Memberi perhatian terhadap fiqh waqi’ (kefahaman terhadap realiti) yang ia berada di dalamnya.

October 28, 2009 · Print This Article

Ijtihad kontemporari yang diharapkan ini tidak akan mampu menunaikan tugasnya dan mencapai
matlamatnya serta memberi buahnya kecuali jika kefahaman terhadap realiti bergabung dalam
fiqh nusus dan dalil (kefahaman terhadap nas dan dalil).
Seorang faqih adalah seperti seorang doktor. Ia tidak boleh membuat preskripsi ubat bagi
pesakit kecuali jika ia melihat, memeriksa, bertanya dan mengetahui sejarah penyakitnya, tindak
balas dan kadarnya. Dengan itu ia mampu untuk mendiagnos penyakit itu dan memberi
preskripsi ubat yang sesuai.
Dalam hal berkenaan, Imam Ibn Qayyim telaah berkata dalam bukunya ‘I`ilam Al-Muwaqqi`in’;
“Seorang mufti dan hakim tidak akan mampu untuk memberi fatwa atau hukum dengan benar
kecuali dengan dua bentuk kefahaman. Salah satunya ialah memahami realiti dan hukum fiqh
bagi realiti itu. Lalu menghasilkan pengetahuan mengenai hakikat yang sejajar dengan tandatanda
dan petunjuk-petunjuk yang ada, sehingga pengetahuan itu meliputi perkara berkenaan.
Bentuk yang kedua ialah memahami kewajiban dalam berhadapan dengan realiti iaitu memahami
hukum Allah yang ditetapkan dalam kitabNya atau melalui lidah RasulNya dalam realiti
berkenaan, kemudian menerapkan salah satu (Al-Quran / Sunnah) pada yang lain. Sesiapa yang
mengerahkan usaha dan upayanya yang sedemikian itu, tidak akan hilang darinya dua pahala
atau satu pahala.”
Seorang alim ialah seorang yang dapat mengetahui hukum Allah dan RasulNya dengan
mengetahui dan faham realiti sebagaimana saksi Yusuf a.s mengetahui kesucian dan kebenaran
Yusuf melalui pakaian yang koyak di belakang, sebagaimana juga Sulaiman a.s mengetahui ibu
sebenar bagi seorang anak dengan kata-katanya
“Berikan aku sebilah pisau agar aku belah dua anak ini untuk kamu berdua. 3”
Di tempat lain, Ibn Qayyim mengatakan bahawa seorang faqih yang sebenar ialah yang
mengahwinkan antara kewajiban dan realiti. Dia tidak hidup dengan apa yang wajib semata-mata
tetapi juga hidup dengan realitinya. Dengan itu, ia mengetahui apa yang realiti semasa
menentukan hukum-hukum. Sering kali dia menurunkan dirinya dari sesuatu yang ideal kepada
realiti.
Inilah yang menjadikan Ibn Qayyim menetapkan kewajiban perubahan fatwa dengan perubahan
masa, tempat, adat dan keadaan.
Sebelum itu, Imam Syihabuddin Al-Qarafi yang bermazhab Maliki telah pun menetapkan
sedemikian.
Sesudah mereka berdua, Ibn `Abidin penulis buku yang masyhur ‘Rad Al-Muhtar `Ala Ad-Dur Al-
Mukhtar’, salah seorang ulama terkemudian dari mazhab Hanafi.
Sesungguhnya kewajiban seorang faqih ialah untuk mempelajari realiti secara ilmiyah dan
objektif. Realiti yang meliputi segala aspek, unsur-unsur, pengaruh-pengaruh, apa yang positif,
apa yang negatif, hak bagi realiti itu dan kewajiban ke atasnya.
Yang kita kehendaki dari kajian terhadap realiti ialah kajian ke atas tabi`atnya bukan kajian atas
kertas sahaja, tanpa sikap menakut-nakutkan dan tanpa sikap meringan-ringankan. Sesuatu
yang amat besar dalam mempengaruhi kesejahteraan dalam penelitian ilmiyah ialah
kecenderungan pada cara yang berlebih-lebihan dan membesar-besarkan sesuatu, sehingga
menjadikan sesuatu sebesar biji menjadi seperti satu kubah, atau yang sekecil kucing menjadi
seperti sebesar unta. Begitu juga cara yang sebaliknya, iaitu kecenderungan untuk
