Mungkin terdapat perbezaan pendapat antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Boleh jadi juga terbukti seorang muslim yang lain melakukan kesilapan dan kesalahan yang menyebabkan hati kita sangat marah kepadanya. Namun walau apa pun, kita tidak diizinkan syarak untuk mengambil tindakan yang merugikan umum, atau membawa kemudaratan atau kemerbahayaan yang lebih besar dibandingkan kesalahan yang dilakukan. Apatah lagi dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang mempunyai kuasa yang boleh memberikan kesan besar terhadap keselamatan negara. 

Tokoh agung umat ini Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menyebut: “Sesungguhnya al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar (Suruhan Melakukan Kebaikan, Cegahan Kemunkaran) sekalipun mengandungi tujuan menghasilkan kemaslahatan dan menolak kerosakan, namun mestilah dilihat jua kepada apa yang akan bertembung dengannya. Jika ia menyebabkan hilangnya kemaslahatan atau membawa kerosakan yang lebih besar, maka ia tidak lagi diperintahkan (oleh syarak untuk kita lakukan). Bahkan ianya menjadi haram sekiranya kerosakannya melebihi kemaslahatannya. Namun ukuran kemaslahatan dan kerosakan hendaklah dengan timbangan syariat” (Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, 14/341, Riyadh: Al-Abikan).
Saya dahulunya apabila membaca kata-kata hikmah: “Pemerintah yang adil lebih baik dari hujan yang membawa kebaikan, sementara pemerintah yang zalim lebih baik daripada fitnah yang berterusan” (lihat: Al-Munawi, Faid al-Qadir 1/566), maka saya kurang puas hati dengan bahagian akhir falsafah tersebut. Saya rasa itu tidak meredakan jiwa muda saya. Tentu kata-kata seperti itu tentu lebih tidak dapat diterima oleh para pemberontak politik. Namun apabila saya mempelajari hadis-hadis Nabi s.a.w mengenai adab rakyat terhadap pemerintah, kata-kata seperti itu mungkin ada benarnya.

Apabila saya melihat apa yang berlaku di Algeria yang membawa tumpahan darah umat Islam yang berterusan disebabkan keinginan kepada perubahan politik. Sehingga pembunuhan sesama muslim, bahkan sesama kumpulan yang mendakwa inginkan Islam menjadi begitu berleluasa. Sehingga semangat Islam rakyat luntur dan imej umat hancur. Demikian apa yang sedang berlaku di Iraq. Maka jelas bahawa kehidupan mereka di bawah seorang pemerintah yang zalim seperti Saddam Hussain yang memangsakan perebut kuasanya lebih baik daripada kehidupan baru yang mereka cetuskan yang mana kezaliman dan kekejaman tidak pernah memilih bulu. Akhirnya, saya menulis buku “Membela Islam: Tanggungjawab dan Disiplin” dan juga satu tulisan lain dalam bahasa arab menyentuh isu yang sama hampir dua tahun yang lepas telah dibentang dalam sebuah seminar antarabangsa. Masa itu, saya belum menjadi mufti pun.

Saya ingin menyentuh tajuk ini secara umumnya. Untuk Dunia Islam keseluruhannya. Memang tajuk ini agak sensitif. Namun saya bukan insan kebuluran untuk berbicara bagi kepentingan sesiapa supaya ada habuannya. Jika anda pejuang hak asasi, ini adalah hak saya memberikan pandangan. Dalam hadis Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat Muslim). Dalam riwayat lain, baginda menyebut:: “Akan ada para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar tersebut) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak selagi mana mereka bersolat” (Riwayat Muslim).

Hadis-hadis ini barangkali amat tidak menyelerakan sesetengah pihak. Sehingga ada yang menganggap sesiapa yang membacanya sebagai bacul. Tidaklah saya pasti sama ada mereka menganggap Nabi s.a.w. itu bacul atupun tidak. Bagi mereka, memerangi pemerintah dan sesiapa yang bersama pemerintah yang tidak adil –menurut penilaian mereka- itu adalah jihad yang jika ditumpahkan darah kerananya adalah syahid. Golongan yang bersemangat ini menyebut mereka yang takut untuk keluar menentang pemerintah secara keras sebagai ‘ulama bacul’ atau ‘ceroi’ dalam bahasa utara. Lalu hadis.: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat Al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah- sahih) diulas sebagai memerangi pemerintah, bukan berpada dengan nasihat atau perkataan yang benar di hadapan pemerintah seperti yang disebutkan dalam hadis tersebut.

