Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality
10 May
Bismillahirahmanirahim
“Dialah yang menjadikan bumi bagi kami: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatkah), kepada Allah jualah (tempat kamu kembali sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).”
Segala puji bagi Allah SWT Tuhan yang Tuhan yang telah menciptakan mata, telinga dan akal fikiran untuk memudahkan manusia melihat, merasai, dan berfikir tentang kehebatan ciptaanNya. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga dan para sahabat serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka hingga hari akhirat.
Alhamdulillahirabbil ‘Aalamin.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmatNya, kami berjaya menyempunakan misi kembara mencari dan melihat sendiri bukti kegemilangan islam di Volgograd.
Pada 1 Mei 2009, seramai 40 orang pelajar telah menyertai lawatan ke Masid Chepurniki yang terletak di pinggir Krasnoarmeysky District, daerah terhujung di bandar Volgograd di pinggir sungai Volga ini. Masjid ini terletak kira-kira 40km dari pusat bandar Volgograd (kira-kira 1 jam setengah perjalanan). Lawatan ini anjuran Biro Kabajikan PPIM-Volgograd chapter. Majoriti peserta adalah pelajar tahun akhir yang ingin mengisi waktu-waktu terakhir mereka di Volgograd serta meluaskan kembara mengenal Pencipta Agung . Sudah pasti ia menjadi antara kenangan terindah yang amat berbeza.
Masjid Chepurniki yang terletak di Svetloyarsky Raion, Volgogradskaya Oblast (Region) ini merupakan masjid tertua di Volgograd dan mungkin juga antara yang tertua di bumi bekas komunis ini. Ia mula digunakan pada tahun 1826 dan dibina seawal akhir abad ke-17 lagi , sebagai bukti ajaran islam telah sampai di bumi Volgograd sejak dari zaman Khilafah Uthmaniyah.
Masjid yang terletak di tengah-tengah satu perkampungan muslim ini yang majoritinya muslim Tartar. Ia menjadi tumpuan penduduk muslim sekitar untuk melakukan ibadat solat dan aktiviti ibadah yang lain.
Walaupun masjid ini tidak sebesar masjid-masjid yang biasa kami lihat, namun keunikan binaan dari kayu itu masih kuat dan terpelihara.
Sesampai dimasjid, kami berpeluang untuk beri’tikaf dan solat tahiyyatul masjid sebagai tanda syukur menjadi tetamu Allah di rumahNya. Seterusnya, mendengar sedikit ucapan dan tazkirah yang telah disampaikan oleh Imam masjid. Iman muda itu hadir bersama isterinya Faridah, bersama-sama anak-anak mereka
Sejuk hati melihat anak-anak seawal usia mereka, sudah diajar dengan cara hidup islam yang sempurna. Berpakaian menutup aurat dan menghafaz Al-Quran, satu fenomena yang jarang dipraktikkan.
Selepas itu, kami bersama-sama dibawa melihat kawasan perkuburan islam. Mungkin ribuan jumlah orang islam yang dikebumikan disitu. Menurut sumber, kawasan perkuburan itu sudah ditemui sebelum dari masjid itu dibina lagi. Ia merupakan satu-satunya tanah perkuburan islam yang ada di bandar ini.
Kami juga berkesempatan untuk solat Jumaat bersama-sama jemaah muslim yamg datang bersama. Walaupun, bahasa yang digunakan ketika khutbah agak susah untuk difahami, namun kami masih dapat menghayati kemanisannya. Jemaah muslimat yang hadir ke masjid juga agak ramai. Usai solat, ruang masa diisi dengan beramah mesra-mesra dengan para jemaah tempatan.
Walaupun hanya tiga jam kami berada disitu, nyata banyak perkara yang kami perolehi, bukan sekadar kenangan. Diharapkan, program seumpama ini akan dapat diteruskan oleh adik-adik pelajar selepas ini. Wallahua’lam.
Disediakan Oleh:
Nik Mawaddah
Gambar-gambar masjid Chapurniki boleh didapat di http://www.flickr.com/photos/musliminvolgograd/sets/72157617938074942/
One Response for "Laporan Lawatan Ke Masjid Chapurniki"
tabarakallah!
Leave a reply