Semasa kecil-kecil dahulu, iaitu tahun-tahun 60-an dan 70-an, memakan tauhu, taucu, kicap, mee dan mihun buatan orang bukan Islam adalah perkara lumrah. Masa itu tidak timbul sama ada makanan itu buatan orang Islam atau tidak. Kerana konsep tanda halal juga belum ada.

Minum di kedai kopi bukan Islam adalah perkara biasa. Makan makanan buatan orang bukan Islam juga perkara biasa. Minum air tauhu, malah makan kuetiau sekalipun. Yang penting diketahui makanan itu sendiri bukanlah sesuatu yang tidak halal.

Pada satu hari di tahun 1978, sekumpulan orang berjubah hijau dan berserban putih datang memberi ceramah di sekolah penulis, Sekolah Menengah Sains Selangor. Namanya Akbar Anang.

Ceramahnya berkisar tentang perlunya orang Islam mematuhi ajaran Islam sepenuhnya. Untuk itu, katanya, ekonomi merupakan perkara penting. Umat Islam negara ini wajib menceburkan diri dalam perniagaan khususnya dalam pembuatan makanan.

Hanya dengan orang Islam membuat sendiri makanan untuk dijual, maka dapat dipastikan halalnya. Ia merupakan fardu kifayah dan oleh kerana di Malaysia tidak ada orang Islam membuat tauhu, taucu, kicap dan pelbagai makanan harian lain, maka adalah kewajipan orang Islam untuk melakukannya.

Pada tahun-tahun itu orang mula kenal Al-Arqam sebagai kumpulan yang membuat sendiri makanan Islam. Di pasar Keramat Kuala Lumpur umpamanya, ada seorang pendokong Al-Arqam mempunyai satu gerai yang menjual tauhu basah dan tauhu kering buatan kumpulan itu.

Bukan itu saja, Al-Arqam juga mengeluarkan ubat gigi dan sabun berjenama kumpulan itu. Kesedaran tentang kepentingan orang Islam menghasilkan produk-produk kegunaan harian semakin meluas dan boleh dikatakan kumpulan ini menjadi pelopor.

Kumpulan ini bermula di Datuk Keramat tetapi kemudian menubuhkan perkampungannya di Sungai Penchala. Konsep perkampungan Islam juga dimulakan oleh kumpulan ini.

Pengasasnya, Ashaari Muhammad adalah bekas aktivis Pas yang tidak berpuas hati dengan parti itu kerana berpolitik tetapi tidak menganjurkan cara hidup Islam secara menyeluruh.

Al-Arqam juga mengkritik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang katanya hanya sibuk berseminar dan mengeluarkan kertas kerja tetapi tidak melaksanakan cara hidup Islam secara menyeluruh.

Pada awal tahun-tahun 80-an, para mahasiswa menjadi sasaran kumpulan-kumpulan dakwah. Terjadi rebutan pengaruh antara Al-Arqam, Tabligh, ABIM dan PAS.

Umpamanya di universiti-universiti, kumpulan-kumpulan ini berebut pengaruh melalui acara-acara cuti semester.

memberatkan

Apa yang paling menghiburkan di antara acara-acara ini ialah yang dianjurkan oleh Al-Arqam. Ia tidak memberatkan kepala seperti yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan lain seperti Tabligh, ABIM dan Pas.

Acara kumpulan ini lebih dipenuhi dengan nasyid dan nyanyian serta hidangan makanan yang banyak. Al-Arqam memperkenalkan banyak lagu-lagu nasyid yang enak didengar, antaranya nasyid Doa Taubat.

Kini nasyid-nasyid itu sudah menjadi arus perdana dibawa oleh kumpulan-kumpulan nasyid yang antara anggota-anggotanya pernah menjadi aktivis Al-Arqam. Dari seni kata lagu nasyid Doa Taubat, anak sulung penulis dinamakan Firdaus.

Walaupun sering membeli dan menggunakan produk Al-Arqam pada zaman-zaman itu, apa yang menyebabkan penulis menolak kumpulan ini ialah sifatnya yang menghalang para pengikutnya daripada membaca buku-buku luar daripada apa yang diterbitkan oleh mereka.

Al-Arqam tidak menggalakkan perbincangan soal jawab dan memperkembangkan minda. Mereka mahu ahli-ahlinya patuh tanpa soal. Tetapi kumpulan ini lebih menekankan soal didikan akhlak. Cara berlembut dan memujuk menarik minat banyak orang.

Kumpulan ini berjaya dalam bidang penerbitan majalah dan buku. Penerbitannya laris bukan saja kerana ia dijual secara langsung oleh para aktivisnya tetapi juga dikarang dan dilukis dengan baik.

Masakan tidak, dua sasterawan tersohor menyertai kumpulan ini pada zaman-zaman itu iaitu Ali Haji Ahmad (Nora) dan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Pengarah grafik dan kartunis Utusan Melayu juga menyertai kumpulan ini.

Tetapi dari awal lagi sifat kumpulan ini yang mengagungkan Ashaari Muhammad begitu keterlaluan menyebabkan penulis berasa sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Begitu juga dengan sifat mengutamakan imej dan propaganda serta penguasaan fikiran termasuk dasar amalan poligami menimbulkan banyak persoalan terhadap kumpulan ini.

Akhirnya perpecahan tidak dapat dielakkan. Perpecahan pertama berlaku apabila Akbar Anang keluar daripada kumpulan itu. Daripada situ mula timbul isu Aurad Muhammadiyah yang dianggap amalan fahaman pelik.

Tetapi perpecahan kedua lebih besar berlaku pada tahun 1985 di mana penulis terlibat sebagai pemberita Utusan Malaysia mendedahkan penyelewengan akidah dalam Al-Arqam. Utusan ketika itu muncul sebagai akhbar yang terkedepan dalam menekan Al-Arqam.

Timbalan kepada Ashaari, Mokhtar Yaakob keluar daripada kumpulan ini kerana tidak bersetuju dengan amalan Aurad Muhammadiyah oleh Ashaari.

Penulis sebagai pemberita pergi menemu ramah Mokhtar di Kampung Sempadan, Pahang. Bagaimanapun, Al-Arqam terus hidup dan berkembang. Banyak cerita-cerita pelik keluar daripada kumpulan ini. Konsep Bani Tamim menjadikan kumpulan ini bersifat global. Akhirnya pada tahun 1995, kumpulan ini diharamkan dan dibubarkan.

Semua ini menjadi kenangan apabila hari Khamis lalu Ashaari meninggal dunia. Walaupun kumpulan ini diisytiharkan sesat tetapi ia telah mencorakkan fikiran umat Islam negara ini.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm