Kirovsky Islamic Centre – Make it a Reality
6 Dec
7 Januari, 1943 – cahaya senja menerangi setiap pelusuk bangunan empat tingkap itu. Apa yang tinggal hanyalah rangka, hasil ketidakperikemanusiaan peluru hitam. Dari tingkat empat bangunan itu, aku terus memerhati jauh ke penghujung sungai Volga, mencari tanda askar Jerman, yang cuba menjatuhkan kami. “Salim, kau pergilah solat dahulu. Biar aku pula yang menjadi ‘Mata’”, jerit Muhammad. Aku bangun menunaikan tugasku kepada Yang Maha Esa.
*************************
“Kita, Platun 13 Guard Rifle ditugaskan menjaga tanah ini. Menjaga Tanah Stalingrad ini. Memang, kita berada dalam negara Komunis. Mereka tidak membenarkan Islam. Namun mereka tak boleh membuang Islam daripada kita. Islam adalah pegangan, Islam adalah cara hidup, Islam adalah perjuangan. Biarlah kita menjadi abu di bumi, asalkan darah yang kita tumpahkan ini menjadi saksi di hadapan yang Maha Esa.” Kata-kata Kapten Yakov Hamid Pavlov masih jelas di dadaku.
Angin sejuk bertiup masuk menerusi tingkap malam itu mencucuk tajam ke tulang. Namun, jasad ini dipergagahkan. Bukan mencari ganjaran dunia, tetapi mengharapkan syurga yang kekal selama lamanya.
Matahari mula menyinari, memancarkan cahaya pagi yang mencelah masuk melalui rekahan dinding. Sunyi. Salji yang turun mencecah bumi bagaikan satu keajaiban, putih menutupi tanah. Mata aku tidak terpisah daripada hujung pelusuk Volga, memastikan semuanya normal seperti biasa.
Tiba-tiba, satu dentuman kuat menggegarkan pagi yang hening itu. Bunyi dentuman senjata dari jauh sayup-sayup kedengaran dari seberang Volga, bersama sama jeritan manusia yang menjadi mangsa. Aku berdiri kaku. Bangunan di sebelah bangunan yang kami pertahankan hanya meninggalkan rangka. Aku masih berdiri kaku.
“Salim, sekarang mereka dah sampai ke seberang. Jangan biarkan mereka rentasi Volga!” Jeritan Kapten kembali menyedarkan aku. Tanganku terketar-ketar mengangkat senapang. Aku dapat rasakan jantungku mula berdegup laju. “Dah tiba masanya”.
Dentuman demi dentuman kedengaran. Darah terpercik ke merata tempat. Aku tidak tahu, berapa ramai rakan seperjuanganku yang telah syahid. Yang pasti, tentera Jerman makin mendekati kami. Volga yang beku memudahkan mereka mendekati tanah yang kami pertahankan ini. Hari semakin senja.
Tembakan masih lagi berterusan. Aku melihat Kapten merangkak menuju ke arahku. “ Salim, aku perlukan pertolongan kau. Mereka dah semakin hampir. Aku dah tiada jalan lain. Aku akan pergi dan letakkan bom ini di atas Volga. Aku mahu kau letupkan bom-bom ini bila aku letakkan bom ini di situ,” Kapten memberi arahan sambil menunjukkan tangannya ke arah Volga. “Kalau apa-apa terjadi, kau gantilah tempatku.”
“Tidak Kapten. Biar saya yang pergi. Kami perlukan Kapten untuk mengalahkan mereka. Askar seperti saya lagi sesuai melakukan kerja-kerja seperti ini”. Aku terus mengambil beg yang berisi bahan letupan itu dan berlari menuju ke tangga. “Salim, tunggu!” Tanpa menghiraukan jeritan Kapten, aku meneruskan langkahku.
Keluar dari pintu, aku terus menghala ke arah Volga. Jarak yang hanya sedepa ini ku rasakan begitu jauh. Aku beberapa kali terjatuh. Namun aku bingkas bangun meneruskan larian yang menjadi penanda hidup mati tanahku. Tiba di tebing Volga, aku meneruskan larian. Tiba-tiba, satu dentuman kuat menghancurkan satu sudut bangunan tadi. Salji yang jatuh ke tanah merah berwarnakan darah. “Kapten!”, jeritku.
Badan Kapten jatuh ke tanah, perlahan. Masa bagaikan berhenti. Tanpa ku sedari, air mata menitis keluar membasahi pipiku. “Aku perlu teruskan perjuangan!”
Tiba di lokasi yang ditetapkan, aku terus mula memasang bom itu. “Bang!” Darah pekat tepancut dari tangan kiriku. Namun, tiada sebarang kesakitan yang ku rasakan. Aku menggagahkan diri, mengangkat senapang di tanganku.
Dari jauh, kelihatan sekumpulan askar Jerman menghampiri lokasi ku. Dapat aku rasakan, peluru mereka hinggap di paha ku, jatuh di sekeliling ku. Aku meneruskan tugasku memasang bahan-bahan letupan itu.
“Bang!”. Tembakan itu hinggap ke dadaku. Dapat ku rasakan angin sejuk masuk ke dalam badanku. “Mungkin inilah penghujungnya”, sangkaku.
“Biarlah kita menjadi abu di bumi, asalkan darah yang kita tumpahkan ini menjadi saksi di hadapan yang Maha Esa.” Kata-kata Kapten bagaikan memberi nafas baru kepadaku. Aku mencapai bahan letupan itu dan mengaktifkannya. “Bammm!” Letupan yang kuat itu cukup untuk menghancurkan permukaan ais di atas Volga.
Air Volga yang biru itu bertukar merah dek darahku. Aku tenggelam, mengharapkan perjuangan ku yang belum selesai ini diteruskan.
**************************
“Cikgu, bangunan apa yang di sebelah Muzium Panorama tu?” Tanya ku.
“Oh, bangunan itu hasil tinggalan Perang Dunia Pertama dulu. Masa itu , sekumpulan kecil askar berkorban nyawa mempertahankan askar Jerman daripada menawan kota ini. Platun itu diketuai oleh Kapten Yakov Pavlov. Sebab mereka lah kita hari ini dapat hidup dengan aman di sini. Disebabkan itu, bangunan ini dinamakan Rumah Pavlov”, balas guru ruskii ku.
Dari jauh, kelihatan bangunan yang tinggal rangka itu penuh dengan cerita. Mataku terpaut pada sesuatu yang terlakar di dinding bangunan itu. Sudah kabur ditelan masa, namun aku cukup kenal dengan kalimah itu. Aku pasti, kalimah itu tertulis ‘ALLAHU AKBAR’.
oleh: Abdul Muhaimin Mat Sulaiman (tempat ketiga cerpen minggu kirovsky 2011)
Leave a reply