memperkecilkan sesuatu atau meremehkannya, dan usaha untuk mengurangkan kepentingan
sesuatu perkara, walau pun terdapat bahaya mengenainya. Yang sedemikian itu adalah
sebagaimana yang kami tunjukkan dalam pendirian kami terhadap pemerintahan zionis Israel
dan pendirian kami terhadap peradaban Barat.
Kadang kala, kita membina sesuatu hukum fiqh atas pengetahuan kita terhadap realiti. Jika
seorang faqih ingin memberi fatwa dalam masalah merokok, ia hendaklah membina fatwanya
atas pandangan doktor dan analisa penganalisa. Jika seorang doktor berkata bahawa merokok
itu satu mudharat bagi kesihatan dan berbahaya baginya, maka tidak harus bagi seorang faqih
kecuali berkata bahawa ia adalah haram kerana tidak harus bagi seorang muslim untuk
memudharatkan dirinya secara sengaja - tidak boleh melakukan mudharat (atas diri sendiri) dan
menyebabkan mudharat (atas orang lain). Kemudharatan itu didapati melalui pandangan doktor,
maka wajiblah memberi fatwa terhadap pengharaman rokok.
Begitulah juga jika para pakar ilmu kemasyarakatan dan ekonomi berkata bahawa pemilikan
rumah bagi tujuan tempat tinggal bagi keluarga Islam di Barat dianggap sebagai satu hajat yang
penting bagi individu dan masyarakat. Namun tidak ada jalan untuk memiliki rumah-rumah ini
bagi kebanyakan orang-orang Islam kecuali dengan membeli melalui bank. Dalam hal ini, tidak
harus bagi seorang faqih yang muslim kecuali memberi fatwa akan keharusannya kerana hajat
yang telah pun mengambil tempat dharurat. Penentuan hajat di sini bukan bagi para fuqaha’
tetapi bagi para pakar.
Di antara kewajiban fiqh realiti ini atau ijtihad kontemporari, ialah mengetahui hakikat sebenar
minoriti muslim yang untuk mereka dia memberi. Ini adalah kerana, minoriti muslim bertingkattingkat
antara satu dengan yang lain dengan perbezaan tingkatan yang luas.
Kaum minoriti yang kebanyakannya terdiri dari golongan pengungsi yang berhijrah, tidak sama
dengan minoriti yang kebanyakannya terdiri dari pribumi dan penduduk asal.
Kaum minoriti yang tertindas tidak sama dengan kaum minoriti yang berkemampuan, yang
mempunyai harta, kemulian dan kedudukan kuasa.
Kaum minoriti yang jumlahnya terhad tidak sama dengan kaum minoriti yang besar seperti kaum
minoriti muslim di India (lebih dari 150 juta).
Kaum minoriti yang baru wujud tidak sama dengan kaum minoriti yang telah berakar dan
mempunyai sejarah ratusan tahun.
Kaum minoriti di negara-negara yang liberal yang menikmati kebebasan dan hak-hak asasi
manusia, tidak sama dengan kaum minoriti di negara bersistem diktator, yang tidak mengiktiraf
bagi manusia hak dan kebebasan dan tidak memelihara bagi seorang mukmin hubungan kerabat
dan perjanjian.
Kaum minoriti yang bertebaran dan berselerak antara mereka, yang berbeza sesama mereka
dari segi keturunan, keagamaan dan ideologi tidak sama dengan kaum minoriti yang utuh dan
tersusun yang mempunyai kepimpinan dan institusi-institusi keagamaan, sosial, kebudayaan dan
politik.
Wajib bagi seorang faqih yang menghadapi realiti di bawah bimbingan syariat, untuk memelihara
realiti yang berubah-ubah / berbeza-beza. Sesungguhnya bagi setiap realiti ada hukumnya.

Sumber: Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (Fiqh Al-Aqalliyat)

Comments

Got something to say?





*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture. Click on the picture to hear an audio file of the word.
Click to hear an audio file of the anti-spam word