Ketaksuban yang berterusan
May 23, 2010 · Print This Article
“Anta bertuah kerana dapat makan setalam dengan ustaz, sebab bukan sebarangan orang boleh makan dengan ustaz, hanya orang terpilih sahaja, boleh macam itu.” Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh seorang pemimpin kanan Al Arqam (sebelum diharamkan) kepada penulis pada awal tahun 90-an.
Ketika itu penulis berkesempatan menemuramah Asaari Muhammad di Singapura dan ia merupakan wawancara eksklusif terakhir penulis dengan Allahyarham.
Bagaimanapun penulis berpeluang bertemu sekali lagi dengan Asaari tetapi kali ini dalam sidang akhbar pada tahun 1996, selepas Asaari dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Untuk rekod, beliau ditahan sekali lagi selepas itu sehingga tahun 2004.
Sidang akhbar itu bagi menjelaskan pendirian Allahyarham yang memberi jaminan tidak akan terlibat dalam usaha menghidupkan pertubuhan yang diharamkan tersebut. Bagaimanapun sampai ke hari ini, penulis tidak pernah percaya bahawa sebahagian besar bekas pengikut Arqam sudah menghapuskan ketaksuban mereka kepada Asaari.
Justeru apabila tersebar berita terbaru bahawa bekas pengikut Arqam percaya Asaari tidak meninggal dunia pada 13 Mei lalu sebaliknya hanya ghaib dan akan muncul semula, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi penulis.
Sememangnya, ketaksuban bekas pengikut Arqam terhadap Asaari terlalu mendalam. Katalah apa sahaja terhadap Asaari termasuklah Allahyarham telah menyeleweng dari segi akidah melalui ajaran Aurad Muhammadiah, namun semua ini tidak akan melunturkan ketaksuban mereka.
Bekas pengikut Arqam sentiasa percaya bahawa Asaari adalah pemimpin akhir zaman. Sebab itulah gelaran Asaari sering sahaja diubah-ubah bermula dengan Ustaz Ashaari Muhammad ia kemudian menjadi Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi.
Mereka terpengaruh dengan dakyah Asaari yang pernah menyatakan bahawa dirinya adalah Putera Bani Tamim yang dipersiapkan untuk menyambut kedatangan Imam Mahadi. Asaari mendakwa dirinya daripada keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Rasulullah SAW yang memegang panji-panji Al-Mahdi.
Walaupun sudah diperingatkan bahawa keyakinan mereka salah mengenai Imam Mahadi namun bekas pengikut Arqam tetap percaya bahawa Imam Mahadi adalah seorang lelaki yang masih hidup dan dighaibkan oleh Allah. Dakwaan ini sama dengan dakwaan terbaru mereka bahawa Asaari tidak mati pada 13 Mei lalu sebaliknya hanya ghaib dan akan kembali tidak lama lagi.
Ketaksuban mereka melampaui batas apabila salah seorang pemimpin utama Global Ikhwan Sdn. Bhd. mencabar pihak berkuasa mengorek kubur bagi melihat jasad Asaari yang dikebumikan baru-baru ini wujud atau tidak.
Hakikatnya, ketaksubanlah yang memusnahkan pertubuhan Darul Arqam yang suatu ketika boleh dianggap sebagai komuniti Islam contoh melalui pelbagai aktiviti di perkampungannya di Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang digelar oleh pengikut Arqam sebagai Madinah Abu Bakar As Siddiq.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Arqam telah meningkatkan lagi ketaksuban pengikut-pengikut Arqam kepada Asaari sehingga mereka menganggap selain seorang yang soleh, Allahyarham juga adalah wali yang mempunyai karamah dan Mujaddid akhir zaman.
Walaupun kebenaran demi kebenaran sudah ditunjukkan oleh Allah SWT, tetapi ketaksuban bekas pengikut-pengikut Arqam kepada Asaari tidak pernah berkubur. Salah satu yang paling jelas ialah bagaimana harapan mereka untuk melihat Asaari menjadi Perdana Menteri pada tahun 1996 seperti mana diramalkan tidak menjadi kenyataan.
Sebelum tahun berkenaan, pengikut-pengikut Arqam telah diyakinkan oleh kepimpinan pertubuhan termasuklah oleh isteri kedua Asaari, Hatijah Aam bahawa Ashaari akan menjadi Perdana Menteri melalui teori ‘Khawariqu adah’ - sesuatu keistimewaan atau anugerah Allah kepada seseorang secara tidak disedari atau tanpa diduga.
Melalui teori itu kononnya Asaari akan menjadi Perdana Menteri dengan cara yang tidak diduga. Menurut teori tersebut, sebelum Asaari menjadi Perdana Menteri, Malaysia akan menghadapi suasana tegang terlebih dahulu.
Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada masa itu menjadi Perdana Menteri akan melepaskan jawatan. Yang di-Pertuan Agong akan mengisytiharkan darurat dan pada masa itu Seri Paduka akan melantik seorang tokoh (ada yang sebut Tan Sri Sanusi Junid dan ada pula yang kata Tun Ghafar Baba). Tokoh itu hanya memegang sekejab sahaja jawatan berkenaan sebelum menyerahkannya kepada Asaari.
Walaupun teori tersebut sudah berkubur bersama-sama jasad Asaari, namun bekas pengikut Arqam tetapi percaya bahawa Asaari mempunyai karamah dan akan kembali ke alam fana ini untuk memimpin umat.
Senario teori ‘Khawariqu adah’ itu belum lagi mengambil kira bagaimana pengikut-pengikut Arqam tidak mempercayai Asaari ditangkap pada tahun 1994. Menurut mereka, adalah mustahil, Asaari yang merupakan Pemuda Bani Tamim akan ditangkap oleh pihak polis dan akan ditahan di bawah ISA.
Mereka mempertikaikan penangkapan itu termasuklah mendakwa wajah ‘Abuya’ terpampang di bulan yang mengambang ketika berita penangkapan berkenaan heboh diperkatakan.
Ternyata sekali ketaksuban kepada Asaari seolah-olah sudah sebati dengan bekas pengikut-pengikut Arqam. Namun begitu penulis diberitahu, ketaksuban ini bukanlah disebabkan oleh Asaari yang kesihatan semakin merosot sejak dibebaskan daripada tahanan ISA pada tahun 2004 tetapi peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin dalam Global Ikhwan Sdn Bhd terutamanya Hatijah.
Beliau memainkan peranan penting sejak dulu lagi bagi menanam sikap taksub di kalangan pengikut-pengikut Arqam terhadap Asaari.
Pelbagai cara dilakukan oleh Hatijah termasuklah melalui penulisan-penulisannya dengan menggunakan nama Asaari. Ini termasuklah buku Nasihat Buatmu yang dianggap serangan balas Hatijah ke atas bekas-bekas pemimpin dan pengikut Arqam yang tidak lagi menyokong mereka.
Hatijah seperti juga sesetengah bekas pengikut Arqam tidak pernah insaf biarpun kerajaan sudah mengharamkan pertubuhan itu.
Mereka masih lagi berpegang kepada kata-kata Asaari ketika hayat bahawa Allahyarham adalah pemimpin yang dipilih oleh Allah.
Walaupun Asaari pernah mendedahkan bahawa segala yang pernah beliau nyatakan ketika memimpin Arqam termasuk berdialog secara langsung dengan Rasullullah SAW adalah satu pembohongan namun sampai ke hari ini, bekas pengikut Arqam percaya ia adalah satu kebenaran.
Segalanya akibat ketaksuban yang menutupi mata hati untuk menilai antara kebenaran dan kebatilan.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm






assalamualaikum.
hurm.
sebenarnya inilah salah satu masalah yang melanda umat Islam.
terlalu taksub dengan satu2 personaliti itu.
sebenarnya mereka juga manusia.
mereka tidak maksum.
bukannya nabi.
tetapi mungkin akibat terlalu banyak penyokong yang obses,itu pasal seorang pemimpin boleh kecundang juga.
sepatutnya kita umat islam pemimpin dihormati,bukan ditaksubi.
hurm.
banyak lagi sbnrnye contoh pemimpin yang ditaksubi ni.
mereka tidak salah.yang salah pengikut.obses melampau.
ape2pon terima kasih atas perkongsian.
smoga dirahmati Allah SWT.
Assalamualaikum dan Selamat Beramal.
salam alaikum..
stuju ngn pena maya
tak patut untuk kita taksub pada pemimpin
kita mempunyai pendirian kita yang tersendiri
begitu juga para pemimpin
jadi,pendapat saya adalah kita menyokong pendirian pemimpin yang mana sama dengan pendirian kita
selagi mana berlandaskan AlQuran dan AsSunnah,insyaAllah dipersilakan dengan pendirian masing-masing
semuanya patut dilihat secara menyeluruh
bukan hanya pada al-Arqam semata..
terutamanya dalam konteks agama,politik,sosial..
btw,
jzkk atas sharing..
insyaAllah sama-sama kita laksanakan perintah Allah S.W.T.
moga-moga Allah memberikan petunjuknya kepada kita..insyaAllah..amin~~