apabila ajar agama jangan tumpu buat ibadat tertentu untuk akhirat seolah dunia ini bukan untuk kita. Ajar supaya berdoa tetapi lupa tekankan keperluan berusaha sedangkan Allah janji kita akan dapat apa yang diminta jika tidak berusaha. Jadi berusaha itu sepatutnya ditekankan.

“Al-Quran banyak mengajar bagaimana membentuk personaliti yang baik dan berjaya. Al-Quran mengajar orang Islam ada sifat malu kerana jika malu mereka tidak buat perkara memalukan. Orang yang tahu malu tidak mahu gagal dan buat sesuatu menyebabkan orang pandang hina.

“Begitu juga ajaran lain seperti apabila berjanji mesti kotakan dan jangan menipu dalam perniagaan. Tetapi jika pegang sikap nak mudah kerana tidak suka berusaha, sebab itu ada yang terima rasuah, tidak perlu kerja tetapi dapat duit,” katanya.

Beliau berkata, anak sejak kecil lagi jika ditekankan mengenai dosa, pahala, baik dan buruk, akan dapat mengawal diri daripada terbabit dengan gejala negatif. Malah, nilai murni itu akan terus terpegang sehingga dewasa nanti.

Anak muda hari ini melakukan perkara menyalahi ajaran agama kerana berpendapat tidak ada siapa melihat apa yang mereka lakukan dan lupa bahawa Allah melihat.

“Sebab itu bila didik anak kecil di rumah atau sekolah, tekankan jangan lakukan dosa kerana orang lain tidak nampak tetapi Allah nampak. Yang kuat pegangan agama adalah orang yang berdisiplin dan mereka tidak tunggu orang untuk mengelak daripada membuat salah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, jika nilai murni berjaya disemai, orang Islam akan menjadi umat paling kuat, berjaya dan dipandang tinggi. Kebaikan Islam tidak lagi perlu dicanang kerana semua dapat dilihat daripada peribadi umat Islam.

Beliau yang baru pulang dari Albania sempat berkongsi perasaan gembira melihat kebangkitan umat Islam di sana yang dulunya lemah apabila dipaksa tidak mengamalkan Islam kini bangkit selepas kembali berpegang kepada nilai murni yang diajarkan agama Islam.

“Masa zaman Uthman, Albania jadi pemimpin ajaran Islam tetapi disebabkan kurang ilmu serta kecekapan akhirnya Albania jatuh ke tangan komunis yang memaksa mereka tidak mengamalkan Islam. Semua itu terjadi kerana umat Islam lemah.

“Alhamdulillah, mereka kembali kepada Islam. Saya di sana dan gembira melihat masjid yang dulu kosong kini jemaahnya melimpah hingga ke jalan besar. Albania kini sudah terpisah daripada pengaruh komunis dan kuat semula,” katanya.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Peribadimulia_kuasaiilmutingkatkekuatanIslam/Article

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

MUDA hanya sekali… Itulah yang selalu dipegang oleh segelintir daripada kita, waima lelaki, perempuan, tua mahupun muda.

Lantas yang berfikiran pendek, mereka sanggup mencuba apa sahaja, waima membelakangkan syariatullah dan sunnatullah. Yang pasti, matlamat mesti dikota.

Pun begitu, masih ramai juga yang tidak melupakan kehidupan kekal selepas kematian. Lalu berusaha memperoleh kedua-duanya sekali.

Maka, mereka inilah orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta nasihat-menasihati dengan kesabaran. (al-’Asr: 1-3)

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa menghargai zaman muda bererti menghargai masa. Di samping itu, pesanan Allah SWT tentang keberuntungan bagi mereka yang menjaga masanya dan memanfaatkan masa hidupnya dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.

Lantaran itu, tidak hairanlah kalau kita terbaca atau diberitahu tentang kisah Imam Syafie yang telah menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun. Setahun kemudian pula berjaya menghafal isi kitab Al Muwatha’ karangan Imam Malik yang berisi 1,720 hadis dengan sempurna.

Malah bukan itu sahaja, kehebatan generasi muda Islam terdahulu juga terbukti menerusi pencapaian Usamah bin Zaid menjadi panglima perang seawal usia 18 tahun.

Muhammad bin Qasim pula memperoleh kedudukan serupa pada usia beliau 17 tahun. Sementara Tharafah bin Al Abdu Syahid pada usia 26 tahun.

Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa bimbang dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat serta pemimpin negara.

Justeru Rasulullah SAW berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya. Diriwayatkan oleh imam at-Tirmidzi yang bermaksud: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang dinasihati baginda. “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Mudamu sebelum tua, sihatmu sebelum sakit, kayamu sebelum miskin, senangmu sebelum susah dan hidupmu sebelum mati.”

Berdasarkan hadis ini, belia yang cemerlang adalah yang memanfaatkan masa dengan betul seperti berusaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan takwa.

Dengan iman dan takwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Sekali gus, tidak mudah goyah oleh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, minum arak, zina, merempit, ajaran sesat, bersekedudukkan dan sebagainya.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang.

Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharap dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir menegaskan, fenomena runtuh akhlak ini seandainya tidak dibendung secara berhikmah, sudah pastinya menjadi barah dan seterusnya memusnahkan bangsa dan agama.

Katanya, perkara paling asas ialah membetulkan kefahaman akidah dan memantapkannya.

Abdullah ibnu Umar diriwayatkan berkata, bahawa generasi mereka diberikan iman sebelum menerima al-Quran. Namun hari ini, generasi kita sarat dengan maklumat dan ilmu, namun jiwanya hampir kosong daripada iman. Al-Quran adalah kitab hidayah kepada golongan beriman dan bertakwa.

“Dalam wasiat Nabi SAW kepada Muaz ketika diutus ke Yaman, pesanan nabi ialah agar seruan kepada iman dan kemantapan akidah. Apabila sudah mantap, barulah diberitahu tentang kewajipan solat. Ini satu pedoman Nabi SAW dalam berdakwah dan mendidik.

“Terdapat pemikiran segelintir Muslim yang tidak cuba menghalang gejala negatif ini, sebaliknya mencadangkan alternatif kononnya lebih selamat. Pemikiran ini seolah-olah menghalalkan zina dan seks bebas dengan syarat mesti selamat. Ini suatu pemikiran yang jauh daripada Islam,” ujar beliau kepada Mega, baru-baru ini.

Tambah Mohammad Nidzam, meskipun telah banyak penjelasan diberi berkaitan peranan dan harapan yang diletakkan kepada golongan muda, remaja masih tidak sedar kepentingan menghargai usia emas mereka.

“Mereka sibuk berseronok-seronok, muda hanya sekali dan sebagainya. Bila mereka sedar? Mungkin ketika terkandas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mungkin ketika usia sudah hampir 30 tahun dan sebagainya. Maknanya peluangnya untuk membaiki dan meningkat kualiti diri sudah kurang atau terhad,” tegas beliau.

Menurut Mohammad Nidzam, jika pemikiran remaja hari ini rosak, maka anak mereka akan lebih teruk. Jika remaja hari ini melihat menutup aurat bukan kewajipan, generasi anak mereka tidak akan malu lagi untuk memakai bikini.

“Oleh itu, remaja perlu bijak menghargai dan memanfaatkan usia remaja. Islam tidak melarang kita untuk berseronok tetapi hendaklah ada tahapnya. Ikut syarak,” katanya yang teringat satu syair Arab, “Jika kekal akhlak mulia, maka kekallah bangsa atau negara tersebut. Jika akhlak rosak, maka hancurlah negara”.

Hakikatnya, jelas Mohammad Nidzam, Islam menghargai semua lapisan umur. Ada hadis menyatakan agar pemuda menghormati insan yang lebih tua.

Dengan berbuat demikian, apabila dia tua nanti akan ada para pemuda yang menghormatinya pula. Itulah putaran hidup.

Katanya lagi, Nabi SAW menggunakan kekuatan dan semangat para pemuda dalam usaha dakwah. Ali ibnu Abi Talib adalah pemuda yang sanggup mengorbankan nyawa demi Islam.

Begitu juga, Musa’b ibnu U’mair, A’mmar ibnu Yasir, Bilal ibnu Rabah dan banyak lagi watak di zaman Nabi SAW adalah pemuda. Mereka dididik dalam madrasah nabawi.

“Para pemuda pada zaman nabi ada yang tergelincir. Namun ia diperbetulkan dengan baik dan berhikmah. Ada pemuda yang ingin berzina dan meminta izin Nabi untuk berzina. Kalau kita hari ini, mungkin kita akan mengumpat dan mengata macam-macam. Namun Nabi SAW dengan sabar mendidik agar ia benci kepada zina.