Mungkin jika mereka membaca kenyataan para ulama dahulu, lebih layak untuk dituduh bacul dan ceroi. Umpamanya al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang menyebut: “Adapun keluar menentang pemerintah itu dan memerangi mereka adalah haram dengan ijmak kaum muslimin sekalipun mereka itu fasik lagi zalim. Telah nyata hadis-hadis yang menyokong apa telah aku sebutkan. Telah sepakat Ahl al-Sunnah bahawa pemerintah tidak dipecat dengan sebab kefasikan…sebab tidak dipecat dan pengharaman keluar menentangnya kerana membawa kepada fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata. Maka dengan itu kerosakan dalam pemecatannya lebih banyak daripada mengekalkannya” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 14/540). Maksudnya, jika usaha menukar pemerintahan itu boleh menyebabkan tumpah darah, atau rosaknya negara sehingga diambil kesempatan oleh orang lain umpamanya, maka tindakan itu adalah haram dengan sepakat para ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah.

Perebutan politik dalam Dunia Islam hari ini, jika tidak terkawal boleh membawa kepada campurtangan asing atau membuka kesempatan untuk musuh-musuh Islam menguasai umat. Akhirnya, yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.

Sesungguhnya Islam yang kita pegang hendaklah terikat dengan nas-nas al-Quran dan Sunah. Kita tidak perlu mengampu sesiapa atau meredakan sesiapa. Dunia Islam hari ini memang ada kecacatannya. Bukan sahaja para pemerintah dunia Islam hari ini sahaja, dahulu pun demikian. Melainkan pada zaman-zaman beberapa khalifah yang kegemilangan. Sejarah penumpahan darah kerana keinginan kuasa juga bukan sedikit. Kalau hendak dicari pemerintah yang maksum memang kita tidak berjumpa. Jika setiap kecacatan pemerintah maka balasannya dia ditumbangkan sekalipun dengan mengorbankan keselamatan masa depan umat, maka tidak ada kerajaan yang aman dalam Dunia Islam. Kemunduran dan pergolakan akan terus menguasai keadaan. Kita mungkin ingin mencuba sesuatu yang belum kita tahu, tapi pastikan jangan sampai kita menjemput padah yang tidak sudah dan luka yang lebih parah. Melainkan apabila kita benar-benar yakin bahawa kewujudan kuasa pemerintah itu jauh lebih merbahaya daripada ancaman masa depan yang akan dipertaruhkan.

Sebab itu dalam hadis daripada ‘Ubadah bin Samit, katanya: Nabi s.a.w. telah memanggil kami, maka berbai‘ah (berjanji setia) dengannya. Baginda perintah kami berjanji setia untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) pada perkara yang kami suka dan kami benci, dalam keadaan kami senang dan susah, juga ketika pemimpin lebih mementingkan diri mereka melebihi kami. (Kami juga berjanji setia) tidak akan merebut kuasa dari pemerintah melainkan jika melihat kufr bawah (kufur yang nyata), yang ada bukti dari Allah (kekufuran yang jelas dengan dalil syarak) (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini bukan menyuruh membiarkan pemerintah bermaharaja lela, tetapi menyuruh kita menilai kesan terhadap sesuatu pemberontakan kuasa. Maka dalam usaha membaiki keadaan, umat Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang membawa kerugian yang lebih besar.

Ketamakan politik jika telah memenuhi nafsu diri seseorang boleh menyebabkan dia melupai segala. Ia boleh membutakan mata terhadap kepentingan umat dan masa depan negara. Maka tidak hairanlah jika ada orang muslim yang berpakat dengan bukan muslim untuk menjatuhkan pemerintah muslim. Sedangkan dia sendiri pun tidak dapat memberi jaminan apakah yang akan terjadi seterusnya setelah mereka yang bukan muslim menumpaskan negara muslimnya. Demi sesungguhnya saya tidak pernah takut dengan kuasa pemerintah. Saya tidak berkeinginan mengampu mereka. Telah pun saya selar secara umum perbuatan yang merugikan rakyat. Namun saya sedang bercakap tentang nas-nas Nabi s.a.w dan kemaslahatan masa depan umat ini yang menjadi pertimbangan utama.

