Hari ini mufti Volgograd, Hadrat Ilyas menyampaikan khutbah berkenaan solat yang menjadi tiang agama Islam yang kita cintai ini. Berikut merupakan antara isi-isi khutbah yang telah beliau sampaikan:

-Sebelum mendirikan solat, seseorang itu hendaklah ingat bahawa solat yang akan didirikan tersebut adalah untuk Allah, tuhan yang Maha Melihat dan yang Maha Mengetahui. Kita perlu menerapkan nilai-nilai ihsan semasa menunaikan solat, mengingati bahawa semua yang akan kita kerjakan nanti tidak akan terlepas dari pandangan Allah s.w.t.. Oleh itu, kita hendaklah melakukan solat dengan sempurna dan khusyuk.

- Melalui solat, seseorang itu akan dapat menambahkan ketaatan dan merasai kemanisan iman. Solat yang dilakukan dengan sempurna dapat mencegah benda-benda yang keji dan mungkar.

- Syaitan-syaitan takut untuk mendekati orang yang bersolat, kerana solat itu merupakan zikir. Ini bermakna sepanjang menunaikan solat, seseorang itu sedang berzikir kepada Allah s.w.t.

- Solat seseorang itu janganlah diganggu kerana mengganggu solat itu bererti mengganggu hubungan dengan Allah s.w.t.. Dari Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang itu mendirikan solat, beliau berhubung dengan Allah”. (hadis riwayat Bukhari)

Hadrat Ilyas juga menyelitkan peringatan bahawa kita hendaklah menjaga apa yang dimakan samaada disembelih atau tidak,halal atau haram,bukan setakat makan apa sahaja yang terhidang didepan mata. Apabila seseorang itu makan benda yang haram, maka ibadahnya tidak diterima selama 40 hari.

Di akhir khutbah mufti mengajak kita sama-sama berdoa agar diberi kekuatan untuk menjaga ibadah solat ini, menunaikannya seawal waktu dan secara sempurna.