“Sebab itulah saya melihat usaha menyeluruh bagi menangani masalah ini adalah perlu. Antaranya, memantapkan lagi undang-undang Islam termasuk hukum hudud. Allah menjanjikan pencegahan jika ia dilaksanakan.

“Di samping itu, segala tindakan umat Islam semestinya dipandu dengan syariat Islam. Islam bukan sekadar untuk dibacakan doa sahaja, tetapi Islam mestilah diangkat, dimartabatkan dan didaulatkan,” tegasnya.

Pun begitu, pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: “Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Aidilfitri. Rasulullah bersabda: Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. (riwayat Ibnu Majah)

Namun, kecenderungan yang berlebihan kepada kesenangan dan hiburan menjadikan manusia alpa dan lalai dengan tipu daya dunia.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pembangunan Remaja & Belau, Kelab Remaja Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Mohd. Hafiz Abd. Hamid mengakui, dunia Islam menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menghancurkan nilai-nilai rohaniah.

Apatah lagi, tanpa benteng akidah yang konkrit dan akhlak sebagai pendinding, nescaya umat Islam tidak mampu menghadapi serangan musuh dari pelbagai sudut.

“Dalam membincangkan kerangka hedonisme, sudah pastilah unsur keseronokan dan kegembiraan merupakan intisari penting dalam aliran tersebut.

“Manusia dikatakan hidup bahagia apabila mereka mencapai klimaks keseronokan dan kegembiraan di tahap yang paling tinggi dan cuba mengelakkan elemen-elemen yang mendatangkan kesedihan dan kesukaran,” katanya.

Menurut Mohd. Hafiz, yang sebenarnya, budaya hedonisme jauh menyimpang dengan ajaran agama Islam yang kaya dengan nilai-nilai luhur yang terpuji.

Apa yang jelas budaya tersebut bertentangan dengan akidah Islam kerana ia bertuhankan nafsu.

“Ali Syariati, seorang ulama terkemuka Timur Tengah pernah berkata, tentangan terbesar bagi remaja Muslim masa ini adalah budaya hedonisme (kesenangan adalah hal yang paling penting dalam hidup) yang seolah sudah mengurat nadi,” jelasnya.

Oleh itu, tegas Mohd. Hafiz, petunjuk dan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam perlu dijadikan pedoman dan sempadan untuk dipatuhi oleh manusia.

Sesungguhnya iblis dan syaitan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir. (al-An’am: 32)

Atas kesedaran itulah, Kelab Remaja JIM dengan kerjasama Masjid As-Syakirin KLCC menganjurkan program Offline with Hedonism di dewan masjid tersebut, baru-baru ini.

Alhamdulillah, program yang terbuka kepada remaja antara usia 13 hingga 17 tahun itu mendapat sambutan kira-kira 70 peserta.

“Para peserta kebanyakannya ditemani ahli keluarga berada di perkarangan masjid seawal 8 pagi. Mereka disajikan sarapan pagi sebelum memulakan program.

“Dalam segmen Say No To Hedonism, kami cuba menjelaskan dan memahamkan para peserta tentang maksud sebenar budaya hedonisme dengan cara bersahaja dan diselang seli dengan komunikasi dua hala,” katanya.

Program sehari itu turut dimuatkan dengan pelbagai segmen agar tidak membosankan peserta.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

Sumbangan boleh diwakilkan kepada:

Badan Penggerak Khas Tabung Kirovsky

MOHAMAD AIZZAT B. MAT GHANI Account No (MAYBANK): 162218469566
Email : musliminvolgograd@gmail.com Alamat di Malaysia : W2/494 JALAN MERANTI 17000 PASIR MAS KELANTAN No telefon : 0199079217 (MALAYSIA), +79377230158 (RUSSIA)


*Pelajar Volgograd boleh menyampaikan sumbangan anda kepada ketua kumpulan, naqib dan naqibah masing-masing

2nd Kirovsky Week – Kirovsky A Reality

Recent Comments

  • , matpih, October 6, 2011 : alhamdulillah
  • , admin, June 2, 2011 : tafadahhal..insyaAllah demi kebaikan bersama
  • , Nur Muhd Ammar, June 2, 2011 : minta izin share post ini, insya’Allah demi kebaikan...
  • , Zubair Ahmed Allapur, April 27, 2011 : Alhamdulillah it was a fine experince going through, by...