Saya teringat dengan seorang insan yang bersemangat bercerita tentang kewajipan menumbangkan pemerintah walau apapun risiko kita akan tanggung kemudian, katanya. Jika hendak difikirkan risiko, apa kerja pun tak jadi. Masa depan bukan di tangan kita, itu urusan Allah, tambahnya. Saya yang mengetahui rekod anaknya yang bermasalah berkata: “kenapa tidak dihalau sahaja anak haji itu keluar dari rumah”. Dia jawab: “Tidak bolehlah macam, nanti lebih teruk lagi jadinya. Sebagai bapa saya kenalah berfikir panjang”. Saya kata kepadanya: “Apakah boleh saya anggap haji ini ayah yang penakut? Masa depan bukan urusan kita”. Dia terdiam. Demikianlah kebanyakan manusia selalu memikirkan kepentingan diri, tetapi tidak kepentingan umum.

Sehingga ada yang menganggap apabila kita benci kepada pemerintah yang muslim, kita tidak boleh menolong mereka atau taat dalam setiap arahan mereka. Padahal para ulama Islam menyatakan jika pemerintah muslim meminta rakyat berjihad bersamanya menghadapi kuffar maka wajib mereka mentaatinya tanpa perlu melihat kepada peribadi pemerintah samada dia seorang yang adil atau zalim. Ini kerana, persoalan menentang musuh-musuh Allah demi mempertahankan agama atau tanahair kaum muslimin adalah kewajipan yang tidak terhenti atau terbatal hanya disebabkan tidak puas hati rakyat kepada pemerintah. Demikian juga apabila pemerintah mengajak kepada sesuatu kebaikan maka tidak perlu dipertikaikan keperibadiannya dalam mentaati perkara yang baik. Inilah yang diingatkan oleh para ulama sejak dahulu lagi iaitu; umat wajib mentaati pemerintah yang muslim dalam persoalan kebaikan dan kebajikan.

Kata al-Khattabi (meninggal 388H): “Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357). Inilah yang diputuskan oleh para ulama Islam. Sebabnya, mempertahankan umat adalah kepentingan umum yang mana kejatuhannya atau kekacauan berterusan dalam negara adalah lebih buruk dari kesalahan seorang pemerintah yang masih muslim.

Mungkin ada yang akan berkata: habis apa peranan kita jika ada kesalahan pemerintah? Diamkan diri sahaja? Biarkan? Demi sesungguhnya tidak pernah saya berkata demikian. Tidaklah pernah ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah ini mengajar demikian. Bahkan kita disuruh bercakap benar dan jujur dalam menasihati pemerintah serta bekerjasama dengan mereka dalam urusan kebaikan dan mencegah mereka dari kemunkaran. Malangnya, ramai orang menyalahtafsirkan bercakap benar atau menasihati itu dengan memaki hamun mereka secara peribadi di khalayak ramai. Mencegah dari kemunkaran pula ditafsirkan dengan memberontak menjatuhkan mereka dan mendapat kerusi untuk diri atau kelompok sendiri.

Jika Fir‘aun yang melampaui batas itu, tetap Allah perintahkan Musa dan Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik, seperti firmanNya (maksudnya) “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut”.( Taha: 43-44). Maka apakah wajar kita memaki pemerintah muslim secara terbuka? Tentu mereka tidak lebih jahat daripada Firaun yang Allah perintahkan kedua nabiNya berjumpa secara hadapan dan menasihati dengan lunak.

Hari ini, kebanyakan cercaan ke atas individu penguasa itu bukan sahaja tidak lunak, bahkan tidak secara berhadapan. Bahkan kadang kala makian itu sehingga membabitkan persoalan yang amat diharamkan Allah dan RasulNya. Sehingga ada yang sanggup membokar rahsia peribadi, kaum keluarga dan menghina rupa paras yang Allah ciptakan, padahal tiada kaitan dengan negara sama sekali. Demi Allah, itu semua diharamkan syarak dengan sebenar-benar pengharaman. Apakah itu dinamakan dakwah?. Saya tidak membantah nasihat dalam bentuk yang umum. Namun mencerca maki peribadi dengan harapan mendapatkan kerusi, hendaklah dinilai semula dengan pertimbangan syarak.

Pernah saya katakan: “Wahai anda yang menggunakan nama agama, jika diandaikan ketika anda berceramah sedemikian rupa, baginda s.a.w hadir mendengarnya, apakah baginda akan redha dan mengakui inilah rupa dakwah Islam yang baginda bawa?!. Jika anda menjawab ya! Maka Rasulullah yang anda dakwa itu amat jauh sifatnya dari apa yang tercatat dalam al-Quran dan Sunah.” 

Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ( Mengemudi Bahtera Perubahan Minda )